Timba ilmu kulinari dari seluruh dunia, air tangan peribadi Chef Nurliyana jadi pilihan kerabat diraja, ekspatriat


  • Bizz
  • Sabtu, 19 Okt 2024

Nurliyanamenerima latihan kulinari dari serata dunia termasuk Jepun dan Perancis.

PERKHIDMATAN cef peribadi semakin mendapat tempat dalam kalangan individu yang mendambakan pengalaman makan eksklusif dan tersendiri.

Berbeza dengan cef di restoran yang menyediakan hidangan untuk ramai pelanggan dalam suasana umum, cef peribadi menyediakan khidmat khusus untuk individu, keluarga, atau kumpulan kecil di lokasi pilihan, biasanya di rumah pelanggan sendiri.

Ia bukan sekadar penyediaan makanan, tetapi satu pengalaman gastronomi yang diolah khas mengikut cita rasa dan keperluan pelanggan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Pernah tak anda terfikir, golongan selebriti Hollywood seperti Rihanna, Jennifer Lopez meskipun sibuk dengan rutin kehidupan, tetapi diet mereka masih terjaga? Jika suatu ketika da hulu, perkhidmatan cef peribadi dikenali dalam kalangan golongan orang berkepentingan (VIP), kini permintaan pasaran itu mula melalui fasa anjakan.

Perkhidmatan cef peribadi kini terbuka untuk individu yang mahukan bantuan berkaitan penyediaan makanan dan diet sihat.

Ada juga yang mendapatkan perkhidmatan itu kerana mahu menjaga standard makanan persis restoran mewah di dapur rumah sendiri.

Chef Nurliyana Rusli berkongsi pengalaman sebagai cef peribadi sejak kembali ke Malaysia empat tahun lalu.

Top view of four people having dinner together while sitting at the rustic wooden table

Cef peribadi menyediakan khidmat khusus untuk individu, keluarga, atau kumpulan kecil di lokasi pilihan.

Cef yang menerima latihan kulinari dari serata dunia termasuk Jepun dan Perancis itu mengakui pengambilan makanan seimbang, sihat dan bersih sangat penting.

Untuk menjadi cef peribadi, seseorang itu perlu mempunyai ilmu tentang makanan dan gizi nutrisi makanan.

Pengetahuan itu juga membolehkan cef peribadi menjadi kreatif mencipta menu buat pelanggan. Bermula daripada merancang menu, membeli bahan masakan dan memasak, tugas cef peribadi mengutamakan kesihatan pelanggan.

Akuinya, pengalaman berada dalam industri kulinari juga membantu dirinya untuk lebih terbuka merancang menu diperlukan.

“Menu disediakan lazimnya memasak mengikut keperluan dan cara hidup pelanggan.

“Adakala saya ditugaskan untuk menyediakan hidangan untuk semua ahli keluarga, bahkan majlis anjuran pelanggan,” jelasnya.

Menyentuh tentang pilihan menu, kebiasaannya pelanggan akan berkongsi tentang diet, alahan atau masalah pemakanan dihadapi.

Bermula daripada kajian dan penyelidikan rapi, cef akan merancang pemilihan bahan yang sesuai untuk dijadikan menu.

2

Masakan baik tempatan mahupun Barat, Cina dan Jepun, setiap hidangan dihasilkan mengambil kira kalori tubuh individu.

Konsep makanan

Susunan dan perancangan menu amat penting bagi memastikan pelanggan tidak tersasar daripada menikmati sajian bersesuaian. Konsep pemilihan makanan pula bergantung pada kreativiti cef itu sendiri, selain kehendak pelanggan.

Masakan baik tempatan mahupun Barat, Cina dan Jepun, setiap hidangan dihasilkan mengambil kira kalori tubuh individu.

“Misalnya, pesakit yang baru sembuh daripada kanser memerlukan rejim diet yang ketat, begitu juga pesakit diabetes.

“Tugas cef peribadi untuk memastikan hidangan disediakan dapat membantu proses pemulihan pesakit,” katanya.

Cef itu berkata, bahan-bahan masakan dibeli daripada pasar raya setiap tiga hari untuk mengekalkan kesegarannya.

Jika ada pelanggan meminta masakan eksotik, beliau akan membeli daripada pembekal tempatan diyakini atau memiliki reputasi baik.

Beliau berkata, proses memasak hidangan dikendalikan di rumah pelanggan sejam sebelum dihidangkan supaya makanan segar dan masih panas.

“Sekiranya pelanggan tiada di rumah, makanan yang disediakan lebih awal akan dibungkus dalam pembungkus atau bekas khas,” tuturnya.

Merancang menu dengan mengambil inspirasi dari destinasi dikunjungi dan buku masakan ditulis cef seluruh dunia, Nurliyana gemar mencuba.

Beliau juga bangga dengan perancangan menu kreatif dan mencapai pembaziran minimum kerana perkara sedemikian sukar dicapai di kebanyakan restoran.

“Perkhidmatan ini disambut baik oleh masyarakat, namun hanya untuk golongan tertentu. Pelanggan saya terdiri daripada kerabat diraja, ekspatriat dan golongan elit lazimnya memiliki jadual waktu padat,’’ ceritanya.

Resipi Ikan masak lemon dan herba bersama sayur

Bahan-bahan

Jus lemon

11/2 sudu minyak kelapa

Daun limau purut Daun kari 259 gram (g) isi ikan putih

Garam laut

Lada hitam tumbuk

120g quinoa

380 mililiter air

90g pak choi

90g kacang pea

Langkah penyediaan:

1. Panaskan ketuhar hingga 200 Celcius. Lapik talam memasak dengan kertas bakeri.

2. Satukan dan kacau jus lemon, minyak kelapa dan herba segar di dalam mangkuk.

3. Letakkan isi ikan di atas talam yang dialas kertas. Renjis jus lemon dan campuran herba.

4. Tambah perasa seperti garam dan serbuk lada puteh (jika suka).

5. Bakar isi ikan dalam ketuhar selama 15-20 minit atau hingga masak.

6. Untuk memasak quinoa, masukkan quinoa bersama air ke dalam kuali dan masak menggunakan api besar. Kacau sekali sekala, kecilkan api dan biarkan ia mereneh, tutup kuali selama 10 hingga 12 minit.

7. Masukkan pak choi dan kacang pea kukus selama kira-kira 4 minit dan keluarkan sayur apabila sudah lembut.

8. Letakkan quinoa atas pinggan dan isi ikan di atasnya. Hidang bersama sayur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram