[VIDEO] Bapa sakit, ibu diserang strok, anak OKU jadi tulang belakang keluarga, ambil alih gerai char kuetiau


  • Bonda
  • Rabu, 16 Jul 2025

Gerai tersebut mula dipenuhi barisan pelanggan yang panjang, masing-masing ingin menunjukkan sokongan terhadap keluarga berkenaan. — Agensi

SAAT segelintir masyarakat masih memandang rendah terhadap golongan orang kelainan upaya (OKU), seorang pemuda istimewa berasal dari Ang Mo Kio, Singapura membuktikan sebaliknya.

Menjadi tulang belakang keluarga, pemuda itu kini mengambil alih sepenuhnya tugas memasak di gerai keluarga, Bendemeer Fresh Cockles Fried Kway Teow, selepas bapanya terpaksa bersara separuh masa akibat menghidap kanser, manakala ibunya pula dalam proses pemulihan daripada strok.

Ketika keluarga berkenaan mempertimbangkan untuk menutup operasi, pelanggan setia tidak putus-putus memberikan sokongan dan memohon agar gerai itu diteruskan.

BACA LAGI: Berkerusi roda bukan halangan OKU ibu anak lima berbisnes tanjak

BACA LAGI: 'Ketabahan usahawan OKU di Pasir Mas akhirnya berbayar, pengeluaran Aneka Maruku kini meningkat cecah 40kg sebulan

Memetik laporan media negara tersebut, ibu kepada pemuda itu yang dikenali sebagai Hu berkata, ramai pelanggan meminta mereka agar tidak menutup gerai yang telah diusahakan sejak bertahun-tahun lamanya.

Justeru, pasangan suami isteri berkenaan memutuskan untuk mengajar anak lelaki mereka, yang mengalami cabaran perkembangan sejak lahir untuk memasak dan menguruskan gerai tersebut.

Menurut bapa, anak lelakinya sudah menguasai 60 hingga 70 peratus kemahiran memasak yang diajarnya.

"Namun saya masih meletakkan harapan untuk kembali sepenuhnya ke dapur sekiranya kesihatan mengizinkan," katanya.

Sementara ibunya pula menyifatkan suaminya sebagai 'yang terbaik' kerana telah mengajar beliau dan anak mereka kemahiran memasak, walaupun kini dirinya bergelut dengan kesan serangan strok sehingga mengehadkan keupayaan fizikal.

Anak mereka kini memikul hampir semua tugas memasak termasuk memasak char kuetiau dan menghidangkannya kepada pelanggan.

Berkongsi lanjut mengenai keadaan anaknya, Hu memaklumkan, anaknya pernah mengalami kesukaran untuk bersekolah dan turut dikecualikan daripada menjalani program Khidmat Negara.

Walaupun pemuda itu memerlukan bimbingan berterusan dan pengulangan dalam proses belajar, jelasnya, beliau bangga dengan kemajuan anaknya yang kini semakin mahir dan mampu berkomunikasi dengan pelanggan.

Hu (kiri) memerhatikan anaknya memasak char kuetiau mengikut resipi suaminya. — Agensi

Menceritakan pengalamannya, si ibu pernah berdepan pelanggan yang keliru dengan tingkah laku anaknya.

Namun, beliau mengambil peluang itu untuk menjelaskan bahawa anaknya memerlukan sedikit masa dan panduan seperti kanak-kanak lain.

“Ada seorang wanita bertanya, macam mana saya ajar anak? Saya jawab, anak saya sama macam anak anda.

"Suruh saja dia buat, kalau tak buat saya akan marah,” kongsinya.

Kini, gerai tersebut mula dipenuhi barisan pelanggan yang panjang, masing-masing ingin menunjukkan sokongan terhadap keluarga berkenaan.

Malah, ada pelanggan yang membuat pesanan secara banyak bagi membantu melonjakkan perniagaan gerai, termasuk membeli hingga 70 bungkus sekali gus.

Tidak kurang juga yang memuji hasil masakan si anak, selain menyifatkan rasa char kuetiau dimasaknya hampir sama seperti air tangan bapanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram