Tragedi hantar anak pulang ke universiti, ibu maut kereta terbalik elak langgar bangkai lembu di Kuala Krai


  • 112
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Seorang wanita maut apabila kenderaan dinaiki bersama suami serta anak perempuannya terbabas akibat mengelak bangkai lembu di Kilometer 57 Jalan Kota Bharu - Gua Musang pada Jumaat. — PDRM

HASRAT seorang wanita menghantar anak perempuannya pulang ke universiti tidak kesampaian selepas kenderaan dinaiki bersama suami serta anak itu terbabas akibat mengelak bangkai lembu di Kilometer 57 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, Kelantan pada Jumaat.

Dalam kejadian pukul 6.57 pagi itu, mangsa Norma Mat, 55, yang tersepit di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kemalangan berlaku ketika suami isteri berkenaan dalam perjalanan menghantar anak perempuan mereka berusia 24 tahun pulang ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat Gombak, Selangor.

BACA LAGI : Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

BACA LAGI : Cabaran penebang pokok di musim tengkujuh, 14 tahun dalam lindungan ALLAH setinggi 50 meter dari atas tanah

"Setibanya di lokasi kejadian, kereta Perodua Bezza yang dipandu suami mangsa berusia 61 tahun mengelak bangkai seekor lembu yang berada di tengah jalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sehingga kenderaan berkenaan terbalik masuk ke dalam longkang.

"Sementara, suami mangsa mengalami sakit di bahagian dada dan penumpang belakang iaitu anak pasangan berkenaan cedera di kaki," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mazlan Mamat lagi, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk dibedah siasat, manakala suami serta anak perempuan mangsa turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis," katanya.

Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nurin Farisha Mohd Adam di talian 011 29286619. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram