Sorok syabu dalam kotak minyak wangi, pereka grafik dedah mudah dapat stok guna servis penghantaran


  • Massa
  • Rabu, 04 Sep 2024

Akibat peristiwa hitam menimpa rakan universitinya itu, Aiman memutuskan untuk menggunakan bahan terlarang sebagai ubat menenangkan diri.

TIDAK semua mampu menerima ketentuan takdir apatah lagi saat diuji dengan musibah seperti pemergian insan paling rapat.

Pastinya tempoh masa yang lama terpaksa diambil untuk 'move on' daripada kesedihan itu, malahan ada yang memaksa diri melakukan pelbagai aktiviti demi lari daripada realiti dan kesedihan melampau.

Namun tidak terkecuali, ada yang sanggup mengambil jalan mudah untuk menghilangkan rasa sakit kehilangan.

BACA LAGI: Konon mampu beri tenaga, air ketum punca hidup graduan universiti di Selangor musnah

BACA LAGI: [VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar

Seperti kisah seorang klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, Kuala Lumpur yang memilih mengambil dadah jenis syabu sebagai alternatif untuk terus melupakan sakit kehilangan rakannya yang meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Johor Bahru, Johor dua tahun lalu.

Aiman, 28, mengalami fasa kemurungan melampau selepas peristiwa hitam menimpa rakan universitinya itu, sehingga akhirnya memutuskan untuk menggunakan bahan terlarang sebagai ubat menenangkan diri.

“Saya terlampau sedih kerana tidak sempat jumpa dia sebelum meninggal sebab kami sudah lama tidak berhubung, jadi pemergiannya memang tamparan hebat untuk saya.

“Saya pernah menyuarakan perasaan saya mengenai insiden itu dan ibu bapa minta untuk belajar menerima, tapi sejujurnya ia begitu sukar bagi saya sehingga saya menjadi semakin ketagih.

“Saya ambil syabu lima kali sehari dan sikap saya jadi pemarah,” katanya yang ditemui dalam satu temu bual khas bersama Majoriti baru-baru ini.

isi dalam

Aiman mendapatkan bekalannya melalui servis penghantaran kurier.

Klien kelahiran Tanah Merah, Kelantan berkenaan mengakui, sanggup berbelanja sehingga RM500 sebulan untuk mendapatkan ‘penawar’ berkenaan dan tidak pernah rasa menyesal dalam hidupnya ketika itu.

Menurut Aiman, modus operandinya untuk mendapatkan bahan terlarang berkenaan adalah melalui servis penghantaran kurier yang akan dibungkus rapi dalam kotak dan dihantar ke kediamannya.

“Sekarang sudah canggih, saya tak berani nak ambil dengan tokan. Tak pasti kawan dapat dari mana tapi dia pos sampai ke lobi rumah menerusi servis penghantaran. Mereka sorok dalam kotak kecil sama ada kotak baju atau minyak wangi.

“Begitulah setiap hari saya akan dapatkan stok, dan saya sendiri memang jarang berjumpa dengan kawan yang kirim syabu itu,” kongsinya sambil memberitahu rakannya itu dikenali menerusi media sosial.

Aiman berkongsi, sebelum mula ketagih, pereka grafik di sebuah syarikat penerbitan buku terkenal tanah air itu pernah mengambil dadah secara kasual.

dalam sungai best

Aiman secara sukarela menjalani rawatan pemulihan di Puspen Sungai Besi sejak tahun lalu.

Pada awalnya, Aiman mengambil syabu kerana ingin melepaskan tekanan kerja, selain perasaan ingin tahu selepas berkenalan dengan rakan mayanya pada kira-kira tiga tahun lepas.

“Dalam masa sama, saya ambil syabu macam ringan-ringan sajalah seminggu sekali. Saya ada kenalan yang beri saya cuba rasa syabu sebab masa itu saya tertekan dengan kerja.

“Selepas itu, saya seolah-olah banyak bergantung dengan syabu. Setiap hari, makin kerap saya ambil sebelum dan selepas pulang kerja. Tapi waktu kerja, saya tak ambil,” katanya yang kini benar-benar ingin lari dari bergantung menggunakan syabu.

Aiman yang secara sukarela ke Puspen kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada Mei 2023 telah didiagnosis skizofrenia iaitu penyakit mental yang kronik dan Major Depression Disorder atau penyakit kemurungan melampau.

Dia akui pada awalnya agak sukar dan terpaksa bergelut untuk menyembuhkan diri namun kini sudah semakin tenang.

WhatsApp Image 2024-09-03 at 18.01.45

Aiman didiagnosis skizofrenia iaitu penyakit mental yang kronik dan Major Depression Disorder atau penyakit kemurungan melampau.

Menurutnya, keputusan untuk menyerah diri ke Puspen Sungai Besi nyata menjadi titik perubahan terhadap dirinya apabila kini sudah semakin selesa untuk meluahkan perasaan kepada orang lain.

“Terapi bersama kaunselor banyak membantu. Di sini, saya belajar untuk berkongsi cerita dengan orang lain berbanding hanya memendam perasaan sendiri.

"Pesanan saya kepada sesiapa yang sedang bergelut (dengan dadah), jangan lupa untuk kongsikan masalah anda dengan orang lain.

“Mengambil bahan terlarang tidak membantu untuk keluar daripada masalah yang kita hadapi,” tambahnya yang berharap apabila melangkah keluar nanti, masyarakat akan menerimanya semula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram