'Mereka cukup kecewa, jangan tambah luka di jiwa', Dr Tengku Asmadi ajak ibu bapa peluk anak, berlapang dada terima keputusan SPM


  • Massa
  • Jumaat, 25 Apr 2025

DTA berkongsi sebuah babak dalam hidupnya tentang seorang pelajar yang tidak berjaya dalam keputusan SPM.

PASTINYA pelajar-pelajar yang baru saja mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini memiliki kenangan tersendiri.

Bagi yang meraih kejayaan cemerlang, menjadi lumrah saat mengambil keputusan tersebut, pastinya ada perasaan gembira dengan senyuman terukir di raut wajah pelajar, ibu bapa dan guru.

Akan tetapi, kita juga tidak terlepas daripada menonton reaksi kecewa sesetengah pelajar yang tidak dapat mencapai kejayaan yang diinginkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Dulu suka-suka lentikkan bulu mata rakan, kini jadi pendapatan sampingan, miliki studio mini

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Orang kaya pun pinjam bank’, Boss Wan kongsi rahsia daripada cef menjadi taikun bundle disegani

DTC (kiri) dan isteri menemani anaknya mengambil keputusan SPM baru-baru ini.

Saat sebegitu adalah penting untuk ibu bapa memainkan peranan mengawal serta membentuk emosi anak-anak selepas pulang daripada mengambil keputusan.

Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN), Dr. Tengku Asmadi menerangkan betapa pentingnya sikap ibu bapa saat menyambut anak-anak selepas mengambil keputusan SPM.

"Terdapat suasana di rumah yang bergema dengan tawa serta syukur. Namun ada yang sunyi, hanya terdengar helaan nafas berat dan esakan perlahan pada tarikh keramat tersebut.

Menerusi sebuah hantaran di akaun Facebook, Dr Tengku Asmadi yang juga popular dengan panggilan DTA berkongsi sebuah babak dalam hidupnya tentang seorang pelajar yang tidak berjaya dalam keputusan SPM.

“Saya teringat satu kisah, tentang seorang anak yang pulang ke rumah dengan keputusan SPM di tangan.

“Matanya merah, wajahnya tunduk. Dia tahu, keputusan itu jauh dari harapan ibu ayahnya. Bukan semua A, malah ada yang gagal.

“Dia letakkan slip itu di atas meja, menunggu dengan degupan jantungnya laju, menanti reaksi. Si ayah datang, memandang slip itu dan si anak bersedia untuk dimarahi, disindir atau mungkin dihampakan,” katanya.

Dr. Tengku Asmadi.

Tapi apa yang berlaku? Ayah kepada anak tersebut hanya membuka tangan, memeluk erat anak itu tanpa sepatah pun kata tentang angka di kertas itu.

“Ayahnya hanya berbisik, ‘tak apa nak, ayah tetap bangga dengan kamu. Ini bukan noktah hidup kamu,” ujarnya.

Dikatakan oleh beliau anak itu menangis sepuas-puasnya dalam pelukan ayahnya. Bukan kerana kecewa lagi, tapi kerana rasa diterima rasa disayangi walau apa pun terjadi.

Nasihat DTC kepada ibu bapa agar jangan ditambah luka dengan kata-kata yang meruntuhkan lagi jiwa anak-anak selepas mengambil keputusan SPM.

Jadi, apa pun keputusan anak, peluklah mereka. Anak-anak sudah cukup takut dan kecewa dengan dirinya sendiri. Jangan ditambah lukanya dengan kata-kata yang meruntuhkan lagi jiwa mereka.

“Ingatlah, SPM bukan penentu segalanya, anak yang gagal hari ini mungkin esok menjadi insan paling tabah dan berjaya dengan cara tersendiri.

“Anak yang tak dapat semua A, mungkin dia yang akan ambil berat tentang kita di hari tua,” ujar beliau yang turut hadir ke sekolah Kolej Tunku Kurshiah (TKC) menemani anak perempuan mengambil keputusan SPM.

Tambahnya lagi, dunia ini bukan hanya milik doktor, jurutera atau peguam, sebaliknya ia bergerak kerana adanya tukang jahit, tukang masak, pekerja buruh dan insan-insan hebat di sebalik pekerjaan yang sering dipandang sebelah mata.

Tangkap layar hantaran di Facebook DTA.

SPM hanyalah sebuah permulaan, bukan penamat, perjalanan anak-anak masih panjang.

“Masih banyak pintu rezeki yang ALLAH sediakan, di kolej, di TVET, dalam dunia kemahiran, malah dalam rezeki yang tak disangka-sangka.

“Apa pun slip yang anak bawa pulang, sambutlah dia dengan pelukan. Kerana pelukan itu mungkin jadi kekuatannya untuk bangkit semula. Peluklah anak walau apa sekalipun keputusan SPM dia,” serunya.

Rata-rata warga maya amat tersentuh dan berterima kasih atas perkongsian nasihat dan kata- kata DTA.

“Anak-anak saya SPM memang out semuanya, saya tetap bersyukur. Namun saya usaha dan tidak putus asa dengan mereka. Alhamdulillah, mereka terus hidup dan terus melangkah ke depan hingga menara gading,” komen seorang pengikut DTA di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram