DAKWAAN segelintir pihak bahawa banjir besar yang berlaku di negara kita, disebabkan teguran ALLAH SWT berikutan larangan merapatkan saf di masjid adalah salah.
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menegaskan, umat Islam perlu mengutamakan ilmu Fardhu Ain terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan berkenaan.
"Mung (kamu) sibuk kaji Dajjal, Ashabul Kafi, Yakjuj Makjuj, Yahudi tapi Fardhu Ain tak kaji.
"Tak salah nak kaji tapi belajar Fardhu Ain dulu," katanya menerusi video TikTok yang dikongsikan oleh pengguna @Fourzy.
UAI berkata, hukum merapatkan saf ketika solat adalah sunat, manakala perkara yang wajib adalah menunaikan solat.
"Ulama kata siapa yang sengaja tak rapat saf maka dia tak dosa tapi dirapatkan saf dapat pahala," jelasnya.
Mengulas lanjut, UAI berkata, ada ulama menyebut bahawa ALLAH SWT menurunkan bencana besar-besaram bukan sebab perkara sunat yang tidak dilaksanakan.
Sebaliknya, katanya, bencana diturunkan menerusi dua syarat iaitu perbuatan maksiat secara terang-terangan dan tiada yang mencegah kemungkaran itu.
"Yang pertama benda maksiat, kemungkaran dan perkara haram seperti berjudi, berzina berlaku secara terang-terangan.
"Kedua, orang-orang yang ada kemampuan mencegah untuk menegur tapi diam. Dua syarat ni kalau ada maka ALLAH akan mengazabkan bencana iaitu orang yang jahat kena, orang yang baik kena," tegasnya.
Terdahulu, ada yang mendakwa bahawa bencana banjir yang melanda negara kita adalah pengajaran kepada orang Islam supaya mengutamakan urusan agama ALLAH SWT dalam setiap urusan.
Menerusi perkongsian di laman TikTok, pengguna @sam_myname mendakwa, semua tempat dipenuhi orang ramai termasuk taman tema dan pusat beli-belah, selepas kerajaan memberi kelonggaran membuka beberapa sektor ekonomi.
Namun, hanya rumah ALLAH SWT iaitu masjid yang masih kurang diimarahkan.
"Kita semakin lalai, masjid tidak lagi atau makin kurang dikunjungi orang Islam," katanya.
Dengan izin ALLAH SWT, katanya, keadaan berubah apabila masjid kini dipenuhi orang ramai apabila ia dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa-mangsa banjir.
Dua hari sebelum banjir besar melanda negara pada 18 Disember lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan pihaknya memerlukan beberapa minggu lagi, bagi membuat keputusan untuk merapatkan saf solat kepada Majlis Raja-Raja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram