Anak Kelantan ini pernah rugi jutaan ringgit, terpaksa tebalkan muka pinjam duit mak antara momen jatuh bangun pengasas GTSB


  • Bizz
  • Sabtu, 26 Okt 2024

Pengalaman berhadapan dengan situasi kerugian memupuk Muhazli (kanan) dibantu isterinya untuk menjadi lebih cekal dalam mengembangkan bisnes mereka.

SUDAH menjadi lumrah dalam perniagaan, momen jatuh bangun itu mendidik pengusaha syarikat untuk lebih tabah dalam menghadapi cabaran.

Syarikat milik penuh Bumiputera, Glide Technology Sdn Bhd (GTSB) tidak terkecuali daripada berdepan episod kerugian jutaan ringgit sepanjang mengusahakan perniagaan yang kini mencecah usia 17 tahun.

Presiden dan Pengasas Glide Group, Datuk Muhazli Muhamad berkata, sejak ditubuhkan pada 2007, pengalaman berhadapan dengan situasi kerugian memupuknya untuk menjadi lebih cekal.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

5

GTSB ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan penyediaan minyak pelincir.

Pernah hampir putus harap, sokongan dan dorongan keluarga serta pekerja yang setia membuatkan dirinya bangkit berhadapan apa jua cabaran.

Kerugian berjuta ringgit akibat pertukaran kerajaan pada 2014, selain banjir besar melanda negara pada 2021 antara pengalaman menguatkan dirinya.

Prinsip dipegang adalah kejujuran, jadi perkara sama diterapkan dalam penghasilan pengeluaran produk minyak pelincir berteknologi dan berkualiti tinggi.

Beliau yang memiliki pengalaman sebagai Jurutera Projek minyak dan gas pada 2000 dan Pegawai Teknikal Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia mula mengintai pasaran perniagaan.

7

GTSB bermula dengan menjadi panel pembekal minyak pelincir kepada beberapa agensi kerajaan.

Bantuan kewangan

Tidak malu untuk berkongsi pengalaman perit itu, akuinya, tanpa persediaan kukuh, GTSB ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan penyediaan minyak pelincir.

“GTSB bermula dengan menjadi panel pembekal minyak pelincir kepada beberapa agensi kerajaan.

“Namun perubahan politik pada 2014 secara tidak langsung menjejaskan perjalanan syarikat sehingga kami mengalami kerugian kerana tiada wang pulangan modal,” katanya.

Anak kelahiran Kelantan itu menjelaskan, antara perkara paling sukar dilakukan sebaik syarikatnya terjejas adalah beliau terpaksa menebalkan muka mendapatkan bantuan kewangan daripada ibunya, Che Mas Hamid, 74, atas cadangan isteri, Datin Zarita Ibrahim, 45, yang juga ketua pegawai kewangan syarikat itu.

Tambah beliau, isterinya berperanan sebagai akauntan menguruskan perancangan kewangan manakala beliau lebih pada pemasaran dan operasi GTSB.

Jelasnya, keadaan genting 2014 itu mengakibatkan syarikat gagal untuk membayar gaji pekerja selama beberapa bulan.

Situasi itu membuatkan usahawan ini terduduk dan hampir berputus asa. Bagaimanapun, memikirkan nasib pekerja dan keluarga, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu kembali bangkit.

2

Muhazli (kanan) berpegang kepada prinsip kejujuran dalam kehidupan dan juga perniagaannya.

Ibunya mengeluarkan wang simpanan di Tabung Haji untuk dijadikan sebagai modal pusingan perniagaan.

“Wang dipinjamkan digunakan untuk menjalankan projek kecil-kecilan bagi membolehkan syarikat beroperasi dan membayar gaji pekerja.

“Apabila keadaan semakin pulih, operasi GTSB mula memperlihatkan kemajuan dalam mendapatkan kepercayaan pasaran tempatan, namun sekali lagi syarikat kami diuji,” luahnya.

Bencana banjir yang melanda negara pada 2021 telah mengakibatkan GTSB kerugian jutaan ringgit.

Kilang pembuatan minyak pelincir GTSB terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor musnah dibawa arus.

Justeru, pihaknya bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan persediaan lebih baik membolehkan beliau menangani sebarang kemungkinan.

Kepercayaan dan bantuan institusi kewangan juga memudahkan perjalanan operasi.

Kini, GTSB pengeluar minyak pelincir milik penuh Bumiputera berada di landasan kukuh meluaskan pasaran global termasuk di seluruh Afrika.

Glide Technology menembusi 11 pasaran luar negara antaranya Jepun, Singapura, Brunei, Bangladesh, China, Turki, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Angola.

3

GTSB pengeluar minyak pelincir milik penuh Bumiputera berada di landasan kukuh meluaskan pasaran global termasuk di seluruh Afrika.

Bina kilang

Jelas Muhazli, usaha transformatif antara syarikat itu dengan syarikat pengeluar minyak pelincir, Etu Energias di Luanda, Angola membolehkan pembinaan kilang kedua terbesar di Angola, melalui kerjasama dengan syarikat di Afrika.

“Syukur, pihak kami terus diberi kepercayaan daripada pelanggan dalam dan luar negara kerana mengeluarkan minyak pelincir berteknologi dan berkualiti tinggi,” katanya.

Jelas beliau, pada tahun ini, syarikat berkenaan turut menyasarkan untuk memperoleh pengiktirafan World Class Manufacturing (WCM) dan kini dalam proses mencapainya.

6

GTSB diberi kepercayaan daripada pelanggan kerana mengeluarkan minyak pelincir berteknologi dan berkualiti tinggi

Dengan diiktiraf sebagai WCM, menjadi platform kepada GTSB meluaskan pasaran di negara Eropah.

GTSB juga di bawah naungan syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia, Petronas.

Selain mengeluarkan minyak pelincir, pihaknya turut mengembangkan perniagaan ke sektor lain seperti marin, tenaga dan minyak alat ubah (transformer oil).

Muhazli berkata, syarikatnya menyasarkan untuk mengeluarkan 20 juta liter atau 20,000 metrik tan minyak menjelang akhir tahun ini disumbangkan oleh pasaran eksport di luar negara terutama Afrika. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram