'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas


  • 112
  • Isnin, 09 Sep 2024

Bidang kepolisan sentiasa di hati, selepas bersara Nasbah (kanan) berkhidmat sebagai Ketua Polis Bantuan di Danga Bay, Johor hampir 4 tahun sebelum bersara penuh.

SEDANG menikmati minuman kegemaran ‘kopi o’ di sebuah kedai makan kegemaran ketika berkunjung ke Sandakan, Sabah baru-baru ini, seorang pesara polis, Nasbah Jusoh disapa seorang lelaki berusia 40-an.

“Uncle (pak cik) apa khabar? Uncle masih ingat saya?

“Saya pernah terlibat dalam kemalangan van sekolah, kawan-kawan sekolah meninggal dan saya antara yang cedera parah masa itu.

“Saya ingat uncle datang dan cuba tenangkan kami mangsa sementara menunggu ambulans tiba,” kata pemuda tersebut.

BACA LAGI: Bukan mudah urus klien HIV, perlu sensitif dan bermain emosi — Pengarah Puspen

BACA LAGI: [VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar

Masa bagaikan terhenti seketika buat Nasbah apabila dia seakan-akan dibawa kembali ke waktu kejadian.

“Ya ketika itu saya bertugas sebagai Ketua Cawangan Trafik Sandakan. Tengah hari itu waktu tenang seperti biasa tiba-tiba anggota saya maklumkan ada kejadian kemalangan membabitkan van sekolah dan lori di Sandakan.

“Hati berdegup laju memikirkan ketika itu adalah waktu puncak pelajar sekolah ke destinasi rumah masing-masing.

“Ya ALLAH, selamatkan kanak-kanak tersebut. Saya terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada Majoriti.

photo_6257978959471954692_y

Nasbah masih tidak dapat melupakan insiden kemalangan yang meragut nyawa empat kanak-kanak di Sandakan pada tahun 1993.

Sambil menarik nafas menahan sebak, Nasbah memberitahu, saat dia tiba di tempat kejadian hatinya remuk melihat mayat kanak-kanak sekolah berada dalam van.

"Terbayang anak-anak sendiri yang masih bersekolah.

“Ya ALLAH, itu sahaja saya dapat katakan ketika itu. Walaupun sebagai polis trafik ini bukanlah perkara asing tetapi kami juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan hiba.

“Saya terus menjalankan tugas dan memastikan mangsa (kanak-kanak) yang cedera dapatkan bantuan perubatan segera,” katanya.

Ditanya apakah perasaan ketika disapa ‘mangsa terselamat’, dia tidak menafikan berasa hiba dan tidak menyangka mangsa kejadian 31 tahun lalu itu mengenalinya walaupun sudah meninggalkan Negeri di Bawah Bayu itu sejak 2005.

“Benar polis dan masyarakat berpisah tiada. Saya menjalankan tugas saya sama seperti polis lain. Berkhidmat untuk masyarakat.

“Walaupun sudah 31 tahun lalu, kejadian itu masih segar dalam ingatan. Ada juga kejadian sama membabitkan van sekolah dan lori.

“Perasaan remuk melihat lapan terbunuh termasuk kanak-kanak sekolah pada tahun sama masih saya ingat,” katanya.

photo_6257978959471954698_x

Nasbah (duduk tiga dari kiri) ketika bertugas sebagai Ketua Cawangan Trafik Sandakan.

Bersara pada 2011 sebagai Ketua Jabatan Jenayah Siasatan Komersial di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Alor Setar, Kedah, Nasbah turut mengimbau kenangan 'diganggu' seorang lelaki yang juga pesakit mental.

“Kenapa saya kata gangguan sebab lelaki itu pantang nampak saya bertugas di mana-mana.

“Dia akan menjerit panggil saya dan buat tabik hormat. Seronok sungguh dia setiap kali nampak saya.

“Ada kala dia jadi ‘polis trafik’ apabila ada kemalangan di Bandar Sandakan. Dia akan tolong kawal lalu lintas,” katanya bapa kepada lima orang anak itu sambil ketawa kecil.

Dia yang berasal dari Pulau Pinang dilihat cuba menahan sebak ketika bercerita mengenai 'rakan polisnya'.

"Ada satu hari, saya dimaklumkan kes kemalangan maut membabitkan pejalan kaki dan sebuah kereta. Seperti biasa saya membaca fakta kes.

"Sewaktu melihat gambar mangsa hanya ALLAH saja yang tahu perasaan ketika itu.

"Mangsa adalah pesakit mental yang sering saya jumpa sekitar Bandar Sandakan pada tahun 90-an.

"Ketika itu saya cakap dalam hati yang mungkin ajalnya sudah tiba, saya kehilangan ‘rakan polis trafik,” kata datuk kepada 16 orang cucu itu.

Nasbah (baju putih) bersama ahli keluarganya termasuk 16 cucu di kediamannya di Sungai Petani, Kedah

Nasbah (baju putih) bersama ahli keluarganya termasuk 16 cucu di kediamannya di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Sebagai pegawai polis yang lama berkhidmat dalam Jabatan Trafik, Nasbah turut mengingatkan orang ramai terutama pemandu untuk sentiasa berhati-hati dalam pemanduan kerana kebanyakan kes kemalangan disebabkan kecuaian.

Paling menyedihkan adalah mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa kecuaian pemandu yang tidak bertanggungjawab.

"Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan saya kepada seluruh ketua-ketua jabatan dan Ketua Polis yang pernah saya berkhidmat bersama.

"Begitu juga kepada anggota polis di bawah perkhidmatan mereka atas jasa serta pengorbanan sepanjang bekerjasama dengan saya,” katanya.

Biarpun sudah hampir 14 tahun meninggalkan dunia kepolisan, Nasbah mengabadikan kenangan bersama ahli keluarganya.

"Saya banyak bercerita kenangan-kenangan sepanjang bergelar polis dengan anak-anak.

"Ada kala mereka yang ingatkan saya kenangan ketika di Sabah dahulu. Saya sering ingatkan anak-anak sentiasa berbuat baik.

"Bekerja dengan jujur dan bantulah mereka yang dalam kesusahan.

"Mungkin kita tidak dapat balasan sekarang tetapi ALLAH sentiasa merahmati kehidupan kita, insya-ALLAH,” katanya yang tersenyum mengimbau kenangan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram