Tiga ‘away game’ sepanjang Ramadan, Hai-O cabar pemain TFC


  • Podium
  • Rabu, 09 Mac 2022

SESI latihan pasukan Terengganu FC pada 3 Mac lalu. — Facebook/Terengganu FC

PENOLONG jurulatih Terengganu Football Club (TFC), Hairuddin Omar mencabar pemainnya supaya kekal fokus, meskipun berdepan dengan tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan pada bulan Ramadan.

Hairuddin menjelaskan, tiada sebarang latihan istimewa yang bakal dilakukan TFC bagi menghadapi situasi itu.

Beliau sebaliknya berkata, setiap pemain Sang Penyu dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dalam perlawanan demi perlawanan, sekali gus memastikan tiga aksi di tempat lawan sepanjang Ramadan sebagai cabaran yang harus diatasi sebagai satu pasukan.

"Nasihat pemain supaya terus kekal kan fokus. Special training tu takde lah cuma we plan game by game," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, TFC perlu beraksi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan pada bulan Ramadan sebelum kembali beraksi di tempat sendiri pada 22 April.

Ketua Operasi TFC, Mohd Sabri Abas dilaporkan berkata, jadual perlawanan itu tidak adil bagi TFC, tambahan pula tiga aksi terakhir liga juga TFC terpaksa bermain di gelanggang lawan yang sudah tentu boleh memberi kesan dan mempengaruhi pasukan serta prestasi pemain.

"Jadi, kami sudah membuat bantahan kepada MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan surat sudah dihantar pada 8 Februari lalu memohon untuk mengubah kembali jadual perlawanan itu.

"Bagaimanapun sehingga kini pihak kami belum menerima sebarang maklum balas daripada MFL dan mengharapkan bantahan itu diterima lebih-lebih lagi bulan puasa semakin hampir," katanya.

MFL juga memutuskan pembatalan aksi Liga Super pertemuan TFC menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), yang dijadualkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, Terengganu pada malam Rabu.

Turut ditunda pertemuan pusingan pertama saingan Piala FA juga menentang NSFC pada Ahad ini di stadium sama.

Penundaan perlawanan itu dilihat sedikit sebanyak menjejaskan persiapan TFC apabila aksi berdepan Sri Pahang FC pada 5 Mac lalu turut ditunda apabila pemain lawan dijangkiti Covid-19.

Majoriti sedang mendapatkan respons balas MFL berhubung permohonan TFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Hairuddin Omar, TFC, latihan, fokus, Ramadan