"DOKTOR saya teringin nak berlari tetapi tidak boleh kerana ada asma." Itulah keluhan yang diterima oleh seorang doktor perubatan, Dr Dyg Farah Hanim Abu Bakar.
Tampil memperjelaskan masalah itu, beliau yang lebih dikenali dengan nama Dr Hanim berkata, pesakit asma masih boleh bersukan seperti melakukan aktiviti larian meskipun memiliki simptom teruk.
Buktinya, Dr Hanim berkata, terdapat seorang atlet lari jarak jauh dari British, Paula Jane Radcliffe yang memegang rekod dunia maraton wanita selama 16 tahun meskipun berdepan dengan masalah asma sejak kecil.
BACA LAGI: Alami menopaus tapi masih ada darah keluar, waspada anda mungkin ada simptom kanser rahim
BACA LAGI: Mpox: Tiada pelan segera untuk vaksinasi — Timbalan Menteri Kesihatan
Paula merupakan pesakit asma sejak kecil yang memegang rekod dunia maraton wanita.
"Sewaktu dia remaja, doktor sahkan dia ada asma. Selepas didiagnosis, Paula sama sekali tidak berhenti untuk lari tetapi mengambil pendekatan untuk berjumpa dengan doktor.
"Doktor ajar dia macam mana nak kawal simptom asma. Jadinya sekarang Paula sudah bertanding dalam empat perlawanan Olimpik sehingga menang pingat emas dalam Women World Championship 2005," katanya kepada Majoriti.
Malah, menurut kajian Global Initiative for Asthma (GINA), pesakit asma dinasihatkan untuk tidak mengelakkan diri daripada aktiviti fizikal termasuk berlari kerana senaman mempunyai banyak manfaat kesihatan.
Namun katanya, golongan pesakit asma perlu mengambil tahu cara yang betul supaya tidak merisikokan kesihatan diri masing-masing
Senaman juga membantu menguatkan otot pernafasan, meningkatkan daya tahan dan mengurangkan keradangan yang kesemuanya boleh membantu dalam mengawal penyakit asma yang dihidapi pesakit.
Dr Hanim tampil menjelaskan tentang pesakit asma yang berminat melakukan aktiviti larian.
Aktiviti sukan termasuk berlari adalah digalakkan bagi pesakit asma untuk meningkatkan kapasiti paru-paru dan mengurangkan kekerapan serangan asma apabila dilakukan dengan betul.
Dr Hanim turut memberi tip yang perlu dititikberatkan buat individu yang memiliki masalah asma tetapi berkeinginan untuk aktif dalam larian sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak mencetuskan serangan asma.
Antaranya, Dr Hanim berkata, perkara yang paling penting adalah dengan mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal seperti berlari.
"Ini penting kerana doktor akan bagi pesakit itu tip dan langkah berjaga-jaga," katanya.
Kedua, pesakit perlulah bekerjasama dengan doktor dengan membuat pelan tindakan asma bagi membantu menangani peningkatan gejala asma secara mendadak.
"Buat pelan tindakan asma ini bersama doktor kerana ia mampu bantu mengetahui tahap keterukan asma yang dihidapi.
"Berdasarkan tahap keterukan asma, doktor akan putuskan untuk beri ubat jenis apa kepada seseorang pesakit. Ada ubat jenis pam, ada ubat jenis makan," katanya.
Ketiga, Dr Hanim berkata, pesakit perlulah mengenali tanda-tanda awal serangan asma seperti sesak nafas, batuk atau dada yang ketat.
"Listen to your body. Kalau simptom-simptom yang tak okay perlu segera kurangkan intensiti larian dan meminta bantuan segera.
"Know your limit. Kalau mahu berlari, mulakan dengan perlahan selepas itu mula laju secara sedikit demi sedikit. Kalau perlu, masa nak lari itu rehat sebentar selepas itu sambung balik," katanya.
Pesakit asma perlulah sentiasa membawa 'inhaler' semasa membuat aktiviti larian.
Keempat, Dr Hanim berkata, pesakit asma perlulah sentiasa membawa inhaler sebelum memutuskan untuk pergi melakukan aktiviti larian.
"Ia terutamanya kalau aktiviti sukan yang dibuat lebih dari 45 minit. Jadi, apabila penat semasa bersukan, bolehlah pakai pam itu.
"Pesakit juga boleh menggunakan pam sebelum 10 ke 20 minit sebelum memulakan aktiviti sukan sebagai pencegahan daripada terkena serangan asma semasa bersukan.
"Bawa juga telefon agar kalau ada kes kecemasan terjadi dekat diri bolehlah minta bantuan kepada kawan-kawan," katanya.
Kelima, Dr Hanim berkata, individu yang mahu membuat aktiviti larian perlulah memilih tempat dan masa yang sesuai.
"Periksa keadaan cuaca di luar sama ada sejuk atau panas. Boleh juga lari di kawasan di kawasan tertutup seperti larian menggunakan treadmill," katanya.
Tegasnya, pesakit asma perlu mengelak membuat aktiviti larian di kawasan yang banyak pencemaran udara.
"Jangan berlari di tepi jalan raya kerana banyak asap kereta di bahagian situ. Tidak sesuai untuk pesakit asma," katanya berkongsikan tip keenam.
Pemilihan masa larian yang tepat sangat penting bagi mengelak risiko serangan asma.
Katanya lagi, tip ketujuh pula ialah dengan memulakan aktiviti larian pada waktu pagi memandangkan ia merupakan masa yang sesuai.
"Sebabnya waktu pagi tahap hormon corticosteroid dalam badan agak tinggi. Jadi, risiko keradangan dengan risiko alergi itu agak rendah sikit.
"Tetapi waktu ini tidak semestinya sesuai dengan semua orang. Sesetengah orang, dia tak boleh lari waktu pagi kerana apabila berasa sejuk sikit, akan trigger serangan asma. Jadi, kalau macam tu, pilihlah untuk lari pada waktu petang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram