Buka saja kelab baharu, PDR FC — Penyokong


TEPAT jam 12 malam Selasa, Perak FC difahamkan gagal melunaskan tunggakan gaji seperti yang dijanjikan iaitu membabitkan tunggakan dua bulan pemain baru dan empat bulan pemain lama. — Facebook Perak FC

ISU tunggakan gaji pemain serta barisan kejurulatihan Perak FC belum menemui jalan penghujungnya apabila baru-baru ini media melaporkan masih terdapat tunggakan dua bulan gaji pemain baru dan empat bulan pemain lama.

Bukan hanya pemain serta barisan kejurulatihan yang sedih dengan perkara itu tetapi para penyokong skuad The Bos Gaurus juga berasa kecewa pemain kegemaran mereka diperlakukan sedemikian rupa.

Sehinggakan segelintir penyokong Perak FC mencadangkan beberapa insiatif agar isu tersebut selesai dan tidak berulang lagi di masa akan datang.

komen 2

TANGKAP layar cadangan dari Pengguna Facebook, Sumie Putra Sumie Putra

Pengguna Facebook, itu mencadangkan agar skuad Perak FC mengambil insiatif dengan membuka kelab baru dan seterusnya mencari penaja yang berkeinginan untuk menaikkan nama kelab.

"Aku rasa Perak kena buka kelab baru macam Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dulu macam mana mereka boleh naik ke Liga Super. Cari penaja yang betul-betul nak naikkan nama kelab.

"Contoh pun sudah ada macam JDT, dia asalnya kelab saja, terus naik nama," katanya.

Malah, lelaki itu turut mencadangkan untuk pasukan Perak menukar nama kepada Perak Darul Ridzuan (PDR FC).

Namun, bagi segelintir penyokong pasukan berkenaan, penukaran nama sepatutnya berlaku kepada Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) ekoran kemarahan peminat pasukan itu terhadap pengurusan persatuan tersebut.

"Pengurusan Pafa dan pemilik baru Perak FC itu yang patut tukar nama kelab, jangan pakai sudah nama Perak, pengurusan buat malu nama negeri saja..," kata pengguna Facebook, Emmet Khalid.

"Sudahlah buat tahi, lantik diri sendiri jadi presiden... Tidak boleh cari penaja, makan duit kerajaan negeri," komen Muhammad Eiman.

Dalam pada itu, media melaporkan pada Khamis bahawa pihak pengurusan Perak FC tidak menafikan dakwaan timbul masalah tunggakan gaji membabitkan barisan kejurulatihan kelab Liga Premier itu sejak September tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya menyelesaikan beban ‘hutang lapuk’ yang ditinggalkan pengurusan terdahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram