[VIDEO] Remaja maut putus kaki di lebuh raya 'belum siap' di Kok Lanas


  • Tular
  • Selasa, 11 Jun 2024

Tangkap layar video satu kemalangan ngeri Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai di Kok Lanas pada Isnin.

SEORANG penunggang motosikal maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri di di Jalan Jerus - Kok Lanas (dalam pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama) di Banggol Saman dekat Pasir Puteh, Kelantan pada Isnin.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan di aplikasi WhatsApp, kejadian itu berlaku pada lewat petang Isnin membabitkan dua remaja lelaki yang didakwa menunggang motosikal dengan laju di kawasan tersebut.

"Lebuh raya tak siap lagi tetapi sudah ada yang 'rasmikan'. Ada yang kata budak putus kaki dan telinga itu meninggal dunia. Al-fatihah," tulis individu yang hanya dikenali sebagai Azman.

BACA LAGI: Budak perempuan 5 tahun mati dibunuh di Ipoh, ibu bapa angkat dicekup

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Tanggungjawab itu terpaksa dilepaskan’, pemuda ambil peranan ketua keluarga lepas kematian bapa maut dihempap pokok tumbang di Perlis

Melalui video kurang seminit yang dikongsikan, seorang remaja kelihatan terbaring di tengah jalan sambil menahan kesakitan dan ditemani rakan-rakannya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dipercayai maut di tempat kejadian dilihat berlumuran darah dan putus kaki kanan.

Malah, salah sebuah motosikal kepunyaan mangsa juga kelihatan hancur di beberapa bahagian. Orang awam dan rakan-rakan mangsa turut dilihat mengerumuni di tempat kejadian.

Difahamkan, lebuh raya berkenaan belum siap sepenuhnya dan masih lagi dalam proses pembinaan.

Sementara, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria mengesahkan kejadian terbabit, lapor Sinar Harian.

"Kemalangan kira-kira pukul 7.40 petang itu berlaku ketika dua motosikal jenis Honda EX5 masing-masing ditunggang seorang lelaki berusia 18 tahun dan seorang lelaki berusia 21 tahun datang dari arah Kok Lanas menuju ke Kota Bharu.

"Setibanya di tempat kejadian, motosikal mereka dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan tersebut dan melanggar motosikal jenis Honda RS yang ditunggang oleh mangsa dari datang dari arah bertentangan menyebabkan kesemua mereka terjatuh di atas jalan terbabit.

"Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang motosikal Honda EX5 mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Machang dan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan,” katanya.

Zaizul Rizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu boleh menyalurkan ke balai berdekatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Inspektor Muhammad Firdaus Adzmi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram