BAGI Soo Wai Yan, keindahan kertas adalah terletak pada kemampuannya untuk digubah menjadi bunga yang cantik melalui beberapa teknik seperti potongan, lipatan dan gulungan.
Akui artis berusia 34 tahun ini, dia begitu mengagumi fleksibiliti kertas yang mampu membentuk bunga realistik dengan susunan unik dan mampu bertahan untuk tempoh bertahun-tahun lamanya.
“Kertas menawarkan kemungkinan yang tidak berkesudahan. Saya suka bagaimana ia boleh dimanipulasi menjadi pelbagai bentuk dengan kemahiran tangan," katanya.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Wai Yan meninggalkan kerjayanya sebagai kerani perakaunan di sebuah syarikat pembuatan pada 2017 untuk mengejar minatnya dalam seni kertas, dengan melancarkan studio reka bentuk kreatif yang khusus dalam pembuatan dan pemasangan bunga kertas dan.
“Saya tidak pernah menemui kegembiraan dalam bidang sains makanan atau bekerja dalam dunia korporat.
"Selepas membaca banyak artikel motivasi, saya memutuskan untuk meneruskan minat dalam membuat bunga kertas secara sepenuh masa,” jelasnya.
Perniagaan Wai Yan bagaimanapun tidak terkecuali daripada terkena tempias sewaktu penularan wabak Covid-19.
Justeru untuk kekal bertahan, dia menjalankan bengkel maya dan memperkenalkan Kit Rumah DIY untuk mereka yang ingin cuba menghasilkan bunga kertas, dalam masa sama mahu kekal selamat di rumah.
Setiap kit mengandungi semua item yang diperlukan untuk membuat beberapa jenis bunga, termasuk kertas warna, pembalut sejambak dan akses kepada tutorial dalam talian tentang cara membuat produk.
“Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama, saya tidak dapat mengendalikan bengkel secara bersemuka,” ujarnya yang berkongsi foto hasil ciptaannya menerusi laman Instagram evermoreflower.
Wai Yan gembira dengan keputusannya untuk meneruskan minat dalam hiasan bunga kertas.
Alternatif popular
Bunga kertas, yang dipercayai berasal dari China pada abad ke-17, sering digunakan sebagai hiasan pada majlis perkahwinan dan acara tertentu.
Tempohnya yang mampu bertahan lama menjadikan ia sebagai satu alternatif yang popular kepada bunga segar, selain tidak memerlukan penjagaan rapi seperti penyiraman atau cahaya matahari.
Wai Yan, seperti kebanyakan peminat kraf, meningkatkan kemahiran membuat kertasnya, dengan menonton video di platform media sosial seperti Pinterest dan YouTube.
“Media sosial adalah tempat yang bagus untuk mempelajari hobi dan kraf baharu. Saya belajar membuat bunga kertas daripada tutorial video pada 2014.
"Semasa konvokesyen universiti, saya ingin memberikan bunga yang kekal kepada kawan rapat saya.
“Bunga kertas yang saya buat adalah sesuatu yang unik dan rakan-rakan menyukainya, sehinggalah berita tentang perkara tersebut tersebar dan orang ramai mula menempah bunga kertas daripada saya.
"Saya menyedari bahawa karya seni ini juga mempunyai pasaran sendiri, jadi saya memutuskan untuk meneruskan aktiviti membuat bunga kertas,” katanya yang meminati kraf kertas sejak berada di tadika.
Wai Yan terpesona dengan cara kertas boleh berkembang menjadi karya seni yang unik hanya dengan beberapa potongan, lipatan dan trim.
Sewaktu di sekolah menengah katanya, dia ditugaskan untuk menjaga papan buletin sekolah selama enam tahun.
Pada masa itu, servis percetakan agak mahal, jadi dia akan memotong dan menghasilkan seni kertas untuk menghiasi papan berita.
"Kegiatan itu pada akhirnya membolehkan saya meningkatkan kemahiran memotong kertas," ujarnya yang turut menggunakan bunga kertas sebagai dekorasi pada majlis perkahwinannya.
Bunga kertas buatan Wai Yan datang dalam pelbagai saiz, daripada bunga kecil ibu jari hinggalah kepada bunga gergasi selebar kipas siling, iaitu kira-kira 122 sentimeter (cm).
Wai Yan (kiri) turut menggunakan bunga kertas sebagai dekorasi pada majlis perkahwinannya.
Logo mawar
Sebagai penghormatan kepada bunga pertama yang dibuatnya, pengasas Evermore Flower yang beroperasi di Damansara Jaya dekat Petaling Jaya, Selangor itu mengambil keputusan untuk menjadikan mawar sebagai logo perniagaannya.
Bunga kertas cetakan tiga dimensi (3D) itu bagaimanapun memerlukan dia mengeluarkan kit bunganya yang mempunyai pelbagai alat dan bahan (termasuk playar, wayar dan juga kadbod).
.
Hasil ciptaan tangan Wai Yan digunakan sebagai penutup kepala untuk penggambaran. — Instagram/Donerrin
Salah satu karyanya yang paling terkenal ialah penghias dinding, dengan menampilkan bunga mawar David Austin, yang terkenal dengan bunga-bunganya yang kemas dan rata.
“Bunga ini mempunyai banyak kelopak berlipat di tengahnya. Sebab itu ia mengambil masa untuk memotong dan membentuk setiap kelopak.
"David Austin Rose yang sebenar mengambil masa 60 tahun untuk dicipta melalui pembiakan silang. Walaupun kerja keras, saya suka menghasilkan bunga kerana ia memberikan saya ketenangan,” luah wanita tersebut. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram