Simbolik usia Tunku Azizah, TAFF taja 65 pasangan jalani rawatan IVF


  • Primer
  • Rabu, 12 Feb 2025

Tunku Azizah menyampaikan tajaan rawatan IVF daripada TAFF kepada pasangan terpilih. — Istana Pahang

TENGKU Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah pada 6 Februari lalu berkenan mencemar duli ke Majlis Pengurniaan Surat Tawaran Penajaan Rawatan Persenyawaan Tabung Uji (IVF) kepada 65 pasangan bagi membantu mereka menimang cahaya mata.

Pemilihan 65 pasangan tersebut adalah sebagai simbolik usia baginda tahun ini.

Tunku Azizah yang merupakan Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) menyampaikan titah menzahirkan kesyukuran berikutan TAFF yang ditubuhkan pada 2005 berjaya membantu melahirkan 143 bayi melibatkan 120 pasangan menerusi kaedah IVF.

BACA LAGI: Kerabat diraja berjiwa rakyat, ini antara 5 momen menarik Permaisuri Agong

BACA LAGI: Mahu buat aktiviti larian tapi takut serangan asma, ketahui tip bantu elak risiko kesihatan

3

Tunku Azizah menyampaikan titah menzahirkan kesyukuran berikutan TAFF berjaya membantu melahirkan 143 bayi. — Istana Pahang

“TAFF menerima lebih 500 permohonan sejak 2020 hingga 2024 dan 65 pasangan ini bertuah melepasi syarat yang ditetapkan.

“Saya harap semua rawatan ini berjaya dilaksanakan dan mendoakan ALLAH memakbulkan,” titah baginda yang pernah melakukan ujian IVF sebanyak 17 kali sebelum dikurniakan cahaya mata.

Antara penerima tajaan termasuk pasangan Mohd Fikry Amri Abd Halim, 40, dan Sabrina Hakiem Zaini, 40, dari Melaka yang kematian anak tunggal mereka akibat didera pengasuh di sebuah taska, pada September lalu.

Selama lima bulan pasangan suami isteri berkenaan menanggung kesedihan selepas kehilangan cahaya mata, Muhammad Al Fateh Amri yang dinantikan selama 13 tahun.

Sebagai makluman, TAFF merupakan sebuah pertubuhan amal yang ditubuhkan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1996.

Yayasan tersebut menyediakan bantuan kewangan dan membantu pasangan suami isteri di Malaysia yang kurang berkemampuan dan memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan negeri, dalam mencari dan mendapatkan rawatan perubatan serta menyediakan kaunseling dan perkhidmatan sokongan berkaitan.

Yayasan tersebut akan mempertimbangkan penajaan pasangan yang terpilih untuk rawatan IVF di salah sebuah pusat fertiliti yang mengambil bahagian di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram