Kerabat diraja berjiwa rakyat, ini antara 5 momen menarik Permaisuri Agong


  • Massa
  • Rabu, 06 Sep 2023

Tutur kata lembut dan sikap rendah diri menjadikan Tunku Azizah disanjung hingga sentiasa menjadi tumpuan rakyat jelata tidak mengira di mana baginda berada. —Bernama

RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sememangnya dikenali dengan sifat yang ramah, suka memasak dan kerabat diraja yang berjiwa rakyat.

Malah, tutur kata lembut dan sikap rendah diri Tunku Azizah turut menjadikan baginda disanjung hingga sentiasa menjadi tumpuan rakyat jelata tidak mengira di mana baginda berada.

Keikhlasannya bersama rakyat juga tidak dapat disangkal lagi apabila Tunku Azizah sering dilihat melakarkan momen indah bersama rakyat jelata ketika menghadiri program atau majlis-majlis tertentu.

Terbaharu, tular satu video di media sosial, Raja Permaisuri dilihat menulis sendiri aduan mengenai jalan rosak di Sabah ketika lawatannya bersempena Kembara Kenali Borneo di negeri itu baru-baru ini.

Pada awalnya, sekumpulan penduduk tempatan sedang menunggu kenderaan yang dipandu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bahu jalan.

Ketika melalui kawasan tersebut, Al-Sultan Abdullah telah memberhentikan kereta buat seketika, yang turut diiringi dengan beberapa kenderaan pengiring.

Baginda Permaisuri juga sempat bertanya kepada penduduk-penduduk tempatan berkenaan keadaan jalan yang tidak memuaskan itu sebelum dia menulis sendiri aduan mengenai jalan rosak di lokasi tersebut.

1. Raja Permaisuri Agong usap perut, doakan zuriat buat Siti Elizad

Permaisuri Agong berkenan mengusap perut Siti Elizad sambil mendoakan kehamilannya.

Keprihatian Tunku Azizah berkenan mengusap perut pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad di samping mendoakan kehamilan buatnya berjaya menyentuh hati ramai.

Gelagat spontan Baginda Tuanku itu dikongsikan Siti Elizad menerusi hantaran di Instagramnya pada 9 Julai lalu.

Menurut Siti Elizad, dia menzahirkan rasa terharu apabila Raja Permaisuri Agong sudi mendoakannya agar diberi rezeki menimang cahaya mata selepas hampir lapan tahun mendirikan rumah tangga.

“Saya baru balik dari haji ni (sambil usap perut kita). Insya-Allah ada rezekinya nanti, ikhtiar lagi,” kata Elizad yang menulis semula kata-kata yang diungkap Baginda Tuanku.

Menerusi ruangan kapsyen hantaran yang dimuat naik Siti Elizad, dia berasa tersentuh dan berterima kasih di atas doa yang dititipkan Raja Permaisuri Agong buat rakyat biasa sepertinya.

“Saya, sangat terharu, gembira, teruja semua ada. Terima kasih Raja Permaisuri Agong atas keprihatinan dan doa indah daripada Tuanku yang tak henti-henti dari dulu lagi,” luahnya.

2. Baru sehari dah rindu tweet manis dan lucu Raja Permaisuri Agong

Tunku Azizah dilihat aktif berkongsi rutin harian menerusi akaun Twitter milik baginda.

Selain terkenal dengan sifat yang ramah, suka memasak dan kerabat diraja yang berjiwa rakyat, baginda juga aktif dalam media sosial dan suka berkongsi sesuatu perkara yang menarik menggunakan Twitter rasmi miliknya, @cheminahsayang.

Medium itu juga digunakan oleh baginda untuk berinteraksi dengan rakyat. Baginda turut berkongsi momen indah dalam hidupnya di laman media sosial ini.

Malah kadang-kadang apa yang Raja Permaisuri Agong ciapkan menjadi tular. Baginda juga ada kalanya akan retweet hal yang berkaitan dengan keagamaan serta yang berkaitan dengannya.

Misalnya, baginda akan berkongsi semula foto wanita-wanita yang menggayakan fesyen seperti baginda.

Namun, akaun Twitter rasmi milik Raja Permaisuri Agong sudah dinyahaktif. Ketiadaan akaun media sosial Raja Permaisuri Agong telah menjadi bualan ramai dan mengundang kesedihan pengikut baginda di laman tersebut.

Difahamkan, Raja Permaisuri Agong telah menutup akuan media sosialnya itu berikutan komen negatif daripada seorang pemilik akuan yang dikatakan telah mengeluarkan kenyataan kurang sopan pada ruangan komen akaun baginda.

3. Permaisuri Agong pamer bakat nyanyian

Permaisuri Agong juga pernah mempamerkan bakatnya dalam bidang nyanyian ketika pelancaran secara tertutup Muzium Seni Kontemporari (MOCA) yang terletak di Kuantan, Pahang pada bulan lalu.

Dalam video perkongsian Kimal yang merupakan penyanyi kumpulan rock indie Margasatwa itu, kelihatan dia menyanyikan lagu ‘Lagu Tentang Cinta’ sebelum mempelawa baginda Permaisuri Agong untuk berduet dengannya.

Kimal turut memuat naik video tersebut sehingga menjadi tular dan mendapat perhatian warga maya. Malah, ramai yang memuji paduan suara kedua-dua individu tersebut, suara baginda Permaisuri Agong seaka-akan ‘kena’ dengan vokal Kimal yang tidak kurang hebatnya.

Ruangan komen dipenuhi dengan pujian atas persembahan yang sememangnya next level serta ucapan tahniah kepada vokalis Margasatwa kerana berpeluang berduet dengan ikon negara itu.

4. Memasak ketika banjir

Memasak ketika banjir

Tunku Azizah memasak untuk rakyat Pahang yang ditimpa musibah banjir.

Bagaikan sudah menjadi rutin bagi Tunku Azizah memasak untuk rakyat Pahang yang ditimpa musibah banjir.

Tunku Azizah sejak bergelar Tengku Puan Pahang sebelum ini tidak pernah ketinggalan menyantuni penduduk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setiap kali berlaku banjir di Pahang untuk menyediakan juadah daripada air tangan baginda sendiri.

Antaranya, pada tahun 2021, baginda menyediakan pelbagai juadah menarik antaranya ayam masak halia, sardin, telur masin dan kobis masak lemak untuk 128 mangsa banjir di dewan orang ramai di Sri Damai, Kuantan, Pahang.

5. Permaisuri menitiskan air mata ketika pantomim Op Daulat Kampung Simunul

WhatsApp Image 2023-09-06 at 00.17.10

Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong serta beberapa tetamu kehormat lain mengalirkan air mata ketika menyaksikan persembahan pantomim. —Bernama

Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong serta beberapa tetamu kehormat lain mengalirkan air mata ketika menyaksikan persembahan pantomim yang diadakan sempena Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2023.

Persembahan itu mencetuskan suasana sedih, sayu dan pilu dalam kalangan tetamu yang hadir di Dataran Pahlawan pada 31 Julai lalu.

Pantomim hasil karya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali itu mengisahkan tragedi pada hari kedua pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Air Simunul pada 2 Mac 2013 selepas serangan berlaku di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Persembahan bertajuk Op Daulat Kampung Simunul membabitkan kira-kira 150 pegawai dan anggota polis itu turut jiwa waris mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenaan mencemar duli menyantuni ahli keluarga enam pegawai dan anggota polis yang terkorban ketika menyertai Op Daulat, di Kampung Simunul, Sabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram