PERBICARAAN kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd Razali, 30 mencetus pelbagai reaksi masyarakat terutama apabila jawapan saksi terhadap soalan utama pihak pendakwaan menjadi tajuk utama laporan media semasa.
Perkara itu menjadikan persepsi rakyat Malaysia hanya meletakkan kesalahan itu bulat-bulat kepada Siti Bainun yang sejak awal dipersalahkan kerana mendera kanak-kanak Syndrome Down, Bella.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu lanjutan prosiding tersebut terutama semasa soal balas oleh pihak pembelaan.
Menurut salah seorang peguam kepada Siti Bainun, Hafidzah Hassan, selepas pihaknya menjalankan soal balas terdapat beberapa keraguan yang timbul dalam setiap penderaan yang didakwa berlaku.
"Apa yang masyarakat tahu adalah cerita satu bahagian dalam perbicaraan yang mana dijadikan bahan berita sedangkan mereka tidak tahu bagaimana pula jawapan-jawapan saksi apabila di soal pihak pendakwaan.
"Oleh itu, apa yang dikongsi (media) kepada umum agak berat sebelah tanpa mengambil kira cerita sebenar berdasarkan fakta, bukti dan laporan kesihatan yang bercanggah daripada cerita yang menjadi tular," katanya kepada Majoriti.
Tambahan pula, sepanjang sesi soal jawab dengan pihak pembelaan, keraguan diwujudkan menerusi perincian tindakan penderaan yang dikatakan oleh saksi (Yasmin Nahar Mahmood, 19).
"Selain jawapan (semasa soal balas pihak pembelaan) yang tidak konsisten dengan kenyataan asal, kandungan diari salah seorang saksi pendakwaan (Yasmin) turut mencetus keraguan tentang kes tersebut," ujarnya.
Antara kandungan yang terdapat dalam dairi itu seperti yang dibacakan oleh saksi sendiri adalah;
- Cerita tentang penderaan Bella yang dilakukan oleh Siti Bainun sebenarnya direka oleh seseorang.
- Siti Bainun merupakan individu yang baik dan menerima serta melayan saksi seperti keluarga sendiri semasa dia masuk ke Rumah Bonda.
- Ada panggilan telefon daripada seorang individu yang cuba menghasut ayah saksi untuk membenci Siti Bainon.
Terdahulu, Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram