
SHANGRI-LA Asia pada Rabu mengumumkan pelantikan Kuok Hui Kwong, 47, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa mulai 1 Ogos depan.
Anak kepada tokoh perniagaan dan individu terkaya Malaysia, Robert Kuok itu memainkan peranan penting dalam hala tuju syarikat sejak sekian lama.
Shangri-La dalam satu kenyataan memaklumkan, penggabungan peranan pengerusi dan CEO di bawah kepimpinan Hui Kwong dijangka dapat memperkukuh kesepaduan strategik dan pelaksanaan operasi syarikat, sekali gus memastikan visi yang konsisten di semua peringkat kepimpinan.
BACA LAGI: Kekayaan taikun merudum, Kuok tetap ungguli carta terkaya di Malaysia
BACA LAGI: 19 rakyat Malaysia tersenarai bilionair Forbes, Robert Kuok kekal paling kaya
Hui Kwong (berdiri, dua dari kanan) memainkan peranan penting dalam hala tuju Shangri-La Asia. — Agensi
“Beliau telah bertanggungjawab merangka keutamaan strategik dan mengemudi syarikat ke arah matlamatnya,” tambah kenyataan tersebut.
Pelantikan Hui Kwong menamatkan kekosongan jawatan CEO sejak Disember 2022, selepas penyandang terdahulu, Lim Beng Chee bersara selepas hampir enam tahun memimpin syarikat.
Shangri-La yang diasaskan Robert pada 1971, kini muncul sebagai salah satu jenama hospitaliti mewah paling berpengaruh di peringkat global.
Hotel pertama Shangri-La dibuka di Singapura, menandakan permulaan empayar perhotelan yang kini merangkumi lebih 100 hartanah di seluruh dunia.
Antara jenama di bawah naungannya termasuk Shangri-La Hotels and Resorts, Kerry Hotels, JEN dan Traders yang kesemuanya dikenali dengan penawaran perkhidmatan bertaraf tinggi.
Dalam laporan terkini Forbes, Robert kekal sebagai individu terkaya di Malaysia pada 2025, dengan nilai kekayaan bersih dianggarkan berjumlah AS$11.4 bilion (kira-kira RM48.4 bilion).
Menyingkap susuk anak keenam daripada lapan anak Robert, di sini Majoriti kongsikan empat fakta menarik tentang Hui Kwong:
1) Lulusan Universiti Harvard
Dari segi kelayakan akademik, Hui Kwong memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Asia Timur daripada Universiti Harvard, salah satu institusi pendidikan paling berprestij di dunia.
Latar belakang akademik tersebut membentuk perspektif global dan strategik dalam kepimpinannya.
Shangri-La muncul sebagai salah satu jenama hospitaliti mewah paling berpengaruh di peringkat global. — Agensi
2) Jawatan penting
Hui Kwong kini menyandang dua jawatan utama dalam Shangri-La Asia, iaitu sebagai pengerusi dan pengarah eksekutif.
Beliau dilantik sebagai pengarah eksekutif pada Jun 2016, sebelum mengambil alih jawatan pengerusi pada Januari 2017.
Hui Kwong menyertai Lembaga Pengarah Shangri-La Asia Limited pada 2014 dan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi pada 2016.
Wanita yang dilahirkan di Malaysia dan membesar di Hong Kong tersebut juga merupakan Gabenor Kerry Group Kuok Foundation, sebuah organisasi amal bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada 2007.
Misi yayasan itu adalah untuk memberi inspirasi dan mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan di China dan Hong Kong merangkumi sektor kesihatan, pendidikan, keusahawanan dan alam sekitar.
3) Media dan korporat
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang media dan korporat selepas memulakan kerjayanya sebagai wartawan kewangan di South China Morning Post (SCMP).
Hui Kwong pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan SCMP, dari Januari hingga Jun 2012.
Selain itu, Hui Kwong juga pernah menggalas amanah sebagai pengarah akhbar Bangkok Post.
Dalam tiga tahun lalu, beliau turut memegang jawatan sebagai pengarah di syarikat China World Trade Centre Company, antara pusat komersial paling ikonik di Beijing.
Pengalamannya dalam media membuktikan kebolehannya memimpin dalam pelbagai sektor.
Hui Kwon tersenarai dalam 100 Wanita Paling Berpengaruh di Asia 2024 oleh majalah Fortune. — Agensi
4) Gaji
Mengikut kontrak semasanya, Hui Kwong akan menerima gaji asas bulanan sebanyak S$94,300 (kira-kira RM312,000), selain bonus berdasarkan prestasi dan manfaat pencen.
Beliau memiliki pegangan saham langsung dan tidak langsung sebanyak 95.57 juta unit dalam Shangri-La Asia, bersamaan dengan 2.7 peratus daripada keseluruhan syarikat.
5) Wanita berpengaruh
Hui Kwon tersenarai dalam 100 Wanita Paling Berpengaruh di Asia 2024 oleh majalah perniagaan antarabangsa, Fortune.
Beliau menduduki tempat ke-40, mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang tokoh wanita paling berpengaruh dalam landskap perniagaan dan kepimpinan di rantau ini.
Meski dipaparkan sebagai susuk wanita yang merendah diri, beliau ternyata aktif di aplikasi media sosial popular China, Xiaohongshu sejak 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram