'Saya masuk Islam, bukan Melayu,' dugaan mualaf di Gemas dibuang keluarga


  • Mukmin
  • Rabu, 16 Feb 2022

MOHD Chan terpaksa tidur di terminal bas dan surau selepas kehilangan pekerjaan. —Gambar hiasan/The Star

MESKIPUN menerima pelbagai ujian dan dugaan selepas memeluk Islam sejak tahun lalu, seorang mualaf di Gemas, Negeri Sembilan tetap tabah dengan kehidupannya.

Mohd Amin Tan Abdullah, 40, yang berbangsa Cina berkata, keluarganya bertindak membuangnya akibat tidak dapat menerima keputusannya untuk memeluk Islam.

Beliau yang belum berumah tangga berkata, keluarganya menganggap bahawa Islam dan Melayu adalah perkara sama.

"Saya sudah banyak kali jelaskan kepada mereka bahawa saya masuk Islam bukan masuk Melayu.

"Islam agama, Melayu bangsa. Tetapi, mereka tak terima. Tak boleh buat apa. Saya harap suatu hari nanti mereka akan faham," katanya kepada Majoriti.

KEHILANGAN PEKERJAAN, TIDUR DI TERMINAL BAS DAN SURAU

Menerusi perkongsian di laman Facebook pada Isnin, hidupnya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selepas beliau kehilangan pekerjaan.

Lebih menyedihkan, beliau sudah beberapa hari tidur di terminal bas dan surau serta tidak menjamah sebarang makanan.

"Kalau sesiapa saudara Islam ada kerja kosong boleh harap boleh PM (mesej secara peribadi) saya bagi saya kerja part time (sambilan) pun boleh," katanya.

WhatsApp Image 2022-02-15 at 12.33.49 PM

TANGKAP layar perkongsian Mohd Amin di laman Facebook.

Mohd Amin berkata, beliau sebelum ini mengikut abang angkatnya menjual nasi kukus di Seremban, sebelum abang angkatnya meninggal dunia pada dua bulan lepas.

Katanya, beliau pernah pulang ke rumah keluarganya selepas kehilangan pekerjaan, namun nasib tidak menyebelahinya apabila keluarganya masih tidak dapat menerimanya dan bertindak menghalaunya sekali lagi.

Tambahnya, Tuhan memberikannya hidayah untuk mengenali abang angkatnya dan membawanya untuk memeluk Islam.

"Abang angkat cakap bila kita masuk Islam, dosa sudah cuci habis macam bayi baru dilahirkan.

"Dosa tak ada kalau jaga solat, jaga iman. Nanti kita boleh pergi syurga sebab manusia di dunia tak hidup lama tetapi di syurga barulah lama," katanya.

MENERIMA BANTUAN MAKAN SEMENTARA

Beliau berkata, sehari selepas membuat hantaran di Facebook itu, ada individu yang menderma wang sebanyak RM20 kepadanya untuk bantuan makan sementara.

Katanya, individu tersebut turut memintanya bersabar sementara dia berusaha mencarikan pekerjaan buat mualaf itu.

"Sebelum ini saya pernah pergi ke pejabat agama Islam dan baitulmal untuk minta tolong tapi hanya dapat RM30. Mereka kata untuk membantu makan sementara.

"Mereka juga minta saya pergi ke Perkim dan zakat MMM di Seremban untuk minta tolong," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau berputus asa setelah mendapat kesusahan selepas memeluk Islam, katanya, beliau perlu mempunyai iman yang kuat dan bersabar kerana terdapat banyak ujian yang perlu ditempuh ketika hidup di dunia.

"Saya tidak boleh berbuat apa-apa, bersabar sahaja," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram