[VIDEO] Makanan, harga mesra 'student' mesin layan diri bantu wanita Machang jana pendapatan keluarga


  • Bizz
  • Selasa, 22 Okt 2024

Wan Asikin akan memulakan hari seawal pukul 3 pagi, untuk menyediakan semua makanan untuk diisikan di dalam mesin layan layan diri.

DIBELENGGU kekangan kewangan membuatkan Wan Asikin Wan Hasan tidak berfikir lama untuk menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) yang dianjurkan Kementerian Ekonomi.

Bisnes mesin layan diri yang diusahakan sejak Oktober 2023 benar-benar mengubah kehidupan wanita berusia 42 itu dan keluarganya.

Hasil daripada perniagaan itu telah mengubah kehidupan keluarga Wan Asikin, sekali gus membolehkan dirinya memenuhi keperluan anak-anak dengan lebih mudah.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

"Jika sebelum ini (sertai IPR), hendak memberikan anak wang keperluan sekolah pun saya perlukan masa.

"Pernah beberapa kali anak minta wang untuk beli buku sekolah dan sebagainya, namun saya terpaksa minta tangguh ada kalanya sampai seminggu untuk saya cari duit dengan menjual kuih," luahnya kepada Majoriti.

Bercerita kembali mengenai penglibatannya dalam program tersebut, anak kelahiran Pasir Putih, Kelantan itu berkata, terdapat enam mesin layan diri yang ditempatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang.

Dia merupakan antara tiga peserta dari Kampung Hulu Sat, Machang yang terpilih untuk mengusahakan bisnes mesin layan diri.

WhatsApp Image 2024-10-21 at 18.47.58 (1)

Wan Asikin merupakan antara tiga peserta dari Kampung Hulu Sat, Machang yang terpilih untuk mengusahakan bisnes mesin layan diri.

"Proses permohonan juga tidak rumit dan dalam tempoh dua minggu selepas borang diisi, saya sudah mendapat kelulusan untuk menyertai program tersebut tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar.

"Mengikut syarat program, makanan yang dijual melalui mesin layan diri tersebut tidak boleh melebihi harga RM5 untuk memastikan pelajar mampu membeli.

"Jadi saya letak makanan seperti nasi ayam buttermilk, nasi ayam paprik, ayam bersalut keju, burger dan sandwic wanpaku di bawah harga RM5.

"Semua bahan-bahan saya siapkan dan masak sendiri. Malah saya juga mengambil pendekatan untuk bertukar-tukar menu supaya pelajar tidak bosan," jelasnya yang turut mengakui bahawa makanan seperti kuih tradisional kurang mendapat sambutan.

WhatsApp Image 2024-10-21 at 11.24.54

Konsepnya yang mudah dan cepat menyebabkan kebanyakan pelajar akan beli makanan di mesin layan.

Wan Asikin memberitahu, dia menjalankan operasi perniagaan bersendirian termasuk membeli barang, memasak dan mengisi stok jualan makanan di mesin layan diri berkenaan tiga kali sehari setiap minggu.

Memulakan hari seawal pukul 3 pagi, isteri kepada pemandu bas itu akan memastikan semua jualannya dapat disiapkan sebelum subuh untuk memudahkannya menguruskan persiapan sekolah anak-anak pula.

Tepat pukul 8 pagi, kebiasaannya dia akan menghantar kira-kira 80 hingga 90 bekas pertama untuk diisi ke dalam mesin layan diri yang berlokasi di salah satu asrama lelaki.

"Kemudian pada waktu petang pula, saya akan tambah lagi 30 hingga 50 bekas untuk memastikan mesin sentiasa diisi dengan makanan sama ada basah atau kering," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-10-21 at 11.24.54 (1)

Antara makanan kering dan basah yang diletakkan dalam mesin layan diri milik Wan Asikin.

Bercerita lanjut mengenai hasil jualan yang diperoleh, tuturnya, dia memperoleh hasil jualan antara RM13,000 hingga RM21,000 setiap bulan.

Selepas menolak kos bahan mentah, Wan Asikin berkata, dia meraih keuntungan sekurang-kurangnya RM5,000.

Jumlah itu sememangnya cukup lumayan jika dibandingkan ketika menjual kuih seperti karipap dan popia mini sebelum ini, dengan RM500 sahaja mampu diperoleh.

WhatsApp Image 2024-10-21 at 11.24.53 (1)

Masakan mi segera antara jualan yang mendapat sambutan dalam kalangan warga UiTM Machang.

"Syukur Alhamdulillah sambutan yang diterima dalam kalangan pelajar sangat memberangsangkan.

"Mungkin disebabkan konsepnya yang mudah dan cepat, kebanyakan pelajar akan beli sama ada pada waktu pagi untuk ke kelas, ataupun untuk yang mahukan makanan berat pada waktu tengah hari dan malam.

"Lokasi asrama yang agak jauh dengan kafe juga menyumbang kepada peningkatan hasil jualan ini," bicaranya.

Wan Asikin memberitahu, walaupun mesin tersebut hanya akan disewakan selama dua tahun, Wan Asikin bercadang untuk meneruskan perniagaan ini yang telah mengubah kehidupan dirinya sekeluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram