
KEBANYAKAN wanita beranggapan usia yang semakin meningkat adalah penghalang untuk memulakan perniagaan atau mengejar cita-cita besar.
Namun, kisah kejayaan beberapa wanita terkenal dunia membuktikan bahawa usia bukan penghalang, malah menjadi permulaan untuk mencipta empayar bernilai berbilion dolar.
1) Vera Wang
Vera menghabiskan masa hampir dua dekad dalam industri editorial. — Instagram/verawang
Mengambil contoh Vera Wang, pada umurnya mencecah 40, beliau melangkah masuk ke dunia rekaan dan merevolusikan fesyen pengantin hingga ke hari ini.
Sebelum bergelar pereka fesyen terkenal, Vera merupakan atlet luncur ais dan editor fesyen di majalah Vogue.
Beliau menghabiskan hampir dua dekad dalam industri editorial, mendaki tangga kerjaya sehingga menjadi editor kanan di Vogue, namun tidak pernah menyentuh dunia rekaan secara profesional.
Namun, segalanya berubah menjelang perkahwinannya yang ke-40 apabila Vera menyedari betapa terhadnya pilihan gaun pengantin untuk wanita moden.
Kekecewaan itu menjadi titik tolak pada perubahan besar dalam hidupnya, dengan melancar jenama pengantin sendiri dan membuka butik pertamanya di Hotel Carlyle, New York.
Gaun pengantin rekaannya kini menjadi pilihan ramai bintang terkenal termasuk Victoria Beckham, Mariah Carey, Alicia Keys dan Kim Kardashian.
2) Shonda Rhimes
Rancangan ciptaan Rhimes (kiri) Grey’s Anatomy, mula bersiaran pada 2005 sekali gus menjadi fenomena global. — Agensi
Nama Shonda Rhimes kini tidak asing lagi dalam dunia hiburan, khususnya dalam industri televisyen Amerika Syarikat (AS).
Wanita yang satu ketika dahulu hanya dikenali sebagai penulis skrip bebas, kini berdiri antara penerbit dan penulis paling berpengaruh abad ini.
Namun, kejayaan Rhimes bukan sesuatu yang berlaku sekelip mata.
Ketika berusia 34 tahun, beliau masih bertatih dalam dunia penulisan, gigih mempersembahkan idea dan skrip rancangan kepada syarikat produksi.
Dunia hiburan yang kompetitif dan didominasi lelaki kulit putih menyukarkan perjalanan awal wanita kulit hitam dari Chicago itu.
Segalanya berubah pada 2005 ketika berusia 36 tahun, rancangan ciptaannya, Grey’s Anatomy, mula bersiaran dan dalam masa singkat menjadi fenomena global.
Selepas kejayaan Grey’s Anatomy, Rhimes terus melakar sejarah dengan menerbitkan siri-siri popular lain seperti Scandal, How to Get Away with Murder dan Bridgerton.
Beliau juga menubuhkan syarikat produksi sendiri, Shondaland yang kini menjadi antara jenama penerbitan paling berpengaruh di AS.
3) Kris Jenner
Jenner (tengah, belakang) mendapat gelaran momager kerana berjaya mengurus anak-anaknya menjadi selebriti dan usahawan berjaya. — Agensi
Jika ada satu nama yang sinonim dengan kebangkitan fenomena budaya pop moden, Kris Jenner adalah orangnya.
Wanita yang mengubah gelaran ibu kepada pengurus jenama dan menjadikan keluarganya antara paling berpengaruh di dunia.
Ketika berusia 38 tahun, Kris hanyalah suri rumah yang membesarkan enam anak.
Beliau tidak memiliki latar belakang korporat, mahupun pengalaman dalam dunia hiburan.
Namun ketika berusia 52 tahun, beliau muncul dalam rancangan realiti keluarga mereka, Keeping Up With The Kardashians yang mula disiarkan pada 2007.
Rancangan itu bukan sahaja memperkenalkan dunia kepada Kim, Khloe, Kourtney, Kendall dan Kylie, malah menjadikan nama Jenner dan Kardashian sebagai jenama global.
Jenner secara tidak rasmi mendapat gelaran momager, gabungan mom (ibu) dan manager (pengurus) kerana berjaya mengurus dan 'memasarkan' anak-anaknya menjadi selebriti serta usahawan berjaya.
Antara pencapaian paling ketara ialah membimbing Kylie Jenner sehingga menjadi antara bilionair termuda di dunia melalui jenama kosmetik Kylie Cosmetics.
Kris juga memainkan peranan penting dalam membina jenama SKIMS oleh Kim Kardashian selain pelbagai kolaborasi strategik anak-anaknya dengan syarikat antarabangsa.
4) Kendra Scott
Dari rumahnya di Texas, Scott memulakan perniagaan barang kemas kecil-kecilan yang kemudian mencipta fenomena di seluruh AS. — Agensi
Wanita kelahiran Wisconsin itu membina empayar perniagaan bernilai bilion dolar hanya berbekalkan USD500 (kira-kira RM2,300) dan kepercayaan pada diri sendiri.
Pada usia 40 tahun, Scott baru melahirkan anak dan sedang mencari makna serta hala tuju baharu dalam hidupnya.
Dari rumahnya di Austin, Texas, beliau memulakan perniagaan barang kemas kecil-kecilan yang kemudian mencipta fenomena di seluruh AS.
Scott memulakan Kendra Scott LLC dari bilik tamu rumahnya. Beliau merancang dan menghasilkan sendiri koleksi barang kemas pertama, sambil membawa anak kecilnya semasa menjual koleksi tersebut dari satu butik ke satu butik.
Walaupun banyak pintu ditutup, satu peluang emas muncul apabila satu butik tempatan bersetuju untuk menjual koleksinya.
Koleksi itu habis terjual dalam masa hanya beberapa jam.
Kini, jenama Kendra Scott memiliki lebih 100 butik di seluruh AS, dipasarkan di gedung-gedung utama dan menjana jualan tahunan melebihi USD1 bilion (kira-kira RM4 bilion).
5) Robin Arzon
Tidak ramai yang berani meninggalkan kerjaya bergaji tinggi demi mengejar impian, tetapi tidak bagi Robin Arzon.
Arzon pada usia 30 tahun merupakan seorang peguam korporat yang berjaya di New York, AS.
Namun di sebalik kemewahan dunia profesional itu, hatinya tertarik pada dunia kecergasan dan kesihatan.
Beliau menyedari bahawa minat terhadap gaya hidup aktif memberi kepuasan lebih mendalam berbanding kehidupan di bilik mesyuarat.
Sehinggalah pada umur 31 tahun, Arzon membuat keputusan drastik meninggalkan karier guaman dan menceburkan diri sepenuh masa dalam bidang kecergasan.
Keputusan itu membawa Arzon ke syarikat teknologi kecergasan Peloton, platform senaman maya yang menggabungkan kelas interaktif dengan peralatan senaman canggih.
Kini, Arzon bukan sahaja ikon kecergasan global, malah seorang ibu, penulis terlaris dan figura yang terus menyuarakan kepentingan kesihatan mental, kekuatan wanita dan hak memilih haluan hidup sendiri walau pada usia berapa pun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram