
JENAMA peruncit jam tangan terkemuka, Solar Time meraikan ulang tahun ke-44 dengan pelancaran pembukaan semula butik Solar Time di IOI City Mall, Putrajaya pada Khamis.
Majlis bertemakan Touch of Orange Elegance tersebut diserikan dengan kehadiran selebriti terkenal, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kehadiran dua figura ternama itu bukan sahaja menambahkan glamor, malah mencerminkan semangat dinamik dan inklusif yang dibawa Solar Time dalam fasa terbaharu jenama berkenaan.
BACA LAGI: 120 jam tangan edisi khas M. Nasir laris, Artwist.Co tepis skeptikal kualiti jenama tempatan
BACA LAGI: RAW jadi tumpuan pengumpul jam tangan unik, eksklusif di Malaysia
Suasana butik Solar Time di IOI City Mall yang berkonsep avant-garde. — Solar Time
Pengunjung turut disambut dengan suasana butik baharu yang berkonsep avant-garde, menggabungkan elemen warisan dengan sentuhan kontemporari.
Identiti baharu Solar Time menampilkan rekaan visual yang lebih moden dan progresif, selari dengan komitmen jenama untuk terus bergerak ke hadapan dalam industri gaya hidup mewah.
Logo baharu dengan tipografi tegas dan kesan bayangan tiga dimensi mencetuskan imej matahari yang memberi tenaga, melambangkan visi Solar Time dalam menerangi masa hadapan.
Pengarah Pembangunan Perniagaan A.D. Time Sdn Bhd, Junyi Kwan menzahirkan keterujaan menyaksikan jenama yang bermula dari sebuah kedai kecil di Plaza Sungei Wang, Kuala Lumpur kini berkembang menjadi salah satu peruncit jam tangan terbesar di Malaysia, dengan rangkaian 19 butik dan lebih 30 jenama di bawah portfolionya.
Dari kiri: Pengarah Jualan dan Pemasaran A. D. Time Sdn Bhd, Laura Pang; Penolong Pengurus Besar IOI City Mall, Wilfred Wong; Bella Astillah, Junyi, Syed Saddiq, Pengarah Eksekutif Perniagaan A. D. Time Sdn Bhd, MB Lim dan Pengarah Kewangan Kumpulan A. D. Time Sdn Bhd, Franscine Low. — Solar Time
Menurutnya, untuk kekal relevan dalam dunia yang sentiasa berubah, Solar Time perlu terus berinovasi dan berkembang seiring perubahan gaya hidup pengguna.
“Pembukaan butik ini bukan sekadar ruang runcit, tetapi pengalaman imersif yang mana warisan tanpa masa bertemu gaya hidup moden.
"Setiap sudut butik ini membawa semangat jenama kami, iaitu berani, bertenaga dan bersedia menyambut masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-44 Solar Time.
Jelas beliau, walaupun berdepan pelbagai cabaran pasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Solar Time terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan hasil dedikasi pasukan, sokongan rakan niaga dan kesetiaan pelanggan.
"Solar Time akan memperluas penawaran produknya termasuk kemasukan jenama teknologi seperti Huawei dan menumpukan pada pengembangan digital menerusi platform e-dagang serta program kesetiaan pelanggan," ujarnya.
Identiti baharu Solar Time akan menampilkan rekaan visual lebih moden dan progresif. — Solar Time
Edisi khas Bonia Everbloom
Sebagai sebahagian sambutan ulang tahun ke-44, Solar Time turut melancarkan jam tangan edisi khas Bonia Everbloom, eksklusif di butik terpilih dan stor rasmi dalam talian.
Jam tangan tersebut direka dengan ilham daripada kekuatan dalaman dan keanggunan yang berkembang seiring waktu.
Menampilkan ciri unik seperti daun semanggi empat helai pada posisi angka empat, ia menjadi simbolik bagi menandai 44 tahun legasi Solar Time.
Jam tangan edisi khas Bonia Everbloom yang dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-44 Solar Time. — Solar Time
Reka bentuk mewah merangkumi bentuk tonneau-shaped bersalut emas ros, dail seramik merah wain dan tali silikon, menjadikan jam tersebut satu pernyataan gaya yang sofistikated.
Ditawarkan pada harga RM498, perincian bercahaya pada logo Bonia dan semanggi memastikan ia masih boleh berfungsi secara optimum, walaupun dalam keadaan kurang cahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram