TIADA tuah sepanjang menyertai dunia seni yang diceburi sejak usia kanak-kanak mendorong Erna Elliyana Rosli memilih bidang kecantikan sebagai platform perniagaannya.
Pernah dikenali menerusi watak seorang budak lelaki bernama Amir dalam filem Suami Isteri dan..., usahawan berusia 36 tahun itu mengakui terpaksa meninggalkan status sebagai anak seni kerana tiada rezeki dalam karier yang diminatinya itu.
Selain berlakon, kongsinya, dia turut aktif menyanyi selepas menyertai sebuah pertandingan nyanyian, Sinaran Pasport Kegemilangan pada 2000, Malaysia Idol (2004) dan One In A Million (2006).
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
“Namun, perjalanan dalam karier seni tidak mudah. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian, berkahwin dan mengusahakan perniagaan kecantikan,” katanya.
Akui wanita itu, pembabitan dalam dunia seni lakonan dan nyanyian banyak memberi pendedahan tentang peri pentingnya menjaga penampilan dan kecantikan.
Pengasas Kamya Glow itu juga memberitahu, sejak di usia muda dirinya mudah tertarik dengan individu berketerampilan menarik dan berkerjaya.
“Saya ingin melihat golongan wanita memiliki pakej lengkap dan menarik kerana kecantikan memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan diri.
“Pengalaman ini juga mendorong saya untuk melihat wanita lain cantik dari segi penampilan,’’ ujarnya yang mula mengeluarkan produk Kamya Glow pada 2020.
Erna Elliyana memegang watak sebagai budak lelaki bernama Amir dalam filem Suami Isteri dan...
Ditanya tentang produk sulung Kamya Glow, Erna Elliyana memberitahu, minuman botanikal tinggi kandungan vitamin C dan antioksidan merupakan buah tangan pertama yang dipasarkan di bawah jenamanya.
Ini kerana jelas penerima Anugerah Naib Canselor Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dalam Pengurusan Risiko, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor itu, dia percaya, sesungguhnya penjagaan kesihatan dalaman memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan kesihatan luaran.
Berbicara lanjut mengenai perjalanan perniagaannya, akui usahawan itu, berkecimpung dalam dunia kecantikan sebenarnya tidak hanya terhad di situ sahaja.
Selepas setahun mengeluarkan minuman kesihatan, legasi Kamya Beauty tampil dengan produk lip matte dan pelembap bibir.
“Sambutan yang menggalakkan mendorong saya untuk mengeluarkan produk makanan tambahan menerusi Kamya Glow Tablet merangkumi Whiteze, Sugaheir dan Cleaskyn pada dua tahun lalu.
“Formulasi tablet digunakan untuk memudahkan proses pengambilan. Produk ini membantu mencerah dan membersihkan kulit serta menjadikan rambut lebih kuat.
“Awal Februari 2023, sabun Kamya diperkenalkan bertujuan membantu melembabkan kulit, mengurangkan jerawat dan jeragat,” jelasnya kesemua produk berkenaan menggunakan bahan berkualiti seperti delima, epal dan camu-camu yang diimport.
Erna Elliyana begitu menitikberatkan penjagaan kesihatan dalaman dalam usaha membantu meningkatkan kesihatan luaran.
Kedai pop-up
Ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu, Kamya Glow bukan sahaja berasaskan bahan-bahan yang membantu membekalkan tenaga sepanjang pengambilan, malah menggunakan teknologi canggih.
Kelebihan itu sedikit sebanyak membolehkan jenama berkenaan memikat hati pengguna dari negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia, selain konsumer tempatan.
“Setiap produk dihasilkan menjalani program penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang rapi.
“Pemilihan kandungan bahan semula jadi yang lembut untuk kulit turut diberi keutamaan agar tiada kesan sampingan dalam jangka masa panjang,” jelasnya lanjut.
Erna Elliyana (kanan) ketika menerima anugerah Nona Beauty & Health Brand Award di Nona Superwoman Award 2022. — Instagram/kamya.my
Penerima The Brandlaureate-Bumiputera Best Brand Awards 2021 dan The Young CEO Award 2022 itu mengakui membangunkan perniagaan dalam sektor penjagaan diri dan kecantikan menuntut pengorbanan dan kesabaran menempuhi pelbagai cabaran.
Baginya, antara pengorbanan dari sudut masa termasuklah melunaskan tanggungjawab sebagai seorang usahawan, ibu dan isteri.
“Tugas ini tidak mudah, namun saya cuba membahagikan masa sebaik-baiknya tanpa perlu mengetepikan keperluan keluarga.
“Mujur, suami sangat memahami dan memberikan sokongan untuk saya meneruskan perniagaan,” katanya yang berpegang pada prinsip berfikiran terbuka dan positif.
Jenama Kamya Glow turut berjaya memikat hati pengguna dari negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia. — Instagram/kamya.my
Berkongsi resipi kejayaan, katanya, kawalan emosi sangat penting dalam usaha memastikan seseorang usahawan itu konsisten dan terus kukuh dalam bidang perniagaan.
“Jangan sesekali membuat keputusan mengikut perasaan,” pesannya.
Menyentuh perancangan masa depan, bicara Erna Elliyana, Kamya Glow merancang untuk beralih daripada perniagaan dalam talian kepada pembukaan ruang niaga konsep kedai pop-up secara berperingkat.
“Konsep ini dapat mendekatkan pengguna dan membuka jaringan pemasaran lebih menyeluruh,” ujar anak jati Batu Caves, Selangor itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram