
DI sebuah perkampungan terpencil di tepi Tasik Chini, Pekan, Pahang, seorang wanita Orang Asli dari suku Jakun membuktikan harapan dan perpaduan boleh tumbuh dari tanah yang dulunya hanya sekadar paya dan lumpur.
Melalui ketabahan dan semangat kepimpinan, Amai Maimun, 52, berjaya mengubah nasib komuniti Kampung Orang Asli Melai menerusi pertanian komuniti yang kini menjadi contoh kepada banyak pihak.
Bagi masyarakat luar, Maimun mungkin sekadar petani biasa. Namun di kampungnya, beliau merupakan penggerak utama yang memimpin jawatankuasa pertanian, menyatukan jiran tetangga dan menghidupkan semula semangat gotong-royong yang semakin pudar.
BACA LAGI: Kecil-kecil dah berani tunjuk bakat atas pentas, 2 anak Orang Asli harumkan nama Sabah dan Johor
BACA LAGI: Memperkasa masyarakat Orang Asli melalui TVET
Maimun (baju biru) sedang menyusun dan membungkus sayur-sayuran bersama petani lain.
“Kami tiada pilihan. Tanah yang ada penuh lumpur, tapi kami tetap bersyukur dan bekerja keras untuk mengubahnya,” katanya.
Dengan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Kajian dan Pembangunan Masyarakat (YKPM) serta koperasi sosial OA Organik, Maimun bersama kira-kira 12 petani lain berjaya mengubah kawasan paya itu menjadi ladang organik yang subur.
OA Organik ialah sebuah perusahaan koperasi komuniti yang beroperasi di Malaysia, bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli untuk membangunkan pertanian organik.
Hari ini, lebih 1,000 kilogram (kg) sayur-sayuran seperti sawi Hong Kong, bayam Brazil, bendi, kacang botol dan terung mini dituai setiap bulan dan dipasarkan ke rangkaian pasar raya premium tempatan.
Keseluruhan hasil jualan mencecah RM14,500 sebulan, dilaburkan semula untuk manfaat komuniti.
Para petani Orang Asli bekerjasama di ladang komuniti.
Lebih daripada sekadar sayur
Bagi Maimun, bertani bukan hanya tentang hasil, tetapi melibatkan anak-anak dan masa depan.
Sebagai ibu kepada tujuh cahaya mata, beliau tekad memastikan mereka mendapat pendidikan yang dirinya tidak pernah kecapi.
“Saya mahu anak-anak belajar. Itu yang beri saya kekuatan,” katanya sambil tersenyum bangga menceritakan perihal anak-anaknya, termasuk seorang yang kini menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Sementara seorang lagi anaknya, Amos kini menjadi pembantunya di ladang dan bekerja dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) OA Organik.
Amos kini menjadi pembantu Maimun di ladang dan bekerja dalam R&D OA Organik.
Memimpin
Maimun dikenali dalam komuniti sebagai pemimpin yang bukan memerintah, tetapi membimbing dan menyokong.
Sama ada berdepan masalah tanaman rosak akibat hujan lebat, kekurangan air atau isu pemasaran, beliau sentiasa menjadi antara yang pertama turun padang.
“Semua perkara kami bincang bersama, daripada kejuruteraan air hingga harga jualan. Ini bukan kejayaan seorang, tapi kejayaan kami bersama,” katanya.
Model pertanian koperatif OA Organik bukan sekadar menjana pendapatan, dengan satu pertiga isi rumah kini memperoleh antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.
Ia juga turut memulihkan hubungan sosial dalam kalangan penduduk kampung yang dulunya lebih banyak membawa haluan masing-masing.
“Ladang ini menyatukan penduduk, kami berbual, makan dan merancang sama-sama. Kalau ada yang tak datang, kami boleh perasan,” ujar Maimun.
Maimun pernah berkongsi kisah hidupnya di pentas Hari Perusahaan Sosial 2024.
Guru tidak rasmi
Walaupun tidak pernah bersekolah secara formal, Maimun menjadi guru tidak rasmi dalam komuniti, berkongsi ilmu tentang putaran tanaman, kawalan perosak dan kesuburan tanah.
Beliau juga pernah berkongsi kisah hidupnya di pentas Hari Perusahaan Sosial 2024, mewakili suara komuniti Orang Asli kepada masyarakat luar.
Kini, harapannya adalah mahu melihat ladang komuniti terus berkembang dan dijadikan model oleh kampung Orang Asli lain.
“Saya mahu anak-anak muda teruskan inisiatif tersebut. Tanah ini bererti bagi kami. Ia beri kami kehidupan.
“Untuk memimpin, kita mesti sedia berkhidmat. Mesti rendah hati dan mendengar. Barulah boleh maju bersama-sama,” ucap beliau. — The Star/MING TEOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram