KESUNGGUHAN ibu bapa yang bekerja pagi dan petang bagi menyara kehidupan keluarga adalah kepenatan yang disukai oleh ALLAH dan Rasul-Nya.
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, setiap suap yang diberikan suami kepada isteri akan diberi pahala.
Sabda Nabi SAW: "Dan tidaklah kamu memberikan nafkah dalam mencari keredhaan ALLAH SWT, melainkan semuanya akan dibalas dengan pahala. Sehinggakan setiap suap yang disuapkan ke dalam mulut isterimu (juga akan diberi pahala)," — Hadis Riwayat Muslim
Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman Telegramnya berkata, seorang isteri yang bersungguh-sungguh mendapatkan makanan buat anak-anaknya turut akan diberi ganjaran besar oleh ALLAH SWT.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, seorang ibu telah datang ke rumah Saidatina Aisyah bersama dengan dua orang anak perempuannya.
Beliau berkata, ibu tersebut telah meminta sumbangan daripada Saidatina Aisyah, namun tiada apa yang boleh disumbangkan ketika itu melainkan hanya sebiji tamar.
SEORANG ibu membelah sebiji buah tamar kepada dua bahagian untuk diberikan kepada anak-anaknya. — Gambar hiasan
"Apa yang berlaku di hadapan Aisyah sangat menyentuh hatinya. Si ibu tersebut membelah tamar tersebut kepada dua bahagian lalu diberikan kepada kedua orang anak perempuan yang bersama denganya, sedangkan dia sendiri tidak dapat mendapat sebarang makanan," katanya.
Peristiwa itu diberitakan kepada Nabi Muhammad SAW, lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH telah mewajibkan ke atas ibu tadi syurga (iaitu ibu tersebut pasti akan masuk ke syurga) atau (dengan amalan tersebut) ALLAH SWT akan membebaskannya dari neraka,"— Hadis Riwayat Muslim
Ahmad Sanusi berkata, Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa, wang yang disumbangkan oleh ibu bapa kepada keluarga mereka adalah sebaik-baik nafkah di jalan ALLAH SWT.
Sabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik dinar adalah dinar yang digunakan sebagai nafkah buat menyara keluarganya," — Hadis Riwayat al-Bukhari
Tambah Ahmad Sanusi, tindakan suami membeli hadiah buat isteri juga dianggap sebagai perilaku yang baik.
Peristiwa itu pernah terjadi ketika Amru ibn Umayyah membeli sepasang kain dan tindakannya itu menjadi pertanyaan sahabatnya.
Amru lalu menjawab seperti yang diriwayatkan dalam Hadis Riwayat Abu Ya'la : "Aku telah hadiahkannya kepada isteriku, Sukhailah binti Ubaydah dan dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sedekah (hadiah) kamu kepada ahli keluargamu akan diganjari pahala sedekah." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram