[VIDEO] 'Di mana-mana ada kisah kau Mi. Ya ALLAH kami tak kuat,' kakak polis terkorban Balai Polis Ulu Tiram tahan sebak


  • Massa
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar maut di lokasi kejadian akibat ditetak di belakang leher dan kepala oleh suspek.

"DI mana-mana ada kisah kau Mi. Ya ALLAH tak kuat kami Mi".

Itulah luahan sayu salah seorang ahli keluarga anggota polis yang maut dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat.

Mangsa, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar maut di lokasi kejadian akibat ditetak di belakang leher dan kepala oleh suspek. Turut terkorban rakan setugas mangsa, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.

BACA LAGI: Anggota JI dalang serangan Balai Polis Ulu Tiram — Ketua Polis Negara

BACA LAGI: Balai polis diserang: Tiada CCTV, dua pelajar IPT, bapa suspek JI antara 7 ditahan

Menerusi InstaStory kakak mangsa @i.shamimie, meminta orang ramai untuk mendoakan arwah adiknya yang turut dikenali sebagai Mi.

Pada masa sama, kakak mangsa tidak menyangka peristiwa tersebut akan terjadi pada adik kesayangannya itu.

"Al-fatihah Mi, terima kasih menjadi anak yang baik," tulisnya.

Dia dan keluarganya lain juga mengakui masih terkejut dengan berita tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang bertugas di pejabat pertanyaan Balai Polis Ulu Tiram dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang bertugas di sebagai anggota prowler akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

"Kedua-duanya akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Bidor, Perak dan Gambang dekat Kuantan, Pahang selepas bedah siasat selesai.

"Seorang lagi anggota yang parah kini stabil, selepas terkena tembakan di bahu kiri dan pinggul dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Dua anggota yang terkorban masing-masing mula bertugas pada 2021 dan 2022 dan mereka masih bujang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram