
MENTERI Luar Australia, Penny Wong mencuri perhatian apabila tampil bertutur fasih dalam bahasa Malaysia, menyaksikan keterikatan beliau terhadap tanah kelahirannya meskipun sudah lama menetap di Australia.
Penny dalam satu rakaman dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya pada Selasa, turut berkongsi kenangan zaman kanak-kanaknya di Kota Kinabalu, Sabah, iaitu tempat asal-usulnya sebelum berpindah ke Australia Selatan pada usia lapan tahun.
"Saya tidak akan lupa pengalaman awal bersama keluarga dan rakan-rakan di Kota Kinabalu, Sabah," katanya.
BACA LAGI: Anak kelahiran Kota Kinabalu bakal dilantik Menteri Luar Australia
BACA LAGI: Sisi penyayang Penny Wong, anak jati Sabah bergelar menteri di Australia
Penny menyifatkan latar belakang hidupnya sebagai cerminan wajah masyarakat Australia yang moden, dengan hampir separuh daripada rakyatnya sama ada dilahirkan di luar negara atau mempunyai ibu bapa berasal dari luar negara.
"Saya percaya inilah salah satu kekuatan Australia yang membantu kami dalam menemukan titik persamaan bersama-sama penduduk di seluruh dunia termasuk di Asia Tenggara," jelasnya.
Ucapan itu juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Australia dan Malaysia pada tahun ini.
Beliau menegaskan, hubungan erat terjalin antara kedua-dua negara dibina atas asas sejarah dan persahabatan rakyat yang kukuh.
"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan serantau untuk menyokong visi bersama bagi Indo-Pasifik yang lebih selamat, terjamin dan makmur yang mana Asean memainkan peranan penting," tambahnya lagi.
Penny (dua kanan) merupakan anak sulung daripada tujuh adik-beradik. — Agensi
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata meluahkan rasa bangga melihat anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu masih fasih berkomunikasi dalam bahasa ibunda rakyat Malaysia.
"Terbaik! Duduk luar negara tapi masih fasih berbahasa Malaysia. Sayangnya yang duduk di Malaysia masih ramai tidak tahu atau fasih berbahasa Malaysia, terbaik senator," tulis aramaitee_yap.
"Terima kasih Senator Wong. Anda mengharumkan nama negara kita. Sebagai seorang rakyat Australia berdarah Borneo Utara, saya sangat terkesan dengan kefasihan bahasa Melayu anda yang begitu sempurna. Hebat sekali," ujar khymilton.
Bagi pengguna akaun bernama jackychengart pula, usaha Penny menunjukkan betapa pentingnya bahasa dalam membuat seseorang rasa dihargai dan diterima.
"Seperti kata Nelson Mandela (negarawan global), 'Jika kita bercakap dengan seseorang dalam bahasa yang dia faham, ia menyentuh fikirannya tetapi jika bercakap dalam bahasanya sendiri, ia menyentuh hatinya,” bicaranya.
"Inilah yang sepatutnya menjadi asas dalam dunia politik, rendah diri, bijaksana, petah berbicara, berpandangan luas, progresif dan penuh belas kasihan," kata morrismadman.
Untuk rekod, Penny dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah pada 1968 hasil perkahwinan antara ibunya kelahiran Australia dan bapanya rakyat Malaysia.
Apabila ibu bapanya berpisah, beliau berpindah ke Australia Selatan bersama ibu dan adik lelakinya ketika berusia lapan tahun.
Beliau merupakan Menteri Luar Australia pertama kelahiran Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram