Kecil-kecil dah berani tunjuk bakat atas pentas, 2 anak Orang Asli harumkan nama Sabah dan Johor


  • Massa
  • Selasa, 10 Sep 2024

Anggelina (kiri) dan Vyonnie (kanan) yang mampu membuktikan kemampuan dan kehebatan mereka sebagai anak Orang Asli.

KECIL-KECIL cili padi, siapa sangka kanak-kanak Orang Asli mempunyai kehebatan setanding komuniti lain yang terdapat di negara ini.

Mereka juga tidak dinafikan mempunyai sifat berani untuk tampil menonjolkan bakat di khalayak orang ramai.

Tidak hairanlah apabila melihat dua orang pelajar Orang Asli, Anggelina Dohong dan Vyonnie Jezzy James Marcel mampu menjadi wakil negeri ketika menyertai pertandingan di Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi (OAP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Sambutan kemerdekaan beri motivasi, semangat patriotik buat generasi muda kenang perjuangan wira negara

BACA LAGI: 'Jangan mudah putus asa', belajar di UiTM bukan sekadar menghafal, Atiyah kongsi tips kejayaan sarung selempang 'pink'

6266762579909131381

Anggelina mempunyai minat dan bakat mendalam untuk membaca berita.

Baca berita

Terbang jauh dari Sabah, Anggelina tidak segan silu bercerita tentang kebolehannya dalam menyampaikan berita.

Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu berkata, dia mula meminati bidang penyiaran apabila sering menonton berita di rumahnya iaitu di Pulau Banggi, Kudat, Sabah.

Lenggok dan nada bacaan antara elemen yang menarik perhatiannya ketika melihat sosok seorang pembaca berita di kaca televisyen.

Menyentuh pula bab latihan, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Banggi, Kudat itu berkata, dia sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki kemahirannya di sekolah.

"Saya selalu berlatih di sekolah, cikgu akan beri teks untuk hafal dan baca di dalam kelas," katanya kepada Majoriti.

456916205_27255052980760467_5842604329286647760_n

Guru-guru yang sentiasa memberi bantuan kepada anak murid terutamanya ketika sesi latihan. — Facebook/SK Padang Banggi

Katanya, masa yang diambil untuk menghafal teks berita terutamanya dalam Bahasa Melayu agak pantas iaitu tidak lebih satu jam.

Anggelina pada masa sama tidak menafikan bahawa minatnya itu tidak akan berhasil sekiranya tiada bantuan atau sokongan daripada keluarganya.

"Keluarga semua sangat sokong dan ibu juga suruh saya buat betul-betul, harumkan nama Sabah dan sekolah," jelasnya.

Berkongsi pula tentang pengalamannya ketika pertama kali menyertai pertandingan besar di Kuala Lumpur, Anggelina akui bahawa dia masih mempunyai perasaan gugup ketika di atas pentas.

Namun, dia tetap perlu bertindak profesional dan sedaya upaya cuba mengingati langkah yang sering diajar oleh gurunya.

"Kadang-kadang ada juga rasa takut, tapi cikgu selalu pesan tarik nafas dahulu sebelum mula supaya hilangkan rasa gemuruh," ujarnya.

Syair

Beralih pula kepada Vyonnie, walaupun baru berusia 11 tahun, dia tetap berani menyerlahkan bakatnya dalam menyampaikan puisi lama atau syair.

Pelajar dari SK Pengkalan Tereh, Kluang, Johor itu berkata, minatnya mula dapat dicungkil ketika sesi membaca buku di perpustakaan sekolahnya.

456793787_8212862525488172_150436500973486961_n

Vyonnie mempunyai keyakinan tinggi untuk dalam mendendangkan syair di atas pentas. — Facebook/SK Pengkalan Tereh

"Saya mula minat lepas baca satu buku yang ada arahan untuk bersyair. Jadi, cikgu buka audio dan saya bersama kawan-kawan pun cuba dendangkan syair.

"Dari situ, saya mula minat dan banyak kali sertai pertandingan syair sampai peringkat daerah dan kebangsaan," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, Bahasa Melayu merupakan subjek kegemarannya sekali gus membantu Vyonnie mempertingkatkan kemahiran menyampaikan syair.

Mempunyai cara yang sama dengan Anggelina, dia juga dilatih oleh guru untuk menghafal dan menyampaikan di hadapan orang ramai.

Status ibu Vyonnie yang merupakan seorang guru di sekolah tersebut juga secara langsung menggalakkannya untuk lebih bersemangat mendendangkan syair.

Namun, lebih mengejutkan penulis apabila kedua-dua kanak-kanak itu mempunyai cita-cita berbeza dengan minatnya di sekolah.

Ketika ditanya, Anggelina lebih memilih untuk menjadi seorang anggota polis manakala, Vyonnie pula mahu mengelilingi dunia dengan bekerja sebagai pramugari.

Bagaimanapun, ia jelas membuktikan bahawa anak-anak Orang Asli juga mampu membawa perubahan dan kemajuan dalam kalangan komuniti itu di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram