
ANAK perempuan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, Hannah Thomas mengorak langkah berani apabila bakal mencabar Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dalam Pilihan Raya Persekutuan negara itu.
Beliau meletakkan diri sebagai calon Parti The Greens bagi kawasan Grayndler. Ia merupakan satu bahagian pilihan raya dalam Dewan Perwakilan Australia, terletak di wilayah Inner West, Sydney, New South Wales.
Hannah yang juga merupakan seorang peguam, aktivis dan penyokong perubahan progresif, percaya kepada perjuangan menentang pembunuhan beramai-ramai di Palestin.
Selain itu, beliau mahu menyelesaikan krisis perumahan dan kos sara hidup selain menyokong hak pelarian di negara itu.
“Saya bertuah kerana dibesarkan di Malaysia dalam sebuah keluarga yang mempunyai sejarah panjang dengan nilai progresif yang kukuh, di mana penglibatan politik dan aktivisme sentiasa digalakkan.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang dicabar oleh Hannah.
"Jadi mungkin sudah pasti bahawa saya akhirnya akan menyertai The Greens apabila Australia menjadi rumah saya,” ujarnya menerusi laman web The Greens.
Hannah berkata, dia mendapat inspirasi daripada aktivisme golongan muda, potensi kerajaan minoriti dan solidariti global dalam kalangan pekerja serta komuniti yang terpinggir.
Menurut beliau lagi, ketabahan rakyat Palestin dan komuniti Orang Asal di Australia terus menyemarakkan keyakinannya terhadap masa depan yang adil.
Bukan setakat itu, Hannah juga merupakan calon termuda yang menentang Perdana Menteri Australia.
“Sebagai seorang individu yang sedang hidup menyewa, yang ingin membeli rumah pertama termasuk sedang mempertimbangkan sama ada untuk mempunyai anak atau tidak.
"Saya andaikan yang situasi saya hadapi ketika ini amat dekat dengan golongan muda di sini,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini bersama program televisyen Australia, The Feed SBS, yang dikongsi di halaman Facebook mereka.
Hannah berasa bertuah kerana dibesarkan di Malaysia dalam sebuah keluarga yang mempunyai sejarah panjang dengan nilai progresif yang kukuh.
Pilihan raya berkenaan menandakan detik bersejarah di mana Parti The Greens muncul sebagai pembangkang yang berwibawa di kerusi ditandingi Perdana Menteri sendiri.
Ini sekali gus menyampaikan mesej perubahan yang kuat kepada Kerajaan Albanese.
“Buat pertama kali, ancaman terbesar kepada seorang Perdana Menteri Australia datang dari kawasan beliau sendiri dengan tentangan daripada Parti The Greens.
“Ia adalah peluang luar biasa untuk menyampaikan mesej paling lantang kepada Kerajaan Albanese bahawa kita layak mendapat sesuatu yang lebih baik. Layak mendapat kerajaan yang benar-benar menangani masalah yang dihadapi rakyat setiap hari,” ujarnya.
Terdahulu, Pilihan Raya Persekutuan Australia dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu, 3 Mei 2025.
Pengundi akan menentukan kesemua 150 kerusi Dewan Perwakilan dan 40 daripada 76 kerusi Dewan Senat.
Kerajaan Labor yang diketuai oleh Albanese sedang berusaha memenangi penggal kedua, menentang gabungan Liberal/Nasional yang dipimpin oleh ketua pembangkang, Peter Dutton.
Beberapa parti kecil dan calon bebas, termasuk Parti The Greens, turut bertanding dalam pilihan raya tersebut. —TheStar/DIYANA PFORDTEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram