KETAGIHAN dadah bukan hanya merosakkan tubuh badan, tetapi juga menghancurkan jiwa dan kehidupan sosial seseorang.
Bagi Afiq (bukan nama sebenar), ketagihannya terhadap dadah telah menyebabkan kehancuran yang tidak dapat dibayangkan kerana ia telah memisahkannya daripada keluarga dan merentap segala harapan yang pernah dimilikinya.
Afiq adalah anak bongsu daripada dua beradik, membesar dengan kasih sayang ibu setelah bapanya meninggal dunia ketika dia baru berusia lima tahun.
BACA LAGI: Anak jadi runner dadah geng kongsi gelap, ibu sentiasa ketakutan di rumah
BACA LAGI: [VIDEO] Aktif seks bebas sejak sekolah, bekas bintang Liga Super 'kaki' kelab kini hidap HIV
Kehidupannya yang sederhana di Kelantan berubah selepas memulakan kerjaya di sebuah bank di Kuala Lumpur pada 2019.
Di kota metropolitan inilah, tanpa disangka-sangka kehidupan Afiq mula terjerumus dalam kancah penagihan dadah.
"Titik hitam bersama najis dadah itu bermula selepas rakan sekerja perkenalkan dadah jenis ice (syabu).
"Tidak pernah terlintas dalam fikiran, dadah yang saya cuba untuk suka-suka akan menjadi jerat hingga sukar untuk dilepaskan," katanya dalam satu temu bual khas bersama Majoriti di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Serendah, Selangor baru-baru ini.
Pengambilan dadah itu bukan sahaja merosakkan tubuh Afiq secara fizikal tetapi juga membawa kesan mental dan emosi yang mendalam.
"Setiap kali sedut, saya rasa seperti sampah. Tapi saya tetap teruskan, walaupun hati saya menjerit untuk berhenti.
"Saya tahu dadah ini tak elok sebab itu saya hanya ambil sebulan, dua bulan sekali tetapi saya tak boleh berhenti," luahnya dengan suara yang terketar-ketar.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Afiq didiagnos menghidap jangkitan HIV pada 2021 ekoran terlibat dalam hubungan seks bebas. — Gambar Hiasan
Afiq juga mengalami kesan sampingan yang teruk seperti batuk, pening dan muntah, namun kebergantungannya kepada dadah tersebut semakin mendalam.
Ibarat jatuh ditimpa tangga. Kehidupan pemuda berusia 34 tahun itu semakin parah selepas didiagnos menghidap jangkitan HIV pada 2021.
"Saya terlibat dalam hubungan seks bebas dan itulah cara saya dijangkiti HIV.
"Ibu adalah orang pertama yang tahu saya ada HIV dan dia jugalah yang menghantar saya ke hospital untuk membuat ujian saringan.
"Sebagai seorang petugas kesihatan, ibu nampak simptom-simptom sakit itu dan saya sendiri pun sedar sebab kerap demam dan sakit.
"Saya tahu ada yang tidak kena. Jadi apabila dapat keputusan ujian darah itu saya tidak terkejut, cuma marah dengan diri sendiri," katanya dengan penuh sayu.
Pada masa itu juga bekas akauntan itu mahu berubah demi ibu tercinta, namun ada masanya, Afiq gagal mengawal godaan mengambil bahan terlarang itu walaupun menyedari kesan buruknya.
"Bila saya rasa sakit, saya berhenti ambil bahan terlarang itu sekejap sebab nak fokus sihatkan diri dahulu.
"Lama-kelamaan saya kalah dengan godaan, saya hisap balik tanpa pengetahuan ibu. Saya sembunyi dalam bilik sebab takut kantoi.
"Pernah beberapa kali saya ambil 'barang' sebab rasa bahan itu membuatkan saya semakin sihat dan bertenaga, tetapi sampai bila?" soalnya dengan nada penuh penyesalan.
Ketagihan dadah yang menghancurkan hidupnya, serta jangkitan HIV yang dihidapinya, mendorong graduan jurusan perakaunan di sebuah universiti tempatan itu untuk mencari sinar baru dalam hidupnya.
Afiq banyak meluangkan masa untuk berdoa di depan Kaabah, memohon kekuatan dan petunjuk untuk keluar dari kegelapan yang telah lama menghantui hidupnya.— Gambar Hiasan
Namun, titik perubahan sebenar datang ketika dia mengerjakan umrah.
"Ketika berada di Tanah Suci, hati saya tenang dan saya boleh lupakan rasa rindu pada dadah itu.
"Selama 14 hari saya berada di sana, saya banyak meluangkan masa untuk berdoa di depan Kaabah, memohon kekuatan dan petunjuk untuk keluar dari kegelapan yang telah lama menghantui hidup.
Sekembalinya dari Makkah, Afiq berusaha sedaya upaya untuk menjauhkan diri dari dadah, namun ia tidak mudah kerana dia terjebak lagi.
"Saya tewas lagi tetapi hanya beberapa hari selepas mengambil dadah, saya kena tangkap di rumah ibu di Kelantan," kata Afiq dengan nada penuh kesal.
Kini, Afiq yang menjadi rawatan di pusat pemulihan, membawa bersama tekad ketika berdoa di depan Kaabah. Walaupun cabarannya sukar tetapi dia cuba untuk meneruskan perjuangan.
"Saya tahu ini bukan perjalanan yang mudah, tapi saya mahu berubah. Saya tidak mahu kecewakan diri sendiri lagi," katanya yang mengakui kehidupan di Puspen, Serendah sangat berbeza dan mencabar.
Tanpa menyalahkan orang lain, dia sedar banyak melakukan kesilapan dan sedia berdepan cabaran yang dilaluinya supaya dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan kehidupan yang lebih baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram