Anak tak makan sayur-sayuran? Produk Johor Mee Sayur Yumny jadi solusi terbaik


  • 112
  • Isnin, 07 Okt 2024

Khadijah (kanan) bertekad untuk menghasilkan mi sayur dengan kos yang rendah tanpa mengorbankan kualiti untuk golongan yang berpendapatan rendah.

KETIKA dunia semakin sibuk mengejar kemajuan, ramai di antara kita sering terlupa tentang perkara paling asas dalam kehidupan iaitu pemakanan yang sihat.

Namun, bagi Dr. Khadijah Zakaria, pemakanan adalah kunci kepada kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna terutamanya dalam golongan B40.

Misinya jelas, mencipta perubahan dalam pemakanan rakyat, bermula dengan apa yang paling digemari iaitu mi sihat yang diolah daripada bahan-bahan berkhasiat.

BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

BACA LAGI: 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas

Pada mulanya, wanita yang berumur 66 tahun ini hanyalah seorang doktor yang mendengar keluhan biasa daripada ibu-ibu yang datang ke kliniknya.

"Anak-anak mereka menolak makan sayur, lebih gemar makan mi segera yang rendah nutrisi.

"Selalu kalau mereka datang ke klinik, ada dalam kalangan ibu yang mengeluh dengan menyoal, 'Doktor, apa saya nak buat? Anak saya tak makan sayur langsung?

photo_6055342548475560294_y

Khadijah (kanan) bersama suaminya ketika melayani pelanggan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 baru-baru ini.

Masalah tersebut tidak asing lagi bagi Khadijah, tetapi suatu hari, dia melihat potensi di sebalik masalah tersebut dengan menghasilkan mi berkhasiat.

"Saya fikir, kenapa tidak kita gabungkan sayur dalam mi?

"Dari sebuah idea kecil itu, saya memulakan misi besar mencipta mi sayur yang bukan sahaja lazat, tetapi juga kaya dengan nutrisi," katanya yang juga pengasas utama Mee Sayur Yumny kepada Majoriti.

Diolah dengan empat perisa sayur-sayuran seperti labu, sawi, bayam dan lobak merah, setiap produk Mee Sayur Yumny mengandungi nutrisi berbeza dan menggunakan bahan asas seperti tepung, telur dan pelbagai sayuran segar untuk memenuhi selera pengguna.

Sejujurnya, jika dilihat pada masa kasar, mi yang dihasilkan itu dilihat seperti mi segera yang sudah ada dalam pasaran pada ketika ini.

Namun, melihat kepada ramuan utama, ia jauh lebih sihat kerana diolah daripada sayur-sayuran sekali gus membolehkan kanak-kanak memperoleh nutrisi yang terdapat pada bahan organik terbabit.

Menurut wanita berasal dari Johor itu, beliau telah mengambil masa selama 10 tahun lebih menyiapkan resipi sihat itu.

Saya mencipta mi yang tidak menggunakan protein tinggi, apatah lagi bahan terbabit mampu menyebabkan hiperaktif dan mendatangkan masalah kepada perut.

“Paling mustahak bahan utama digunakan tidak menggunakan bahan kimia berbahaya, bebas monosodium glutamat (MSG), pewarna tiruan, bahan pengawet dan tiada asid borik,” katanya.

Mengimbau kembali perjalanan menghasilkan produk tersebut, Khadijah mengakui ia bukanlah mudah.

Ibu kepada sembilan anak itu membangunkan produk secara pembangunan dan penyelidikan (R&D) beberapa tahun.

"Setiap hari, saya akan menguji adunan-adunan mi yang di campur sayuran seperti bayam, lobak merah, dan labu.

"Saya mahu memastikan bahawa nutrisi sayuran tetap terpelihara, tetapi pada masa yang sama, produknya mampu dinikmati oleh semua golongan, termasuk golongan B40.

"Saya mahu memastikan produk ini tidak hanya sihat tetapi juga mampu milik," ujarnya yang memahami cabaran ekonomi yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah.

Jelas pesara doktor itu lagi, beliau bertekad untuk menghasilkan mi sayur dengan kos yang rendah tanpa mengorbankan kualiti.

Selama bertahun-tahun, cabaran demi cabaran datang silih berganti, harga bahan mentah yang melambung, kos pengeluaran yang tinggi, dan kritikan daripada mereka yang skeptis.

294641921_5746458402031421_267709684049662631_n

Produk Mee Sayur Yumny mengandungi nutrisi berbeza dan menggunakan bahan asas seperti tepung, telur dan pelbagai sayuran segar untuk memenuhi selera pengguna

Namun, setiap cabaran ini menjadi batu loncatan bagi Khadijah untuk terus belajar dan memperbaiki produknya.

"Dalam kehidupan ini, cabaran akan sentiasa ada. Tetapi apabila niat kita betul, ALLAH akan tunjukkan jalan,” katanya penuh keyakinan.

Dengan sokongan pesakit, keluarga, dan rakan-rakan, Khadijah berjaya mengembangkan produk mi sayurnya ke pasaran.

Hari ini, Mee Sayur Yumny berasaskan bayam, lobak merah dan labu hasil ciptaannya menjadi pilihan bagi mereka yang mencari makanan lebih sihat dan semula jadi.

Namun bagi Khadijah, kejayaannya bukan sekadar produk di pasaran. Baginya, setiap paket mi sayur yang dijual adalah harapan—harapan untuk kesihatan yang lebih baik, untuk generasi yang lebih bijak memilih makanan, dan untuk dunia yang lebih sihat.

“Saya mahu memberi inspirasi kepada semua orang bahawa perubahan bermula dari meja makan. Kesihatan kita adalah tanggungjawab kita,” katanya sambil tersenyum.

313376752_486653450165899_3599949966568556501_n

Produk Mee Sayur Yumny pernah memenangi Anugerah Inovasi Agro Johor, johan Anugerah Cabaran Inovasi Johor 2016 anjuran Bahagian Teknologi dan ICT Negeri Johor (BSTICT) dan lain lain lagi

Kisah Khadijah adalah inspirasi bagi kita semua. Di sebalik usia yang lanjut dan cabaran yang datang tanpa henti, beliau tetap berjuang untuk membawa perubahan positif dalam dunia pemakanan.

Bagi beliau, setiap langkah kecil ke arah pemakanan yang lebih baik adalah langkah besar menuju kesihatan yang lebih baik untuk semua.

Berkongsi kejayaannya, beliau yang kini dibantu suami serta anaknya yang lain pernah memenangi beberapa anugerah berikutan kejayaannya menghasilkan mi sihat daripada sayur-sayuran sejak 2013.

“Antaranya, saya memenangi Anugerah Inovasi Agro Johor, johan Anugerah Cabaran Inovasi Johor 2016 anjuran Bahagian Teknologi dan ICT Negeri Johor (BSTICT) dan lain lain lagi," ujar beliau yang turut mempunyai kilang dan syarikat sendiri iaitu Rabbisyfina Food Industry di Johor.

Mereka yang ingin mengetahui mengenai mi sihat itu boleh melayari laman sesawang https://yumny.my/Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram