Encorp laksana transformasi terhadap Strand Mall, perluas fungsi melangkaui pusat beli-belah


  • Bizz
  • Jumaat, 20 Dis 2024

Strand Mall akan turut menjadi pusat kegiatan pendidikan, kesihatan dan kebudayaan.

ENCORP Berhad (Encorp) kini giat melaksanakan langkah transformasi terhadap pusat beli-belah miliknya, Strand Mall yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Pengerusi Bukan Eksekutif Encorp, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata, pihaknya mahu menjadikan pusat beli-belah terbabit tidak hanya sekadar menyediakan ruang perniagaan sebaliknya turut menjadi pusat kegiatan pendidikan, kesihatan dan kebudayaan.

Ujarnya, langkah tersebut cukup penting khususnya dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung dan komuniti termasuk dalam kalangan mereka yang berprestasi tinggi.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

"Pada pandangan saya, pusat beli-belah bukan lagi menjadi tempat untuk menjual ruang perniagaan. Permainan baharu pusat beli-belah adalah mengenai bagaimana kita mencipta komuniti tersendiri.

"Setiap pusat beli-belah yang berjaya kalau kita lihat mesti mereka ada komuniti sendiri," katanya kepada Majoriti.

430919364_1064473558141987_1449549622352006582_n

Pengerusi Bukan Eksekutif Encorp, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff. — Encorp

Strand Mall kawasan ruang sewaan seluas 435,000 kaki persegi dibuka pada Mei 2014 dan merupakan hartanah pertama dimiliki Encorp dalam sektor pembangunan dan peruncitan.

Menurut Mohd Yusmadi, potensi yang dimiliki Strand Mall khususnya dalam memenuhi keperluan antaranya terhadap sektor kesihatan sememangnya sudah dimulakan.

Ia antara lain menerusi kewujudan klinik rawatan kesuburan in-vitro (IVF) antara yang terbaik di dalam negara iaitu Alpha IVF Fertility Center Malaysia.

Selain itu menurutnya, hartanah di bawah Encorp yang berada berdekatan Strand Mall turut dihuni oleh beberapa pusat pendidikan iaitu Al-Hamra Integrated School dan Malaysia University of Science and Technology (MUST).

"Kita juga mendapat tawaran untuk kolaborasi kegiatan pendidikan di dalam ruang pusat beli-belah.

"Jadi saya lihat peluang itu ada dan ia akan menjadikan Strand Mall sebagai enlightened mall (pusat beli-belah yang tercerahkan) yang bermanfaat bukan sahaja untuk tujuan F&B dan gaya hidup, tetapi juga untuk pendidikan.

"Saya percaya terhadap potensi ini kerana kalau kita lihat, di tempat lain di Singapura misalnya, pusat beli belah juga menjadi tempat pendidikan. Contohnya ada pusat beli-belah di Orchard Road juga mempunyai perpustakaan awam," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusmadi berkata, daripada aspek kebudayaan, Strand Mall kini turut menarik kunjungan piihak luar menerusi kedutaan masing-masing dalam usahanya bagi menjadikannya sebagai ruang diplomasi budaya.

429562425_1064351878154155_8009339128006645356_n

Mohd Yusmadi (dua dari kanan) ketika menerima kunjungan daripada pegawai dan delegasi Kedutaan Rusia di Malaysia. — Encorp

Katanya, langkah itu dilihat penting khususnya dalam menarik peluang perniagaan dan ekonomi di samping membuka kepada lebih banyak penganjuran acara yang bertaraf antarabangsa.

"Kita sangat mengalu-alukan pihak kedutaan luar untuk menganjurkan acara di sini sebab kita miliki ruang dalaman dan luar yang agak luas dan besar," kata beliau.

Ujarnya, usaha berkenaan juga sudah membuahkan hasil dengan pembukaan rangkaian kedai runcit daripada Indonesia, Indomart di Strand Mall menerusi kerjasama unik bersama Kedutaan Indonesia di Malaysia.

Selain itu, ujarnya, Strand Mall juga akan menerima kedai runcit pertama daripada Rusia yang dijangka beroperasi pada Februari depan.

Mohd Yusmadi berkata, pusat beli-belah berkenaan akan turut menyaksikan pembukaan pusat bowling yang memiliki sebanyak 20 lorong menjelang Februari tahun depan.

Encorp Lab

470575118_1196489991826557_3291281396895153524_n

Antara kegiatan yang dijalankan di Strand Mall. — Strand Mall

Dalam usaha bagi memacu perubahan terhadap Strand Mall tersebut, Mohd Yusmadi berkata, pihaknya bakal turut melancarkan Encorp Lab yang akan berfungsi sebagai unit strategi dan transformasi.

Beroperasi di tingkat tiga pusat beli-belah berkenaan, beliau berkata, inisiatif tersebut akan menjadi tempat ruang perbincangan atau latihan bagi pihak Encorp dan turut terbuka bagi orang awam.

"Saya lihat pendekatan ini akan menyumbang kepada tarikan baharu bagi Strand mall Mall itu sendiri.

"Apabila ia menjadi lokasi yang relevan kepada individu berprestasi tinggi misalnya usahawan dan peguam, jadi tempat ini secara rasa tak langsung akan menjadi tempat pertemuan untuk urusan penting," ujarnya.

Selain itu, Mohd Yusmadi berkata, satu lagi inisiatif masih sedang dalam perbincangan adalah usaha mewujudkan Encorp Performance and Idea Center (EPIC) yang akan menjadi ruang kepada persembahan berskala kecil.

"Kalau kita lihat di Strand Mall ia tiada ruang sesuai untuk konsert atau tempat persembahan berskala kecil untuk sekitar 1,000 ke 2,000 orang.

"Jadi kita akan cuba wujudkan ruang lebih sesuai dengan sistem suara lebih baik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram