
DUNIA anak-anak autistik dan ADHD cukup berbeza namun di sebalik kekurangan mereka, tersimpan anugerah yang tidak ada pada kita semua. Begitu besarnya rahsia Tuhan terhadap manusia.
Jangan dianggap anak-anak istimewa ini sebagai beban atau menyusahkan dalam mengharungi hari-hari mendatang terutama buat ibu-bapa.
Pelukis terkemuka negara, Khalid MS menjadikan anak-anak autistik sebagai anak didik beliau sejak 10 tahun lalu di Galeri Seni Artists’ Corner di The Curve Mutiara, Damansara, Selangor.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Check out' Laman Iskandar Puteri, flora dan faunanya gamit warga kota aktif beriadah
Antara lukisan yang dihasilkan oleh pelajar atau kanak-kanak autisme dan ADHD Khalid.
"Saya selami anak-anak istimewa ini, bakat yang mereka ada unik walaupun pada pandangan masyarakat hasil seni mereka tak ubah seperti sampah, tetapi bagi saya setiap calitan warna itu menyimpan erti tersendiri.
"Kini saya ada 40 pelajar dan kesemuanya mempunyai karakter yang berbeza mengikut emosi mereka," katanya.
Anak kelahiran Muar, Johor yang telah bergelumang dalam dunia lukisan lebih 14 tahun itu berkata, mendidik anak-anak autistik ini menguji kesabarannya.
Namun, tidak sesaat pun beliau merasakan mereka ini beban selepas dipertanggungjawabkan oleh ibu-bapa mereka.
"Anak syurga ini membuatkan kehidupan saya indah. Setiap lukisan mereka ada soul, roh yang menjadikan hasil seni itu hidup, sebuah lukisan yang tersimpan emosi dan setiap calitan pada kertas atau kanvas itu pasti menjadi," katanya.
Beliau yang merupakan bagi bekas arkitek pembangunan mengakui setiap anak-anak istimewa ini mempunyai bakat yang diketengahkan oleh ibu-bapa mereka.
"Ada ibu-bapa yang datang jumpa saya, minta untuk dikembangkan bakat anak mereka supaya mereka ini boleh berdikari dan kesedaran itu perlu ada dalam kalangan ibu-bapa yang mempunyai anak istimewa," katanya.
Lukisan yang memiliki karakter tersendiri hasil sentuhan kanak-kanak istimewa.
Bapa kepada lima cahaya mata itu menambah, hanya dengan satu garisan lurus pada secebis kertas, beliau dapat mengagak kelebihan yang ada pada anak-anak istimewa ini.
Katanya, ini adalah cara mengenali dan memahami anak-anak istimewa ini, cukup hanya meminta ibu bapa mereka mencari atau mengumpulkan segala jenis lukisan yang di buat dirumah termasuk coretan atau garisan yang diconteng di dinding, buku, meja dan sebagainya.
“Dari situ saya dapat menilai tahap pemikiran serta kemahiran melukis dalam beberapa keadaan atau kategori setiap pelajar saya,” jelasnya.
Jelasnya lagi, pendidikan seni dalam kalangan kanak-kanak istimewa ini harus juga mendapat sokongan dari guru-guru di sekolah konvensional.
"Ada cikgu di sekolah yang memaksa pelajar-pelajar istimewa ini mengugurkan mata pelajaran seni kerana mereka gagal menghargai hasil seni mereka, cikgu di sekolah tidak yakin dengan bakat yang ada.
“Sepatutnya, sekolah kena pupuk minat dan galakkan untuk bantu pelajar bukan hentikan semangat," katanya.
Khalid menunjukkan lukisan daripada anak murid pertama.
Sepanjang 10 tahun bergelumang dalam dunia seni anak-anak istimewa, beberapa graduan beliau berjaya mengharumkan nama negara malah ada juga yang berjaya membuka galeri seni sendiri.
Ikutan perkongsian lanjut tentang dunia pendidikan seni lukis Khalid bersama pelajar istimewanya di dalam segmen Duduk Sembang di Majoriti dengan pelbagai kisah menarik dan menyentuh perasaan serta perjalanan beliau setiap kali berhadapan dengan pelajar-pelajar istimewa ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram