SEBAGAI seorang penyelam komersial, Fatin Nadzirah Mohd Arsad memiliki 1001 pengalaman untuk dikongsi ketika menyelam di bawah air.
"Pernah sekali saya berdepan dengan detik cemas semasa saya menggerudi (drilling) di bawah air bersama suami.
"Pada ketika itu, saya secara tidak sengaja terjatuh bersama gerudi hidraulik (yang terlepas dari genggaman) pada kira-kira kedalaman tiga meter selepas menebuk satu lubang.
BACA LAGI : Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis
Namun saya bernasib baik kerana pada waktu itu, terdapat lumpur di bahagian bawah dan kebetulan ada dua penyelam lain yang turut membantu saya.
"(Dari pengalaman itu) Kami belajar untuk sentiasa memastikan gerudi sentiasa berada dalam keadaan selamat di tangan kami selepas menebuk setiap lubang. Perkara utama yang menjadi kunci adalah untuk tidak panik.
"Ini bagi memastikan kita boleh mencari penyelesaian jika sesuatu tidak diingini berlaku serta boleh belajar daripada kesilapan untuk mencegah kejadian akan datang," kata Fatin yang mendakwa pernah disengat obor-obor ketika bekerja.
Fatin sudah menyelesaikan lebih 200 selaman komersial setakat ini.
Meskipun berdepan cabaran tersebut, tiada langsung sebarang perasaan gentar pada dirinya kerana wanita berkenaan benar-benar mencintai pekerjaannya.
"Saya fikir salah satu sebab adalah kerana minat saya untuk menyelam benar-benar mendalam," jelas Fatin yang sudah menyelesaikan lebih 200 selaman komersial setakat ini.
Pada masa sama, wanita berusia 33 tahun itu turut berbangga menjadi salah seorang daripada segelintir penyelam komersial wanita yang aktif di Malaysia.
"Terdapat tanggapan umum bahawa kaum wanita tidak boleh mengendalikan pekerjaan ini yang secara tradisinya dilihat lebih sesuai untuk para lelaki.
"Sesetengah orang berpendapat pekerjaan tersebut menuntut kekuatan fizikal, lebih-lebih lagi untuk membawa peralatan berat dan menyelam selama berjam-jam sekali gus berbahaya.
"Namun hakikatnya, dengan kemahiran, latihan dan peralatan yang betul, tugas-tugas ini boleh diuruskan," katanya.
Fatin beranggapan bahawa, penyelam komersial merupakan satu pekerjaan yang bermanfaat dan memuaskan.
Tambahnya, salah satu punca kaum wanita mengelak untuk berkecimpung dalam dunia ini adalah kerana ketidakselesaan dengan pakaian selam ketika menyelam.
Dalam pada itu, Fatin beranggapan bahawa, penyelam komersial merupakan satu pekerjaan yang bermanfaat dan memuaskan.
"Berada di dalam air adalah perkara luar biasa dan kami juga pernah menuju ke dalam air yang memiliki kedalaman berbeza," ujar wanita ramah itu.
Penyelaman komersial dijalankan oleh penyelam profesional untuk melaksanakan tugasan yang berkaitan dengan aktiviti perindustrian terlibat dalam kimpalan bawah air, pemotongan, operasi penyelamatan dan pembersihan alam sekitar.
Penyelam menggunakan peralatan khusus serta memakai sut menyelam dikenali sebagai Farmer Johns atau Janes untuk menjalankan tugas.
Fatin (tengah) menegaskan mengenai kepentingan untuk menggalakkan orang lain untuk mengejar minat masing-masing tanpa mengira jantina.
Berkongsi lanjut, Fatin masih mengingati saat-saat dia dibuli oleh rakan lelaki ketika awal kariernya menjadi penyelam komersial.
Fatin berkata, perkara itu berlaku kerana dia hanya seorang wanita dan bukan disebabkan dia tidak memiliki kemahiran mahu pun pengetahuan untuk menyelesaikan pekerjaan tersebut.
Bagaimanapun, dia tetap bertahan dan enggan membiarkan kejadian buli yang menimpa menjadi penghalang untuknya meneruskan karier.
"Pada mulanya, beberapa lelaki meragui kebolehan saya hanya kerana saya seorang wanita. Mereka cuba mencabar saya dengan memberi saya kerja tambahan.
"Tetapi, saya tidak mahu membiarkan mereka membuat saya menangis dan saya tidak pernah berputus asa.
"Semakin kuat mereka menganggap saya tidak boleh melakukan tugas itu, semakin kuat semangat saya.Kini, mereka mengenali kekuatan saya dan menganggap saya sebagai ahli pasukan yang sama," katanya.
Fatin turut menegaskan mengenai kepentingan untuk menggalakkan orang lain untuk mengejar minat masing-masing tanpa mengira jantina.
Katanya, tiada pekerjaan terlalu sukar untuk wanita yang mempunyai tekad dan keberanian untuk menyahut serta berjaya dalam sebarang cabaran.
"Jika saya boleh melakukannya, saya rasa wanita lain juga boleh berjaya dalam bidang ini. Ia bermula daripada minat dan kesanggupan untuk mencuba sesuatu yang baharu," katanya yang pernah menjadi penyelam komersial wanita dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur selama lebih tiga tahun.
Lebih manis lagi, Fatin bertemu jodoh dengan lelaki yang mempunyai minat yang sama, Ahmad Saifuddin Ahmad Sapawi, 35.
Katanya, mereka berkenalan ketika lawatan selam skuba di Pulau Bidong, Terengganu pada 2012.
Pasangan tersebut dikurniakan tiga anak perempuan berusia empat, tujuh dan 10 tahun.
Fatin (kiri) bersama suaminya, Ahmad Saifuddin ketika melakukan aktiviti selaman bersama-sama.
Melawan Arus
Kongsi Fatin, dia sentiasa meminati sukan dan aktiviti berasaskan air. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati Kuala Lumpur itu juga pernah bekerja sebagai tenaga pengajar renang ketika bersekolah.
"Sejak kecil, saya sentiasa tertarik dengan aktiviti berasaskan air. Di sekolah, saya bertanding dalam renang dan selepas tamat Pendidikan menengah, saya menjadi pengajar renang sambilan untuk mendapatkan wang saku tambahan.
"Saya juga selalu bercita-cita untuk mendapatkan lesen selam," katanya yang memenuhi impian itu pada 2009.
Meskipun wanita itu menyatakan minat mendalam untuk bekerja sebagai pengajar menyelam, namun ibunya bertegas supaya dia memberi tumpuan pada bidang akademik.
Dia kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi maklumat di sebuah universiti swasta dekat ibu negara, sebelum bekerja sebagai pentadbir pejabat di sebuah syarikat perunding luar pesisir.
Fatin bersama tiga orang anak kesayangannya.
Walaupun wanita tersebut sibuk bekerja, namun dia mengakui tidak pernah berhenti mengimpikan untuk bekerja di laut.
"Aktiviti menyelam mungkin kelihatan menakutkan bagi sesetengah pihak, namun saya rasa seolah-olah saya diberi kuasa di bawah air dan bebas," ujarnya yang kini mengendalikan pusat menyelam bersama suaminya di Pulau Tioman, Pahang.
Mengulas lanjut, Fatin memutuskan untuk mendapatkan lesen selam komersialnya pada tahun 2021.
Fatin mengakui bahawa suaminya, Ahmad Saifuddin memberi sokongan besar padanya ketika itu kerana kerjayanya memerlukan banyak latihan, usaha dan perbelanjaan.
Antara perkara yang perlu diambil kira dalam pekerjaan selam komersial adalah setiap penyelam perlu memiliki beberapa pensijilan, termasuk daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan Skim Akreditasi Penyelam Australia.
Katanya, kos untuk memperoleh sijil berkenaan adalah tidak murah dan dia sudah membelanjakan lebih RM50,000.
"Kursus latihan itu mahal kerana memerlukan peralatan khas dan latihan praktikal dalam situasi sukar.
"Selain itu, penyelam perlu tahu apa yang perlu dilakukan semasa kecemasan ketika menyelam," kata wanita langsing itu yang mengekalkan kecergasannya menerusi renang, senaman, gim, joging dan berbasikal.
Fatin mahu menjadi penyelam komersial wanita pertama Malaysia mencipta nama dalam Malaysia Book of Records.
Sebaik sahaja dia memperoleh pensijilan yang diperlukan, Fatin hanya perlu menunggu beberapa ketika sebelum meninggalkan kerjaya lama dan memulakan karier sebagai penyelam komersial.
"Bukan mudah untuk meyakinkan ibu untuk membenarkan saya meninggalkan pekerjaan saya. Dia mengambil berat tentang keselamatan saya, apatah lagi saya seorang ibu kepada anak-anak yang masih kecil.
"Bapa tiri saya yang mendorong saya untuk meneruskan minat untuk menyelam. Lama-kelamaan, barulah ibu memberi restu kepada saya," katanya yang bekerja di syarikat sama dengan suaminya.
Langkah gergasi Fatin
Terdapat dua jenis penyelam: Pesisir (pantai) dan luar pesisir (laut terbuka), masing-masing beroperasi dalam jarak tertentu.
Fatin dan suami merupakan penyelam pesisir pantai, melakukan operasi dalam jarak dua kilometer dari pantai, di perairan sehingga 30 meter turun ke kedalaman lebih 50 meter.
"Kami menggunakan jadual untuk menyelam mengikut kedalaman berbeza. Adalah penting untuk tidak melebihi had ini untuk mengelakkan risiko kesihatan seperti 'decompression sickness', 'hypoxia', dan kecederaan berkaitan tekanan.
"Contohnya, pada kedalaman lapan meter, kami dihadkan kepada masa menyelam maksimum selama empat jam," kata Fatin, yang mana tugasnya memerlukan dirinya menuju ke pelbagai lokasi di Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Antara kerja yang dilakukannya adalah menjalankan pemeriksaan dan membersihkan kemudahan tadahan air yang besar di Lembah Klang dan ada kalanya menjalankan latihan pemulihan terlibat seperti mendapatkan semula enjin bot yang terjatuh.
Menurut Fatin, setiap pekerjaan yang mempunyai bahaya tersendiri, jadi, penting bagi sesebuah pasukan bekerjasama untuk menangani dan menyelesaikan sebarang isu yang timbul.
Namun, katanya, dia masih belum lagi ditugaskan untuk mencari mayat yang hilang.
"Sebelum berlangsungnya setiap projek, kami mengadakan pertemuan dengan jurutera dan pengurus projek untuk bekerjasama.
"Semasa operasi, beberapa penyelam ditugaskan untuk memasuki ke dalam air. Kami dibantu oleh peralatan seperti kamera dan lampu, manakala penyelia dan pasukan tambahan di dek memberi arahan menerusi alat komunikasi tanpa wayar.
"Setiap pekerjaan yang mempunyai bahaya tersendiri, jadi, penting bagi sesebuah pasukan bekerjasama untuk menangani dan menyelesaikan sebarang isu yang timbul.
"Salah satu cabaran terbesar adalah mengurus perubahan tekanan, arus yang kuat dan jarak penglihatan yang terhad terutamanya apabila bekerja pada waktu malam," tambahnya.
Ujar Fatin, pekerjaan tersebut memerlukannya berada jauh dari rumah untuk beberapa hari hingga beberapa minggu.
Walaubagaimanapun, wanita itu bersyukur kerana memiliki pembantu yang boleh dipercayai untuk menjaga anak-anaknya semasa ketiadaannya, manakala ibu bapanya juga tinggal di lokasi berhampiran.
"Saya sangat merindui keluarga apabila saya pergi bekerja. Jadi, ada kalanya ketika saya ada tugasan di lokasi berhampiran seperti di Melaka, saya akan memandu pulang ke Kuala Lumpur untuk menemui suami dan anak-anak jika terlalu rindukan mereka. Saya kemudian pulang ke Melaka pada keesokan hari.
Baginya, satu nilai tambah pekerjaan itu adalah agak lumayan yang membolehkan wanita tersebut menjadi selektif tentang tugasannya, seterusnya membenarkannya menghabiskan masa bersama keluarganya.
"Kami dibayar mengikut hari dan kami boleh memperoleh kadar harian antara RM400 dan RM600. Jika ada tugasan di Singapura, kami mendapat mata wang Singapura yang sangat lumayan," katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Fatin berkata, matlamatnya seterusnya adalah mahu memperoleh 'saturation diving certification', satu lagi kursus melibatkan operasi bawah air yang lebih mendalam manakala kos bagi persijilan ini bernilai lebih daripada RM100,000.
Katanya, dia mahu menjadi penyelam komersial wanita pertama Malaysia dengan kelayakan tersebut.
"Saya boleh direkodkan dalam Malaysia Book of Records jika saya mencapai impian ini," tambahnya.— The Star/ SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram