Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'


  • Bizz
  • Isnin, 02 Sep 2024

Mohamad Firdaus (kiri) dan Ahmad Saifuddin mengasaskan Pelita Dhihin pada 2014.

PERNIAGAAN membuka kedai buku bukanlah satu bidang yang cukup popular untuk diceburi di Malaysia berbanding dengan perniagaan lain.

Di sebalik kepentingan terhadap sesebuah masyarakat, terdapat beberapa faktor menyumbang kepada berlakunya situasi itu sehingga mewujudkan tanggapan sedemikian.

Antaranya adalah peningkatan persaingan digital seperti pengunaan e-buku serta platform membaca dalam talian.

BACA LAGI: Bina aplikasi percuma bantu calon SPM ulang kaji pelajaran, pelajar MMU tersenarai kaut ganjaran hampir RM500,000

BACA LAGI: Graduan diploma dari Muar ambil peluang beralih bidang penuhi cita-cita miliki kebun sendiri

Selain itu, operasi kedai buku juga memerlukan kos yang tinggi untuk menanggung perbelanjaan seperti sewa kedai, menggaji pekerja dan pengurusan stok buku.

Kesemua faktor tersebut mewujudkan cabaran yang tidak sedikit buat usahawan yang mahu menceburi bidang perniagaan tersebut.

Tambahan pula, semasa pandemik Covid-19, negara turut menyaksikan berlakunya penutupan beberapa cawangan rangkaian kedai buku utama di seluruh Malaysia.

Namun, di sebalik tempoh sukar terpaksa dilalui perniagaan kedai buku di dalam negara, kedai buku mandiri, Pelita Dhihin Bookstore (Pelita Dhihin) berjaya mengekalkan kemapanan perniagaannya mengharungi suasana mencabar itu.

Malah, ketika kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020, kedai buku yang beroperasi di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya, Selangor itu mencatatkan rekod jualan tahunan mencecah RM800,000.

6242481166984792536

Pelita Dhihin memberikan fokus terhadap jualan buku ilmiah dalam bidang falsafah, sejarah, sains dan agama.

Pelita Dhihin diasaskan pada 2014 oleh dua orang rakan iaitu Mohamad Firdaus Pozi yang kini turut memegang jawatan selaku pengarah dan juga Ahmad Saifuddin Amran.

Berbeza dengan rangkaian kedai buku lain, Pelita Dhihin memberikan fokus terhadap jualan buku ilmiah dalam bidang falsafah, sejarah, sains dan agama.

Berkongsi kepada Majoriti, Mohamad Firdaus berkata, sebelum menubuhkan Pelita Dhihin, dia dan Ahmad Saifuddin terlebih dahulu sudah menjual buku secara sambilan ketika mereka sedang melanjutkan pelajaran masing-masing di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).

Pada waktu itu, beliau berkata, kedua-dua mereka mempunyai koleksi pemilihan jualan buku yang agak unik dan masih belum mendapat permintaan begitu meluas dalam kalangan pembaca di Malaysia.

"Saifuddin dia lebih khusus kepada buku ilmiah tempatan yang kurang dapat sambutan umum waktu itu.

"Kemudian saya pula lebih khusus kepada buku terpakai daripada luar negara. Pada masa itu, tukaran mata wang antara ringgit Malaysia dan dolar AS (Amerika Syarikat) tidak seperti sekarang.

"Kemudian buku yang saya jual itu pun sebenarnya genrenya agak pelik sikit macam falsafah dan kalau buku agama pun dia macam bersifat sejarah dan teologi.

"Jadi dia bukan buku agama seperti dalam bidang fikah yang banyak di pasaran ketika tu," ujarnya.

Menurut Firdaus, pada awalnya, dia mengambil keputusan menjual buku secara sambilan secara tidak sengaja selepas berdepan kesukaran mendapatkan buku rujukan ketika sedang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang nuklear sains di UKM.

Pada masa itu, Firdaus berkata, dia memerlukan bahan sumber lebih khusus antaranya dalam bidang berkaitan falsafah sains dan fizik.

"Saya ada juga cadangkan kepada perpustakaan untuk dapatkan tapi mereka agak sukar sebab kebanyakannya buku lama dan mungkin sudah tidak diterbitkan.

"Jadi bila jadi macam itu, saya agak kecewa dan beranikan diri cari buku tersebut secara dalam talian dari luar negara.

"Waktu itu masih belum ramai lagi orang yang membeli secara dalam talian seperti sekarang," ujarnya.

Selepas berjaya membuat pembelian tersebut, Mohamad Firdaus berkata, dia kemudiannya turut menerima tempahan pembelian daripada bukan sahaja rakan-rakannya di universiti, malah daripada pensyarah yang mengajar.

6242481166984792537

Pelita Dhihin mempunyai koleksi jualan buku sebanyak kira-kira 8,000 unit.

Menyedari mengenai wujudnya permintaan terhadap buku sedemikian, dia dan Ahmad Saifuddin membuat keputusan untuk bergabung bagi menubuhkan Pelita Dhihin pada September 2014.

Mereka memulakan perniagaan terbabit dengan menyewa ruang kecil di premis milik syarikat penerbitan dan kedai buku Akademi Jawi yang terletak di Kajang, Selangor.

Pada waktu, Mohamad Firdaus berkata, Pelita Dhihin hanya mempunyai kurang daripada 1,000 koleksi buku.

"Walaupun jumlah koleksi masa itu kecil, tapi dari segi pemilihan tajuk tu tepat dan kena dengan kita punya kehendak pelanggan.

"Contohnya kita ada dapat satu set buku 40 jilid yang ditulis pada kurun ke-19 bertajuk Sacred Books of the East oleh Friedrich Müller dengan Harga agak murah iaitu dalam RM2,000 lebih.

"Buku macam ini mungkin tak dipandang sangat di sini pada waktu itu tapi ia dihargai oleh sekumpulan kecil pembaca tegar. Jadi kita fokus dengan pembaca seperti ini," ujarnya.

Cabaran perkenal buku ilmiah ke pasaran

Dalam pada itu, Mohamad Firdaus mengakui bahawa mereka turut berdepan cabaran dalam menarik minat pembaca di Malaysia terhadap koleksi buku ilmiah yang ditawarkan.

Selain harganya yang mahal, beliau berkata, budaya pembaca di Malaysia juga dilihat belum begitu terdedah kepada buku sedemikian yang sering kali dianggap sebagai 'buku berat' yang sukar difahami.

Untuk mengatasi perkara tersebut, Mohamad Firdaus berkata, Pelita Dhihin mengambil pendekatan turun ke lapangan dan menjual buku dengan membuka reruai di setiap majlis ilmu, persidangan atau mesyuarat diadakan pihak universiti, institut keilmuan dan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sebab buku-buku yang kami jual ini susah nak masuk ke kedai-kedai buku Utama. Jadi bila kami buka reruai di acara macam ini, ramai sebenarnya yang teruja dan baru tahu rupanya dekat Malaysia ada buku kualiti macam ini.

"Jadi kita memang kena pergi ke masyarakat. Memang ambil masa. Tapi alhamdulillah lepas itu permintaan terhadap buku tempatan makin meningkat dan penerbit pula makin bercambah," ujarnya.

Pada masa sama, Mohamad Firdaus berkata, trend permintaan terhadap buku ilmiah tempatan khususnya yang berbahasa Melayu turut menunjukkan peningkatan agak mendadak selepas pandemik Covid-19 iaitu pada 2021.

Mengulas mengenai cabaran dihadapi perniagaan kedai buku sehingga menyebabkan berlakunya penutupan premis, beliau berkata, situasi itu berkemungkinan berlaku kerana kebanyakan kedai buku agak lewat beradaptasi dengan jualan dalam talian.

"Kita antara yang terawal guna platform e-dagang. Waktu itu semua orang tak pandang. Kebanyakan (kedai buku) masuk secara tidak dirancang sebab Covid-19, tapi bukan sebab nak diversify pendapatan mereka," ujarnya.

Menurut Mohamad Firdaus, peralihan ke platform dalam talian sememangnya sangat membantu memastikan pendapatan syarikatnya dengan hampir 70 peratus jualannya ketika ini datang daripada platform tersebut.

Ujarnya, dengan penggunaan platform dalam talian, ia turut memacu peningkatan drastik terhadap jualan bukunya pada 2020, ketika syarikat lain bergelut berdepan dengan cabaran pandemic Covid-19.

6242481166984792538

Pelita Dhihin kini sudah berpindah ke premis baharu Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya, Selangor sejak 2019.

Pada tahun tersebut, beliau berkata, Pelita Dhihin berjaya merekodkan peningkatan jualan tahunan mencecah RM800,000 berbanding RM600,000 pada 2019.

Pelita Dhihin Bookstore yang sudah berpindah operasi ke Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya, Selangor sejak 2019 dengan jumlah keseluruhan koleksi bukunya turut meningkat kepada kira-kira 8,000 unit.

Sementara itu, Ahmad Saifuddin berkata, selepas hampir 10 tahun beroperasi, pendapatan syarikatnya dianggarkan sudah berkembang hampir empat kali ganda berbanding ketika awal ia ditubuhkan.

Meskipun tidak mencatatkan peningkatan mendadak, namun beliau berkata, Pelita Dhihin Bookstore berjaya menunjukkan kenaikan yang konsisten setiap tahun.

Sebagai contoh, beliau berkata, pada tahun lalu, jualan yang direkodkan syarikatnya meningkat kira-kira 10 peratus berbanding 2022.

"Keuntungan yang kita peroleh itu kita sebenarnya kita cuba untuk laburkan semula supaya kita dapat kembangkan lagi perniagaan," ujarnya yang turut memaklumkan bahawa Pelita Dhihin kini turut menjadi pembekal buku kepada agensi kerajaan dan perpustakaan di dalam negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram