BERDASARKAN fitrah, kaum wanita sememangnya gemar menghias diri, memakai pakaian yang cantik serta mendandan muka.
Namun, terdapat beberapa perkara yang sedia maklum tidak dibenarkan dalam Islam untuk menghias diri termasuk mencukur bulu kening, mewarnakan rambut, membuka aurat serta memakai wangi-wangian yang menusuk hidung.
Selain daripada perhiasan pada bahagian atas badan, terdapat golongan wanita yang gemar mengumpul koleksi kasut yang merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian.
Adakalanya 'outfit of the day' atau OOTD mereka tidak lengkap apabila kasut yang dikenakan tidak berpadanan dengan baju atau tidak selesa.
Antara kasut yang menjadi pilihan kaum hawa ketika ini adalah kasut flats, sandal flats dan kasut sukan, yang mempunyai permukaan rata dan menyenangkan si pemakai meskipun dalam melakukan apa sahaja aktiviti.
Bagi penggemar kasut tumit tinggi, pemakainya sememangnya kelihatan moden, bergaya serta mengikut trend terkini, namun ada kalanya pemakainya tidak selesa apabila ia dipakai terlalu lama dan pergerakan juga agak terbatas.
Disebabkan pemakai kasut tumit tinggi ada kalanya mendapat perhatian daripada orang sekeliling, ada yang mungkin tertanya-tanya tentang hukum memakai kasut itu daripada sudut Islam.
Menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, perbuatan wanita yang memakai kasut tumit tinggi adalah harus selagi tidak memudaratkan wanita tersebut.
Pada masa sama, jabatan itu berkata, sekiranya terdapat kesan negatif kepada kesihatan wanita itu sebagaimana yang telah dinyatakan oleh para doktor, maka haram baginya memakai kasut tumit tinggi kerana memudaratkan kesihatan.
"Jika tiada sebarang masalah dan tidak mendatangkan kesan kepada kesihatan, hal ini tiada larangan dan masalah.
KAUM wanita perlu mengelakkan pemakaian kasut tumit tinggi sekiranya ia menarik perhatian lelaki bukan mahram. —Agensi
Namun, jabatan itu menasihati, sekiranya pemakaian kasut tumit tinggi menarik perhatian lelaki bukan mahram akibat bunyi kuat ketika berjalan, maka elakkanlah daripada memakainya.
"Hal ini boleh menimbulkan fitnah dan juga mendekatkan kepada maksiat," katanya.
Kesimpulannya, kaum wanita dibenarkan memakai kasut tumit tinggi selagi tidak memudaratkan kesihatan serta disarankan untuk tidak memakainya sekiranya ia menarik perhatian lelaki bukan mahram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram