LAPORAN sebelum ini menyebut berkaitan kerja-kerja menaik taraf stadium di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor yang sepatutnya dimulakan awal tahun ini nampaknya masih lagi tidak berjalan.
Media pada tahun lalu melaporkan, venue keramat skuad Selangor FC itu bakal berwajah baharu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek menaiktaraf stadium berkenaan menelan belanja sehingga RM350 juta, yang akan diusahakan secara bersama dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berperanan sebagai pengerusi Selangor FC.
"Stadium mula terjejas apabila ada banjir besar pada 2006 menyebabkan kerosakan sistem di bawahnya, penyelengaraannya juga tinggi mengakibatkan kita rugi RM5 juta, malah pernah RM8 juta.
"Selepas beberapa tahun buat pembaikan kecil-kecilan, sudah tiba masanya kita buat naik taraf sepenuhnya," katanya yang pernah menjadi pengurus pasukan Selangor hingga membawa kejayaan memenangi Piala Malaysia pada 2015.
Namun, seorang penyokong Selangor berasa terkilan apabila tiada sebarang penambahbaikan dilakukan pada stadium tersebut sehingga kini.
Nur Humaira berkata, stadium berkenaan hanya tinggal penuh nostalgia dan hampir berkubur.
"Sampai bila nak tengok Selangor merempat?" katanya menerusi laman Facebook.
Perkongsiannya mendapat respons daripada penyokong-penyokong Selangor lain termasuk Nazli Ibrahim Beduk Canang.
Dia berkata, meskipun sudah tidak digunakan, sampah tidak patut dibiar berlonggok di luar stadium tersebut.
Katanya, perbadanan yang bertanggungjawab menjaga stadium masih wujud walaupun stadium itu sudah tidak digunakan.
RESPONS netizen berkaitan stadium di Shah Alam. — Facebook
Dakwanya lagi, kesilapan bermula sejak awal pembinaan stadium itu, yang mana saiznya yang terlalu besar sukar untuk diselenggara.
Tambahnya, kos penyelenggaraan yang tinggi mungkin menyebabkan penyelenggaraan tidak dilakukan dengan konsisten sehingga timbul sebarang masalah demi masalah tetapi tidak dibaiki.
"Akhirnya dah tak boleh diselamatkan lagi.
"Harap-harap kalau kerajaan Selangor nak buat stadium baharu lepas ni, buatlah yang kecil sikit. Paling besar pun kapasiti 40,000 pun dah okay dah tu," sarannya.
Pada masa sama, Burn Kalamalam III berkata, Selangor mula menggunakan stadium itu bermula pada 1994 dan usianya genap 28 pada tahun ini.
Dia berkata, menjadi perkara biasa apabila 'barang' atau infrastruktur lama mengalami kerosakan.
Tambahan pula, katanya, banyak acara berlangsung di stadium tersebut dan pernah menjadi stadium terbaik negara.
Malah, stadium itu juga pernah menjadi tuan rumah untuk berbagai kejohanan termasuk kejohanan melibatkan pasukan Malaysia.
KOMEN penyokong bola sepak berkaitan stadium di Shah Alam. — Facebook
Justeru, katanya, perbelanjaan untuk penyelenggaraan juga sudah tentu sangat tinggi selama 28 tahun ia dibina.
"Selangor jadi FC pun baru dua tahun dan Liga M pun baru dua tahun ditransformasi ke arah FC.
"Jadi, agak mustahil dalam tempoh dua tahun ini, sesebuah pasukan itu dapat buat segala-galanya tanpa sumber kewangan yang tidak terhad.
"Tahniah pada team yang ada stadium sendiri. Apa-apa pun mari kita lihat 28 tahun akan datang apa akan jadi pada stadium tersebut," katanya.
Majoriti kini cuba mendapatkan komen pihak Kerajaan Negeri berhubung perkembangan stadium itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram