Kedah perlu waspada amaran 'arkitek' Sains FC


  • Podium
  • Sabtu, 12 Mac 2022

SHAHURAIN (kiri) pernah mendakap Piala FA pada 2010 ketika bersama Negeri Sembilan. — Sains FC

KELAB Liga M3, Sains FC mahu membuktikan kemampuan mereka ketika menentang kelab gergasi, Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA pada Sabtu.

Pemain tengahnya, Shahurain Abu Samah berkata, walaupun dianggap sebagai 'underdog', pasukan itu tidak mahu memberi laluan mudah dan akan berjuang berhabis-habisan menentang juara Piala FA 2019 itu.

“Di atas kertas, kita tahu bagaimana kekuatan lawan yang dibarisi ramai pemain bintang selain tonggak-tonggak import tetapi kami akan cuba sedaya upaya berikan saingan.

“Saya tidak mahu rakan-rakan bersikap terlalu menghormati lawan bila beraksi di atas padang kerana situasi itu boleh menyukarkan lagi keadaan.

“Harus diingat, dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi, jadi saya harap kami boleh berikan sehabis baik serta mampu meraih keputusan terpuji buat pasukan untuk dibawa balik ke Seremban,” katanya.

Shahurain yang pernah mendakap piala itu pada 2010 bersama Negeri Sembilan percaya kehadiran beberapa pemain berpengalaman yang membarisi skuad itu dapat membantu pasukan memberi cabaran kepada KDA FC.

Selain Shahurain, Sains FC yang dikendalikan oleh Leong Hong Seng itu diperkuatkan ramai bekas pemain yang pernah beraksi di pentas Liga Malaysia pada beberapa musim dahulu.

Antaranya Yosri Derma Raju, Tengku Qayyum Ubaidillah, S. Sivanesan, Jibrail Kamaron Baharin dan A. Segar.

“Mungkin sebahagian besar daripada kami sudah tidak bermain di tahap tertinggi seperti Liga Super atau Liga Premier tetapi aspek pengalaman boleh membantu pasukan.

“Ramai pemain dalam pasukan ini seperti Yosri, Qayyum dan Sivanesan selain pemain-pemain lain boleh memastikan kami tidak terlalu gugup apabila bertandang ke Darul Aman.

“Malah keserasian kami bertambah baik selepas melalui tiga perlawanan di Liga M3, harap perkara itu boleh memberikan kami keyakinan,” katanya.

Perlawanan pusingan pertama lain yang turut berlangsung pada Sabtu ialah membabitkan Sabah dan Respect FC di Stadium Likas selain Melaka United FC yang bakal menerima kunjungan PIB FC di Stadium Hang Jebat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram