Isu tukar jadual: TFC mahu MFL lebih adil, beri jawapan segera


  • Podium
  • Khamis, 10 Mac 2022

PARA pemain TFC ketika sesi latihan minggu ini. — Facebook Terengganu FC

TERENGGANU Football Club (TFC) masih menunggu jawapan segera daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), berhubung pasukan itu yang terpaksa beraksi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan pada bulan Ramadan.

Ketua Operasinya, Mohd Sabri Abas berkata, perkara itu penting kerana ia melibatkan persiapan pasukan, penyediaan lokasi dan pengaturan modul latihan buat para pemain.

"Ia perkara yang perlu kami strukturkan dengan baik, untuk perlawanan 'away' di luar bulan Ramadan juga bukan perkara yang mudah untuk diaturkan, inikan pula di dalam bulan Ramadan dan boleh lihat di TFC hampir 90 peratus pemain kami beragama Islam.

"Ianya satu perkara yang MFL perlu lihat dan pertimbangkan, sekurang-kurangnya lebih adil buat pasukan kami, tambahan kami sudah terlepas dua perlawanan awal liga," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, TFC membantah keputusan MFL yang memutuskan pasukan itu untuk beraksi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan pada bulan Ramadan, sebelum kembali beraksi di tempat sendiri pada 22 April.

TFC juga sudah menghantar surat pada 8 Februari lalu memohon untuk mengubah kembali jadual perlawanan tersebut.

Ketika ditanya mengenai nasihat buat pemain pasukan itu, Mohd Sabri berkata, persediaan dari segi mental dan fizikal bukan sahaja pada bulan Ramadan dengan jadual menyukarkan persediaan pasukan.

Sebaliknya, katanya, pemain perlu kuat secara keseluruhannya bermula sejak awal saingan hinggalah akhir Liga Malaysia.

"Kami akui, musim ini bakal hadir dengan sedikit sukar buat pasukan kami, bukan sahaja buat para pemain, tetapi juga buat para penyokong.

"Walaubagaimanapun, musim ini kami hadir dengan misi memburu kejuaraan, kami akan tetap berusaha untuk pastikan ianya tercapai," katanya.

Tambahnya, latihan yang dilakukan adalah seperti biasa namun, pihak kejurulatihan perlu bekerja keras bagi memastikan pengaturan latihan bersesuaian dengan jadual yang dilihat sangat padat.

"Ini bagi mengelakkan para pemain mengalami kecederaan sekali gus merugikan pasukan serta menyukarkan pemain-pemain," katanya.

Terdahulu, MFL turut memutuskan pembatalan aksi Liga Super pertemuan TFC menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), yang dijadualkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, Terengganu pada malam Rabu.

Turut ditunda pertemuan pusingan pertama saingan Piala FA juga menentang NSFC pada Ahad ini di stadium sama.

Penundaan perlawanan itu dilihat sedikit sebanyak menjejaskan persiapan TFC apabila aksi berdepan Sri Pahang FC pada 5 Mac lalu turut ditunda apabila pemain lawan dijangkiti Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram