Sanjar Shaakhmedov dianggap arkitek import terbaik TFC


  • Podium
  • Khamis, 10 Mac 2022

SANJAR (kiri) menjaringkan 13 gol dan tiga bantuan gol dalam 33 penampilan liga bersama TFC sebelum ini. — Bernama

PEMINAT Terengganu FC (TFC) pastinya masih belum dapat melupakan kehebatan pemain tengah dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang pernah menyarung jersi pasukan itu dua tahun lalu.

Ketika beraksi bersama Sang Penyu selama dua musim, iaitu 2019 dan 2020, beliau merupakan antara tunjang pasukan yang dianggap sebagai nadi menjana serangan TFC.

Menurut satu undian yang dijalankan dalam talian, peminat Terengganu FC memilih Sanjar sebagai pemain tengah import terbaik yang pernah beraksi untuk kelab Pantai Timur itu.

Walaupun hanya beraksi selama dua musim, beliau ternyata meninggalkan kesan di hati penyokong TFC.

Selepas meninggalkan Malaysia gara-gara jodoh yang tidak panjang bersama TFC, Sanjar pulang ke negara asalnya untuk beraksi di Liga Super Uzbekistan bersama AGMK Olmaliq selama satu musim.

Musim ini, pemain itu menyertai kelab Qizilqum Zarafshon yang juga beraksi dalam liga utama Uzbekistan itu.

Bersama TFC, beliau beraksi dalam 33 perlawanan dan berjaya mencetak 13 jaringan dan tiga bantuan gol dalam saingan Liga Super.

Beliau dikenali sebagai salah seorang pemain yang rajin dan kreatif dalam merencana serangan pasukan sebelum prestasinya dilaporkan merudum lalu tidak disambung kontrak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, bekas pemain yang berasal dari Argentina, Gustavo Lopez pula dipilih sebagai pemain tengah import kedua terbaik TFC manakala pemain yang kini beraksi bersama Sri Pahang FC, Lee Tuck di tempat ketiga.

Pemain yang digelar 'Kante Liga Malaysia', Dechi Marcel, yang meninggalkan kelab itu untuk pasukan Kedah Darul Aman FC pula di tempat keempat manakala pemain Mali, Makan Konate di tangga kelima. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram