Aksi Fayadh lepas jaring gol cuit hati penyokong Kedah


FAYADH (kiri) selepas menjaringkan gol pada minit ke-66. — Facebook Kedah Darul Aman FC

KEMENANGAN pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menewaskan menewaskan KL City FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, pada Rabu menjadikan skuad itu menduduki carta kedua liga di antara 12 pasukan yang bertanding.

Jaringan dari pemain Syafiq Ahmad, Fayadh Zulkifli dan Dennis Buschening berhasil untuk skuad Kedah memperolehi kemenangan kedua selepas berjaya menewaskan Sarawak 1-0 pada aksi pertama minggu lalu.

Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan 0-1 menerusi jaringan pemain tengah KL City FC, Zhafri Yahya pada minit ke-28, namun bangkit semula dengan gol penyamaan menerusi Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-32.

Gol kedua dan ketiga KDA FC pula hadir masing-masing menerusi Mohd Fayadh Mohd Zulkifli Amin pada minit ke-67 dan Dennis Buschening pada minit ke-69, manakala gol kedua pasukan pelawat dijaringkan Kevin Brandon Xavier Koubemba pada minit ke-87.

Namun di sebalik kemenangan penting itu, ada aksi yang lebih mencuri tumpuan penyokong Kedah.

Fayadh

AKSI Fayadh yang mencuri tumpuan penyokong Kedah.

Selepas menjaringkan gol pada minit ke-66, Aksi Fayadh yang mencari-cari lencana di bahagian dada sebelah kiri mencuri tumpuan peminat ekoran jersi baharu KDA FC yang meletakkan logo ataupun lencana skuad itu di bahagian tengah jersi.

komen

TANGKAP layar komen pengguna Facebook, Luqman Hakem.

"Bila lencana bukan lagi di dada sebelah kiri. Apa-apa pun Fayadh hebat, masuk-masuk terus jaringkan gol," kata Luqman Hakem di hantaran Facebook Malaysian Football League.

Komen dari pengguna Facebook itu dibalas oleh penyokong Sang Kenari lain dengan mengatakan para pemain Kedah FC masih dalam proses membiasakan diri dengan jersi baharu itu.

"Tengah nak biasa," balas pengguna Facebook, Najihah Nasir.

Baru-baru ini jersi KDA FC mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokongnya apabila ramai yang tidak bersetuju dengan rekaan baju berkenaan dan disifatkan sekadar tangkap muat.

Sehinggakan ada dalam kalangan penyokong tegar KDA FC yang mengambil insiatif dengan membuat rekaan baru bagi jersi home pasukan itu untuk memuaskan hati para penyokong.

Dalam pada itu, perlawanan ketiga KDA FC bakal menentang skuad Sri Pahang di gelanggang sendiri pada 6 April depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram