Siti Bainun bukan ahli keluarga kami, tegas anak Zahid Hamidi


  • Primer
  • Isnin, 18 Apr 2022

Siti Bainun sebelum ini disebut-sebut sebagai anak angkat Zahid Hamidi oleh netizen, selepas gambarnya bersama Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tersebar.

"PENGASAS Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali bukan adik angkat saya," kata Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahidi.

Anak kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, hanya kerana keluarganya bergambar beramai-ramai tidak bermakna Siti Bainun yang didakwa melakukan penderaan kanak-kanak adalah sebahagian daripada keluarganya.

"Semua orang bergambar dengan bapa saya, dan ia tiada kaitan dengan keluarga kami," lapor mStar memetiknya di Instagram pada Sabtu (16 April 2022).

Siti Bainun, 30 mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengabai dan mendera remaja orang kelainan upaya (OKU), Bella sehingga mangsa mengalami kecederaan dan juga trauma emosi.

“Kepada mereka yang membuat provokasi dan fitnah, saya dan keluarga mengecam sekeras-kerasnya dakwaan penderaan terhadap Bella,” kata Nurulhidayah susulan khabar angin bahawa Siti Bainun adalah “anak angkat” Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid di Facebooknya pada Ahad (17 April 2022) turut menafikan dia melindungi Siti Bainun dan dakwaan yang dibuat berdasarkan gambar adalah tidak berasas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dakwaan bahawa beliau cuba mempengaruhi mahkamah adalah tidak masuk akal sama sekali.

Beliau berkata amat dikesali seseorang cuba mengaitkannya dengan kes itu dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan terlalu cepat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram