PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar empat tahun lalu benar-benar memberi tamparan hebat buat Mubarak Abd Rahman.
Meninggalkan kariernya selepas enam tahun berkhidmat sebagai pegawai bank di ibu kota, usahawan berusia 37 itu sedar, dia perlu melakukan sesuatu untuk menyara isteri dan tiga cahaya matanya.
Dengan bantuan isteri, Siti Nazirah Basri, 36, anak jati Kampung Rambai, Pendang, Kedah itu pada mulanya memutuskan untuk menjual nasi Arab bermula dari kediamannya yang terletak di Bandar Seri Coalfields dekat Sungai Buloh, Selangor.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Mubarak masih mengekalkan harga jualan asal nasi daging, iaitu RM10 bagi satu set.
"Kami mula berniaga ketika PKP, dengan pelanggan kami kebanyakannya terdiri dalam kalangan jiran dan rakan-rakan.
"Perniagaan tersebut sempat berjalan selama setahun sebelum kami cuba menjual nasi daging pula kerana penyediaannya lebih mudah berbanding nasi Arab," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya lagi, resipi nasi daging yang digunakan adalah hasil ajaran orang tuanya dan sedikit sebanyak diubah suai mengikut cita rasa sendiri dan permintaan pelanggan.
Tanpa diduga, percubaan tersebut membuahkan hasil apabila jualan nasi daging hasil air tangan pengusaha Nasi Daging Utara By Dapoq Daniyal’s itu mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat.
Pada 2021, pasangan ini menyewa sebuah kios di restoran berhampiran dan memanfaatkan peluang untuk memperluas perniagaan mereka.
Nasi daging hasil air tangan Mubarak dan isterinya mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat.
Namun, dek tuntutan keluarga dan dalam keadaan isterinya juga dalam tempoh menunggu masa melahirkan anak ketiga, mereka memutuskan untuk kembali menjalankan perniagaan dari rumah pada Ogos 2023.
“Kami agak kepenatan sebenarnya apabila terpaksa berulang-alik dari kios dan rumah, apatah lagi dalam keadaan isteri saya sarat mengandung. Jadi kami akhirnya berniaga dari rumah sahaja.
"Lagipun, bekerja dari rumah lebih memudahkan untuk saya memantau dan menjaga anak-anak,” katanya yang mengambil masa sehingga dua bulan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (RnD) bagi menghasilkan rasa yang memenuhi kemahuan pelanggan.
Walaupun menghadapi cabaran seperti kenaikan harga bahan mentah termasuk beras, bawang, daging dan beberapa lagi, usahawan ini mengakui, dia masih mengekalkan harga jualan asal, iaitu RM10 bagi satu set.
"Kami cuba elakkan naikkan harga supaya tidak terlalu membebankan pelanggan," tambahnya yang turut menjual menu lain seperti bihun sup dan mi rebus bagi mempelbagaikan pilihan.
Usahawan ini turut menjual menu lain seperti mi rebus bagi mempelbagaikan pilihan.
Pembuatan nasi daging
Berkongsi resipi, Mubarak berkata, nasi memainkan peranan begitu penting untuk membangkitkan selera.
Jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lagi, pembuatan nasi daging bermula daripada pemilihan beras, sukatan air dan tumisan rempah yang memerlukan teknik.
Dia juga tidak lokek berkongsi resipi untuk mendapatkan nasi yang gebu pemilihan beras basmati disarankan.
Tekstur nasi yang panjang dan ringan membuatkan hidangan itu tidak menjemukan.
Bagi mendapatkan aroma, baki air rebusan daging digunakan untuk memasak nasi.
Nasi memainkan peranan penting untuk menarik selera.
“Beras akan menyerap aroma air rebusan daging membuat nasi menjadi gebu dan enak dimakan begitu sahaja.
“Anda boleh gunakan sukatan 500 gram beras campur dengan 700 mililiter air,” tuturnya.
Beras basmati adalah sejenis beras panjang yang ditanam di India dan Pakistan.
Bagi mendapatkan daging yang lembut, Mubarak menyarankan penggunaan periuk bertekanan tinggi untuk menjimatkan masa.
Katanya, setiap hari dia dan isteri akan menyiapkan lebih 60 bekas nasi daging atau 5 kilogram (kg) beras digunakan.
Mengambil masa hampir empat jam untuk memasak, ujarnya, nasi daging air asam sememangnya mendapat sambutan lebih-lebih lagi pada Ramadan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram