Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'


  • 112
  • Selasa, 10 Sep 2024

Francis Chai terus memainkan peranan melindungi penduduk Sarawak daripada ancaman buaya, pada masa sama memastikan kelangsungan populasi haiwan ini di habitat semula jadinya.

PEMBURU buaya, Chai Kian Jiew, tidak pernah terfikir akan menjadikan pekerjaan menangkap buaya sebagai karier.

Apatah lagi, bekas pelajar jurusan teknologi sebuah universiti swasta tempatan itu tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang tersebut. Malah dia yang sebelum ini merupakan seorang pengurus restoran selama 20 tahun sanggup berhenti kerja dan memulakan syarikat menangkap buaya yang dikenali Sarawak Crocter.

Pada masa sama, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu yang lebih dikenali sebagai Francis Chai dalam kalangan penduduk tempatan terpanggil untuk melindungi komuniti daripada ancaman reptilia berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar

BACA LAGI: [VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar

Menurut bapa kepada dua anak itu, pengalaman menyelamatkan seorang mangsa daripada serangan buaya pada 2017 menjadi titik tolak kepadanya nekad meneruskan hasrat tersebut.

Ketua Perhubungan Rela Kawasan (KPRK) Desa Ilmu dekat Samarahan, Sarawak itu memberitahu, dia bermula menangkap buaya selepas berlaku beberapa serangan di kawasan setempat.

"Pada waktu itu tidak ramai yang berani berdepan dengan buaya.

"Semua takut, saya pun takut tetapi kalau bukan saya siapa lagi yang mahu tolong. Jadi, keselamatan penduduk menjadi tanggungjawab saya," katanya kepada Majoriti.

photo_6257978959471954747_y

Francis Chai menunjukkan buaya yang ditangkap di sekitar sungai Sarawak baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman menangkap buaya yang ganas, lelaki berusia 45 tahun itu mendedahkan, semua buaya yang ditangkapnya berpotensi menjadi agresif.

"Berdepan dengan makhluk yang mampu membunuh dengan satu gigitan, saya bersama rakan sepasukan perlu menggunakan pelbagai teknik untuk menangkap buaya secara selamat," ujarnya.

Tambahnya, setiap situasi memerlukan pendekatan berbeza. Menangkap buaya di sungai, di atas perahu, berbeza dengan menangkapnya di darat.

"Kami perlu menggunakan teknik yang sesuai dengan keadaan," jelasnya.

Selain itu, Francis Chai tetap berpegang teguh pada prinsip untuk bersikap tenang dan menggunakan teknik yang betul. Dia berpendapat, semua buaya adalah ganas kerana mereka akan mempertahankan diri apabila ditangkap.

Apatah lagi, di sesetengah lokasi, pihaknya tidak dibenarkan menggunakan senjata api sekali gus menjadikan tugas itu lebih mencabar.

Jelasnya, jika saiz buaya kecil, individu yang berpengalaman boleh menangkapnya sendirian. Namun, buaya yang lebih besar memerlukan lebih banyak bantuan dan kelengkapan.

"Jika buaya kurang tujuh kaki, seorang pun boleh menangkapnya. Bagaimanapun, untuk buaya yang lebih besar, anda perlukan lebih ramai orang dan peralatan yang sesuai seperti tali yang kuat untuk melemahkan buaya tersebut," katanya.

Setiap kali Francis Chai turun ke sungai untuk menjalankan tugas, dia menyedari bahawa operasi itu mungkin kali terakhir dia pulang dengan selamat.

Pengalaman paling mendebarkan ketika berdepan dengan seekor buaya yang panjangnya lebih 15 kaki.

"Dengan hanya bersenjatakan tali, pasukan kami berjaya menangkap buaya tersebut, namun perjuangan untuk mengawalnya begitu cabaran.

"Buaya itu berputar-putar dengan ganas, cuba melepaskan diri, dan pada detik cemas itu, bot kami hampir terbalik.

“Ketika itu, saya dapat merasakan jantung saya terhenti. Buaya itu jauh lebih besar daripada bot kami. Andai berlaku satu pergerakan yang salah, mungkin kami akan menjadi mangsanya,” katanya mengimbau detik cemas tersebut.

photo_6257978959471954748_y

Francis Chai (duduk kiri) akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk menangkap buaya di sekitar Sarawak sekiranya khidmatnya diperlukan.

Walaupun profesinya mengundang bahaya, Francis Chai tetap menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

Berpengalaman luas dan keberanian yang luar biasa, Francis Chai terus memainkan peranan melindungi penduduk Sarawak daripada ancaman buaya, pada masa sama memastikan kelangsungan populasi haiwan ini di habitat semula jadinya.

Malah, melalui pengalamannya itu juga dia diberi kepercayaan oleh kerajaan Brunei untuk memindahkan buaya yang mengancam nyawa penduduk negara tersebut.

"Teknik dan cara yang digunakan sama seperti di Sarawak," katanya yang mempunyai pengalaman menangkap buaya selama tujuh tahun.

Apakah dorongan yang menyebabkan dia meneruskan tugas ini walaupun berdepan dengan pelbagai risiko?

"Ini tugas saya. Bukan sekadar untuk keselamatan, tetapi untuk menjaga keseimbangan ekosistem antara manusia dan alam semula jadi.

"Kita perlu menghormati buaya, pada masa sama memastikan mereka tidak mengancam nyawa kita," katanya sambil tertawa kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram