Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab kedai makan gagal tarik pelanggan


  • Bizz
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Menurut Broku (gambar kiri), berdasarkan pengalamannya, tidak ada satu pun kegagalan restoran yang dibantu di bawahnya berpunca daripada hal mistik atau buatan orang.

DALAM kalangan masyarakat, terdapat kepercayaan bahawa antara punca sesebuah perniagaan kedai makan tidak laku adalah disebabkan sihir atau buatan orang.

Kepercayaan ini biasanya dikaitkan dengan persaingan tidak sihat atau dengki, di mana ada pihak yang didakwa menggunakan ilmu hitam untuk menjatuhkan perniagaan lain.

Kedai makan yang tidak mendapat sambutan sering kali dikaitkan dengan tanda seperti pelanggan hilang secara tiba-tiba, makanan basi walau baru dimasak atau suasana kedai suram dan tidak menarik.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Lepas tembusi pasaran hampir 30 negara, John ada misi jadikan Hausboom syarikat minuman terbesar negara

Dalam berdepan situasi itu, pemilik kedai terbabit kebiasaannya mungkin mengambil langkah seperti mendapatkan khidmat bomoh atau ustaz untuk memulihkan perniagaan mereka.

Bagi Presiden Broku Sdn Bhd, Ku Addy Fazly Ku Radin, 41, berkata, beliau tidak menolak mengenai kemungkinan terdapatnya kebenaran dalam kepercayaan tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, berdasarkan pengalaman syarikatnya membantu dan melatih kira-kira 50,000 pengusaha kedai makan di seluruh negara, kebanyakan daripadanya kes berkenaan bukan berpunca daripada hal mistik atau ilmu hitam.

"Kita tak nafikan kadang-kadang benda itu memang berlaku. Tapi yang tak baiknya adalah orang kita ini senang sangat untuk gunakan benda itu sebagai punca kepada masalah mereka.

"Kebanyakan kedai dia akan mula benda sama sahaja, cerita yang pertama adalah orang lalu kedai dia tak nampak. Kedua, nasi dan makanan dia cepat basi.

"Lepas itu ketiga, pekerja dia kerap sakit. Tiga ni adalah karakter utama yang selalunya orang beritahu kedai dia kena buatan orang," katanya kepada Majoriti.

This dirty kitchen shows much of the food preparation is done outside.

Pelaksanaan SOP penyediaan makanan terutamanya daripada segi kebersihan amat penting untuk memastikan operasi di kedai terbabit berjalan dengan lancar. — Gambar hiasan

Dalam berdepan kes sedemikian, Ku Addy atau lebih dikenali sebagai Broku berkata, pasukannya akan cuba melihat masalah tersebut daripada beberapa perspektif lain.

Ujarnya, antara perkara tersebut adalah keterlihatan kedai berkenaan termasuk lokasi, prosedur operasi standard (SOP) penyediaan makanan dan juga motivasi pekerja.

"Bila jumpa kes pemilik yang dakwa kena dia kena 'buatan orang', saya dan pasukan sangat suka. Kebiasaannya kita akan pergi tengok sendiri kedai terbabit.

"Pertama, kita tengok betul ke tak kedai dia orang tak nampak. Saya cari memang tak jumpa kadang-kadang, kena pusing dua tiga kali sebab isu visibility. Lampu tak ada, kedudukan papan tanda tak betul sebab diletakkan di antara celah-celah sampai tenggelam dengan kedai lain.

"Kedua, kenapa makanan dia cepat basi. Bila kita tengok SOP makanan dia teruk, kebersihan tak jaga, Kemudian isu pekerja sakit. Benda ini kadang-kadang kita tak boleh buat apa. Bila kedai tak ramai orang, pekerja tak ada motivasi. Bila macam itu memang senanglah datang semua sakit-sakit," ujarnya.

Diminta mengulas mengenai punca, utama kegagalan sesebuah restoran atau kedai makan, Broku berkata, secara asasnya, terdapat tiga perkara menyumbang kepada masalah tersebut.

Pertama menurutnya adalah ketiadaan minat yang mendalam oleh pengusaha restoran terdapat produk makanan jualannya.

"Bila berniaga tanpa minat, memang tak boleh tahan lama. Berniaga F&B ini tak boleh asal boleh sahaja.

"Kalau dia nak berniaga kedai makan ini, kena jatuh cinta dulu dengan apa yang anda jual, kalau tak memang tak jadi," ujarnya.

Kedua, Broku berkata, pengusaha kedai makan juga perlu mempunyai ilmu yang mencukupi untuk menjalankan operasi perniagaannya.

6253345961069886413

Menurut Broku, selain daripada pengurusan makanan dan pekerja, usahawan kedai makan juga perlu bijak untuk menguruskan pelanggan. — Gambar hiasan

Pada waktu ini, beliau berkata, kebanyakan peniaga khususnya Bumiputera menganggap bahawa ilmu perniagaan makanan itu boleh dipelajari sendiri tanpa sebarang tunjuk ajar.

"Bukan tidak boleh sendiri, boleh. Tapi anda akan ambil masa lama untuk berjaya. Potensi untuk langgar 'dinding' pun tinggi," ujarnya.

Ketiga, Broku berkata, isu pengurusan juga menjadi antara faktor utama kegagalan perniagaan sesebuah kedai makan atau perniagaan F&B.

"Usahawan F&B kebanyakannya tidak didedahkan dengan ilmu pengurusan. Mereka ingat restoran ini hanya di sekitar marketing, media sosial ataupun influencer review makanan.

"Sedangkan benda itu adalah soal yang di belakang. Yang paling penting sebenarnya soal mengurus. Tapi bukan hanya mengurus makanan sahaja seperti kepercayaan ramai.

"Pengurusan perniagaan makanan ini juga melibatkan bagaimana anda menguruskan pekerja dan pelanggan.

"Jadi kalau semua ini anda boleh buat, tak perlu buka restoran, jual air sarsi tepi jalan pun boleh berjaya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram