PENGORBANAN bekas komando merupakan satu aspek yang sangat dihormati dalam perkhidmatan ketenteraan, terutamanya di Malaysia.
Anggota komando, termasuk bekas anggota pasukan elit seperti Komando 69 (VAT 69) atau Grup Gerak Khas (GGK) dalam Angkatan Tentera Malaysia, sering menghadapi cabaran yang luar biasa dalam melindungi negara.
Sehubungan itu, tak mustahil seorang komando lebih mengutamakan tugas dan misi negara berbanding kehidupan peribadi mereka.
Ini termasuk mengorbankan masa bersama keluarga, rakan-rakan dan kadang-kadang meninggalkan peluang untuk menikmati kehidupan biasa. Keluarga mereka turut menanggung beban perpisahan yang panjang, ketidakpastian dan kebimbangan tentang keselamatan mereka.
Bagi seorang bekas komando Paul Karpaya, antara pengorbanan terbesar yang pernah dibuat olehnya ketika bertugas ialah dia terpaksa meninggalkan isterinya bersalin sendirian ketika bertugas.
Paul bersama plak anugerah yang diperolehinya sepanjang 22 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia adalah sesuatu yang tidak ternilai malah beret hijau yang dimiliki juga sangat berharga.
Menurut anak jati Kampar, Perak itu lagi, ketika isteri beliau, D Letchimy mahu melahirkan anak sulung mereka pada 1984, beliau ketika itu berada dalam 22 Komando dan sedang menjalankan satu tugasan khas di Tapah.
"Saya risau dan rasa kesian dengan isteri yang melahirkan anak pertama kami tanpa saya di sisi. Dalam masa sama, saya tahu sebagai komando terlatih, tugas adalah lebih utama.
"Saya berdoa semoga Tuhan selamatkan isteri dan anak saya, dan saya juga dapat melaksanakan tugasan dengan sempurna.
"Sebulan selepas isteri bersalin baru saya dapat balik kampung di Kampar dan tengok mereka," katanya.
Paul yang menyertai Angkatan Tentera Malaysia pada 1973 sebelum ke 22 Komando pada 1976, berkata, antara operasi tidak boleh dilupakan dalam menjejak dan menangani komunis, adalah Ops Selamat Sawadee, di sempadan Perak dan Thailand.
Katanya semasa operasi itu yang turut melibatkan kerjasama dengan tentera Thailand pada 1979, beliau baru tiga tahun menamatkan latihan asas komando di Pusat Latihan Peperangan Khusus di Kem Sungai Udang Melaka, dengan pangkat koperal.
"Semasa itu, kalau dapat arahan untuk operasi, semua berlumba-lumba mahu sertai sebab nak buktikan kebolehan, duduk dalam kem sahaja tak sedap. Kami nak masuk hutan hapuskan komunis,” katanya.
Mengimbau kembali kenangan bertugas ketika Ops Selamat Sawadee, ayah kepada empat orang anak itu berkata, beliau dan empat yang lain dari 22 Komando diarah membantu 21 Komando yang berhadapan dengan serangan komunis.
"Sampai kami dimaklumkan ada kira-kira 50 orang komunis, tapi bila mereka tahu kami datang sebab dengar bunyi helikopter, mereka sudah melarikan diri ke kawasan negara jiran.
"Yang tinggal hanya sekumpulan anggota pertahanan komunis bagi melambatkan tugas kami. Setiap kali kami bergerak mereka lepaskan tembakan, dan seorang anggota terkena tembakan pada kaki.
"Kami cuba jejak, tetapi mereka ini cukup hebat dan pasang banyak jerangkap samar (bobby trap).
"Mereka juga licik dan buat laluan khas untuk masuk ke sempadan Thailand. Bila telah masuk kawasan lain, maka kena minta pihak tertinggi untuk rundingan,” jelasnya.
Paul yang pencen pada 1996 pada usia 42 tahun selepas 22 tahun berkhidmat berkata, semua pengalaman yang dilalui semasa berkhidmat sebagai komando adalah sesuatu yang tidak ternilai, malah beret hijau yang dimiliki juga sangat berharga.
"Kalau kita hilang uniform tentera tidak apa lagi, tapi jangan hilang beret ini kerana nak dapatkan bukan mudah. Banyak yang perlu dilalui,” tegas beliau.
Kini pada usia 72 tahun, Paul menasihati orang ramai supaya tidak sesekali mengamalkan sikap perkauman, kerana ia boleh memecahbelahkan keamanan negara yang dinikmati hasil titik peluh dan darah perajurit.
“Pemikiran negatif, perkauman, jangan diadakan. Kalau perpaduan pecah belah, ia boleh menyebabkan Malaysia jadi kecoh, kita semua mesti sentiasa gembira bersama sebagai rakyat Malaysia,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram