MEMULAKAN perjalanan kulinarinya ketika menyambung pengajian di Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR), Dzul Nizman Nadzrin kini mengaplikasikan bakat dan kemahiran dimiliki dengan mengendalikan perniagaannya sendiri.
Menjalani latihan amali di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor, kerjayanya sebagai cef diteruskan setelah diserap bekerja di hotel tersebut, namun tuntutan tugasan yang panjang menyebabkan berlaku satu insiden yang mengubah hidupnya pada hari ini.
Menceritakan semula pengalaman berkhidmat di beberapa dapur hotel terkemuka, lelaki berasal dari Shah Alam, Selangor itu mengakui, sebagai cef sememangnya memerlukan masa bekerja yang panjang hingga 18 jam sehari.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Akibat keletihan, ujar Dzul Nizman, dia pernah terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal ke tempat kerjanya yang terletak di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pada 2011.
"Pada hari kejadian, saya ditugaskan untuk bekerja pada waktu pagi. Jadi memang sangat penat dan mengantuk, akibatnya motor saya dirempuh sebuah kereta, hingga mengalami kecederaan serius.
"Selain retak tulang belakang dan kaki terseluih, paru-paru saya juga ketika itu mengalami masalah. Saya koma dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya kepada Majoriti.
Walaupun kembali bekerja selepas sembuh, kesihatannya tidak begitu mengizinkan pemegang Diploma Seni Kulinari itu untuk terus melakukan tugas yang memakan tempoh masa lama.
Bisnes sendiri
Nasihat daripada seorang mentor dalam bidang kulinari telah membangkitkan keinginan Dzul Nizman untuk berundur dari dunia perhotelan dan memulakan bisnes sendiri.
Sejak itu, dia mulai memikirkan perancangan masa depan untuk mengubah haluan hidupnya.
"Saya cuba mengaplikasikan resipi yang dipelajari daripada hotel dan diubah suai mengikut cita rasa jalanan yang lebih mesra bajet, namun masih mengekalkan kualiti," jelasnya lagi.
Bermula dengan modal kecil yang dikumpul sepanjang kariernya, Dzul Nizman membuka trak makanan pada 2012, dengan menjual burger dan menamakan perniagaan tersebut sebagai Tajima Burger.
Namun Dzul Nizman sedar, semangat yang tegar sahaja tidak mencukupi untuk dia terus bertahan dalam dunia perniagaan yang penuh risiko.
Dzul Nizman (kiri) ketika menyambung pengajian di UNITAR.
"Disebabkan pada awalnya saya hanya fokus menjual burger, ini menyebabkan sambutan dalam pelanggan agak hambar pada ketika itu.
"Saya kemudian teringat pesanan daripada mentor bahawa menu burger ini sebenarnya sasaran skop pelanggan agak kecil dan kurang mendapat sambutan.
"Sehubungan itu, saya mula perkenalkan menu makanan barat yang lebih pelbagai seperti Chicken Grill dan pasta," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi.
Langkah tersebut terbukti berkesan apabila perniagaannya berkembang pesat.
Dari 2012 hingga 2020, dia berjaya membuka lima cawangan di lokasi seperti Subang Perdana, Bangi dan Seremban.
Dzul Nizman mengalami kecederaan serius selepas terlibat dalam kemalangan motosikal.
Namun, langit tidak selalunya cerah dan lumrah adat berniaga, pasti ada untung dan kerugian pada setiap perniagaan.
Menurut Dzul Nizman, dia mengelami detik 'hitam' apabila pandemik Covid-19 melanda sekali gus menyebabkan satu persatu cawangan terpaksa ditutup.
"PKP adalah titik kejatuhan saya. Saya kehilangan semua cawangan dan terpaksa mencari sumber pendapatan lain. Saya mula membantu isteri yang bekerja sebagai ejen hartanah dan buat kerja sampingan dengan Shopee Express," ceritanya.
Tidak mahu berputus asa, dia mencuba nasib kembali ke bidang kulinari, memulakan perniagaan dari rumah secara dalam talian.
Dzul Nizman ketika berkhidmat di Hotel Shangri-La.
Walaupun mencuba pelbagai platform seperti Grab dan Foodpanda, Dzul Nizman mendapati sukar untuk menarik pelanggan ke lokasi rumahnya.
Pada 2024, Dzul Nizman akhirnya berkolaborasi dengan seorang rakan yang memiliki kedai tetapi kekurangan produk unik.
"Kami berkolaborasi bersama dan saya memperkenalkan Tajima Roti John, yang saya mula jual sejak PKP.
"Kini, perniagaan kami beroperasi di Medan Selera Seksyen 2, Shah Alam dan merancang untuk buka satu lagi cawangan di Vista Alam," tambahnya.
Trak makanannya pernah menerima kunjungan daripada krew Jalan Jalan Cari Makan, terbitan TV3.
Selain daripada kejayaan perniagaannya, Dzul Nizman juga berkongsi kepentingan mencari mentor dan belajar ilmu pemasaran untuk berjaya dalam dunia perniagaan.
"Kita kena cari mentor yang ada bukti kejayaan, dan jangan sombong untuk belajar. Saya sendiri mula 'naik' selepas belajar tentang pemasaran dan menyertai komuniti yang membantu menyokong perniagaan saya," katanya.
Perjalanan bekas cef ini bukanlah mudah, namun dengan tekad, sokongan keluarga dan strategi pemasaran yang baik, dia kini kembali bangkit sebagai usahawan berjaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram