PEMAIN Kelantan FC diingatkan supaya tidak memandang rendah kemampuan Petaling Jaya (PJ) City FC pada pertemuan pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya, Selangor, Ahad ini.
Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, anak buahnya diminta untuk lebih berwaspada dengan ancaman taktikal pasukan tersebut.
Menurutnya, meskipun tanpa pemain import, PJ City mempunyai pemain berkualiti di semua posisi, justeru akan memberi cabaran besar kepada anak buahnya.
"Bola sepak seperti mana yang kita tahu, tidak boleh terlalu bergantung pada kelebihan di atas kertas. Apa yang lebih penting ialah kesungguhan pemain, semangat dan disiplin untuk mendapatkan kemenangan," katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.
Sebelum ini, pada aksi pembukaan Liga Super Sabtu lepas, PJ City telah menewaskan Melaka United 1-0.
Selain itu, Rezal Zambery, yang mengakui bermain di tempat lawan akan memberi tekanan kepada pemain, tetap mengharapkan anak buahnya mampu mempamerkan aksi bertenaga untuk meraih kemenangan dan mara ke pusingan seterusnya.
Katanya, pemilihan kesebelasan utama bagi pertemuan kalah mati dengan PJ City itu, akan ditentukan pada sesi latihan pasukan.
"Saya tidak mahu bergantung harap kepada seorang pemain sahaja kerana bagi saya kesebelasan pemain di atas padang nanti perlu bekerjasama sebagai satu pasukan semasa bertahan dan menyerang," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram