MEMILIKI wajah mulus dan kulit putih gebu membuatkan penulis tertanya-tanya, mengapa figura ini tidak menjadi model sahaja?
Saat diajukan soalan itu, mudah jawapan Pengasas Noir Beauty & Health ini. Dua sebab, pertama kerana tiada minat dan keduanya berniaga lebih mudah buat duit berbanding makan gaji.
Sambil menguntumkan senyuman, itu respons Eriyca Baiduri Abdul Rashid atau mesra disapa Madammu kepada penulis, tatkala membuka bicara.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Sejak usia menjengah sembilan tahun, usahawan jelita ini memasang impian untuk menjadi individu berjaya. — Instagram/madammu
Katanya, sejak usia menjengah sembilan tahun, usahawan jelita itu memasang impian untuk menjadi individu berjaya.
"Matlamat ini juga berpaksikan situasi ibu saya sendiri yang merupakan seorang ibu tunggal.
“Ibu disahkan kanser tahap empat pada 19 tahun lalu, namun tetap kental membesarkan kami tiga beradik,” jelas Eriyca Baiduri.
Pun begitu, beliau sempat berkongsi cerita bahawa dirinya pernah bercita-cita untuk menjadi pembaca berita, tetapi nampaknya rezeki bisnes kecantikan lebih membuahkan hasil.
Selain komited mengendalikan kursus untuk menyalurkan ilmu bisnes terhadap ejen dan stokis produk Noir, Eriyca Baiduri juga gemar berkongsi kisah peribadi, famili, tip kecantikan dan momen jatuh bangun berniaga menerusi sesi siaran langsung di media sosial miliknya.
Produk Noir semakin menjadi pilihan wanita yang menitikberatkan aspek kecantikan. — Instagram/madammu
Celoteh bersahaja diselangi humor manja, adakalanya diselitkan dengan perbualan bersama suami dan anak-anak sentiasa memikat hati pengikutnya.
Biarpun personaliti luaran nampak lembut dan feminin, anak kelahiran Besut, Terengganu ini tidak mudah menyerah kalah dalam dunia perniagaan terutamanya untuk mengembangkan empayar Noir yang diusahakan sejak tahun 2017.
Melihatkan semangat dan usaha tidak berbelah bahaginya, tidak hairanlah rangkaian produk tersebut menjadi pilihan wanita terutamanya buat mereka yang menitikberatkan aspek kecantikan.
“Berniaga bukan mudah, namun segala urusan menjadi mudah apabila kita melakukan perkara disukai berbanding memaksa diri demi mengikut kemahuan orang lain.
"Itu kunci kejayaan yang wanita perlu ambil perhatian sekiranya ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
“Selain itu, saya turut mempraktikkan tiga elemen penting iaitu konsisten, percaya pada proses dan bijak menguruskan emosi bagi memastikan bisnes diusahakan sentiasa berjalan dengan baik dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di pejabat Noir Beauty & Health di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Celoteh bersahaja Madammu bersama suami sentiasa memikat hati pengikutnya. — Instagram/madammu
Secara tersirat mungkin ada berpendapat Noir hanya sekadar nama, namun tidak bagi ibu kepada empat cahaya mata ini.
Berkongsi mengenai pemilihan nama Noir, Eriyca Baiduri menjelaskan, jenama tersebut mengambil inspirasi daripada sekuntum bunga Noir rona hitam yang dilihatnya ketika berkunjung ke New Castle, London 10 tahun lalu. Rangkaian produk kecantikan itu berasaskan bahan-bahan premium diformulasi khas untuk kulit Asia.
Meneruskan cerita, dalam nada tegas, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa tersebut mengakui bahawa dirinya tidak berpegang pada istilah work-life-balance.
“Bayangkan, saya tiada masa untuk diri sendiri. Konsep keseimbangan antara karier dan keluarga tidak praktikal untuk saya.
“Kehidupan saya 100 peratus kerja, kerja dan kerja... Waima di rumah pun saya tetap live (bersiaran langsung) di media sosial untuk bersama pengikut yang merupakan prospek pelanggan,” ujarnya yang bersyukur perniagaan beliau mendapat sokongan padu daripada suami, Muhammad Azri Che Noh dan anak-anak.
Perihal komited Eriyca Baiduri terhadap kerja adakala tidak tercapai dek akal. Manakan tidak, dalam kondisinya kurang sihat fokus utama beliau tetap pada operasi bisnes.
“Ramai tidak menyangka usai menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) saya terus keluar bekerja. Itu tanggungjawab dan amanah yang saya pikul. Lagipun, (rawatan di) bahagian perut bukannya mulut,” selorohnya sambil tertawa kecil.
Eriyca Baiduri komited mengendalikan kursus untuk menyalurkan ilmu bisnes terhadap ejen dan stokis produk Noir. — Instagram/madammu
Goyang kaki
Diusik dengan soalan sama ada pengasas hanya goyang kaki sementara ejen dan stokis perlu bekerja keras, Eriyca Baiduri tidak melenting, sebaliknya memperbetulkan persepsi sedemikian.
Ujarnya, setiap individu dalam sesebuah organisasi mempunyai tugasan dan tanggungjawab berbeza-beza.
Mustahil, para pekerja berpeluang mendapat imbuhan jika pengasas tidak bekerja keras.
“Pada saya, tiada istilah goyang kaki. Jika ya, Noir tidak perlu melaburkan RM10 juta untuk tujuan pemasaran. Semasa pandemik, jualan kami (Noir) meningkat seiring dengan penambahan seramai 10,000 ejen dan 100 lagi unit billboard dipasang di merata-rata lokasi,” tuturnya.
Sebelum menutup bicara Eriyca Baiduri sempat menitipkan pesanan: “Kita perlu berusaha menambah ilmu jika mahu berjaya. Ilmu yang betul, menjadikan siapa saya hari ini. Carilah mentor yang betul selain konsisten dalam melakukan apa jua perkara.” tuturnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram