Kawasan 'panas' KL nampak tenang, realitinya penagih dadah semakin licik berpesta di bilik sewa


  • Massa
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Penagih dadah kini lebih bijak mengelakkan diri daripada ditangkap, mereka lebih suka menyewa bilik atau rumah beramai-ramai untuk mengambil bahan terlarang tersebut. — Gambar Hiasan/PDRM

PENAGIHAN dadah melibatkan pelbagai latar belakang bukan sesuatu yang baharu dalam masyarakat negara ini, malahan ia bahan terlarang itu memang tidak mengira mangsa.

Merujuk kepada data Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), penagih kanak-kanak yang berusia kurang 12 tahun menunjukkan penurunan iaitu dari 10 orang pada 2018, lima (2019), dua orang masing-masing pada 2020 dan 2021, manakala tahun lepas hanya seorang direkodkan terlibat dengan bahan terlarang itu.

Walaupun statistik AADK menunjukkan jumlah remaja berusia 13 hingga 18 tahun merekodkan penurunan, iaitu 4,918 orang pada 2018 kepada 1,451 kes pada tahun lepas, ia tetap angka yang tidak boleh dipandang remeh.

Ia adalah sesuatu yang wajar mendapat perhatian apabila umum walaupun kes itu menurun namun banyak kes penagihan dadah dilaporkan, terutama dalam kalangan golongan muda.

BACA LAGI: Bukan mudah urus klien HIV, perlu sensitif dan bermain emosi — Pengarah Puspen

BACA LAGI: [VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar

Situasi ini tentunya membimbangkan terutama apabila memikirkan sampai bila masalah dadah ini akan tamat dan bagaimana pula masa depan negara jika generasi muda masih terjebak dalam najis dadah..

Baru-baru ini, tinjauan wartawan Majoriti sekitar 'kawasan panas' kota metropolitan seperti kawasan Chow Kit, Pudu, Lorong Haji Taib dan Petaling Street, mendapati tiada kelibat penagih dadah atau aktiviti yang mencurigakan berlaku.

Malah lorong gelap yang sebelum ini didakwa merupakan kawasan utama penagih dadah suatu ketika dahulu juga kelihatan tenang dan bersih.

Menurut seorang penduduk tempatan di Chow Kit yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Enah, kawasan-kawasan tersebut telah lama 'bersih' daripada kegiatan dadah.

"Lorong-lorong dekat Chow Kit dan Pudu 'clean' sekarang. Lama sudah orang tak hisap dadah di sini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

1508600_10152284050972255_5358679873260394813_n

Lorong Haji Taib yang pernah didakwa lokasi penagih melepas gian pada suatu ketika dahulu kini bebas daripada penagih dadah. — Gambar Hiasan

Cik Enah turut memberitahu bahawa kawalan ketat oleh pihak berkuasa menjadi faktor utama penagih dadah tidak lagi berani melakukan aktiviti mereka secara terbuka di kawasan tersebut.

"Mereka pun tak berani sebab kehadiran pihak berkuasa yang selalu memantau kawasan-kawasan sini. Zaman sekarang bukan macam dulu. Kalau zaman 90-an mungkin boleh nampak yang suntik-suntik dadah," tambahnya.

Namun, Cik Enah yang sudah hampir 20 tahun tinggal di kawasan itu mendedahkan bahawa penagih dadah kini lebih bijak mengelakkan diri daripada ditangkap.

"Mereka yang 'main barang' sekarang cerdik, ada yang sewa bilik atau rumah ramai-ramai dan 'buat projek' di situ.

" Ada yang pergi pusat karaoke dan hisap dalam bilik karaoke," jelasnya mendedahkan taktik golongan penagih dadah di ibu negara ketika ini..

Fenomena ini menunjukkan walaupun keadaan nampaknya terkawal, namun ancaman penagihan dadah masih berlarutan dengan modus operandi baharu golongan penagih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram