Lesung pipit buatan, cantik tapi haram


  • Mukmin
  • Selasa, 04 Jan 2022

PERUBAHAN muka seseorang sebelum (kiri) dan selepas (kanan) pembedahan lesung pipit atau dimpleplasty. — Gambar hiasan

UMUM mengetahui bahawa kewujudan lesung pipit di muka merupakan salah satu daya penarik atau seri muka seseorang ketika tersenyum.

Lesung pipit adalah lekukan kecil semula jadi dalam daging pada bahagian tubuh manusia, terutama di pipi atau dagu.

Ia terjadi disebabkan oleh variasi struktur otot muka yang dikenali sebagai zygomaticus major terbelah dua.

Namun, tidak semua manusia mempunyai lesung pipit, maka terdapat di antara mereka yang sanggup melakukan prosedur yang menyakitkan.

Prosedur itu dilakukan dengan cara pembedahan (dimpleplasty) atau pun tindik bagi mencipta lekukan lesung pipit untuk kekal dalam tempoh masa tertentu.



LESUNG pipit adalah antara daya penarik seseorang ketika tersenyum, namun tidak semua manusia mempunyai kelebihan ini. — Gambar hiasan

Menurut kajian, risiko dimpleplasty adalah pada kecederaan cabang saraf wajah namun ia jarang berlaku.

Walaubagaimanapun, pembedahan tersebut tetap terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, hukum lesung pipit buatan melalui proses tindikan mahu pun pembedahan adalah haram.

Katanya, lesung pipit yang dibuat semata-mata bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) adalah dilarang kerana ia mengubah ciptaan ALLAH SWT, yang jelas bukan pada situasi keperluan (hajiyyah).

Tambahnya, ia juga dilarang kerana terdapat unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang bukan asli.

"Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah)," katanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "ALLAH melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT,"Hadis Riwayat Muslim

Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, ancaman laknat dalam hadis tersebut menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan ALLAH SWT, sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya.

Katanya, Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan lil husn bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut sebagai perbuatan yang hanya bertujuan kecantikan dan ia isyarat kepada pengharaman.

"Hal ini kerana orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan semata-mata.

"Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi maka tidak menjadi masalah dan ALLAH SWT lebih mengetahui," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram